Kes sensitif dengan hukuman berat seumpama ini perlu menjadi iktibar dan pengajaran yang sangat penting kepada seluruh rakyat Malaysia agar saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Ironinya itu bukan kes pertama seumpamanya yang mana sebelum ini sudah acap kali sensitiviti umat Islam di negara ini terus dicabar.

Penulis yakin masyarakat pasti ingat beberapa kes yang berlaku sebelum ini seperti tingkah laku mencemarkan masjid dan surau, larangan dan ancaman terhadap laungan azan dan terbaharu larangan pemakaian tudung ke atas pekerja wanita Islam di beberapa hotel terkemuka di negara ini.

Anehnya insiden-insiden seumpama ini berlaku tatkala agama Islam telah diiktiraf sebagai agama rasmi ataupun agama Persekutuan. Perkara ini sudah pun terpateri kemas dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi negara ini.

Justeru persoalannya kenapa perkara seperti itu masih terus berlaku? Apakah ini menunjukkan masyarakat semakin lupa tentang kedudukan agama Islam di negara ini atau ada pihak yang sengaja buat-buat tidak tahu dan tidak mahu menghormati kedudukan tersebut?

Apapun jawapannya yang pasti kita tidak boleh membiarkan situasi itu terus berlarutan. Kita tidak mahu ada pihak terus mencetuskan kontroversi dengan menyentuh isu sensitif seperti hal berkaitan agama Islam. Ini kerana perkara tersebut boleh menimbulkan rasa marah dalam kalangan umat Islam yang adalah penduduk majoriti negara ini.

Hakikatnya asas pembinaan negara ini adalah faktor perpaduan di antara semua rakyat berbilang agama dan kaum atau majmuk yang saling hormat menghormati di antara satu sama lain.

Sejak merdeka itulah resipi utama yang menyumbang kepada kejayaan kita selama ini. Jadi kita mula sangsi dan khuatir resipi dan semangat ini gagal dihayati dan diamalkan oleh generasi hari ini yang dilihat tidak begitu mempedulikan sensitiviti orang lain. Tindakan mementingkan diri dan kepentingan peribadi jelas mengatasi hak dan kepentingan umum.

Dalam hal ini mungkin ada eloknya diberikan perhatian serius kepada sikap dan budaya generasi hari ini yang semakin merisaukan. Perlu diakui masa depan dan hala tuju negara ini bakal ditentukan generasi muda, jadi kita khuatir apa akan berlaku kepada masyarakat jika generasi muda ini bersikap acuh tak acuh terhadap perkara-perkara asas yang telah dipateri kemas dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan juga Raja-Raja Melayu.

Fasal-fasal penting dalam perlembagaan ini dilihat sering menjadi pertikaian dan juga perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat mutakhir ini. Hal ini mungkin berlaku kerana masyarakat tidak diterapkan dengan pemahaman mengenainya sejak kecil lagi secara meluas, spesifik dan serius. Ini menyebabkan generasi hari ini gagal menghayati dan memahami semangat dan roh perlembagaan dengan lebih mendalam.

Justeru dalam konteks ini penulis sangat bersetuju dengan teguran dan saranan Sultan Selangor baru-baru ini tentang pendidikan perlembagaan di sekolah-sekolah yang dilihat belum dilaksanakan secara meluas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa masyarakat kurang memahami sejarah secara mendalam yang berkemungkinan disebabkan tiada pendidikan perlembagaan yang lebih meluas di peringkat sekolah.

Ketika ini, apa yang berlaku di sekolah adalah aspek perlembagaan dan patriotisme telah dimasukkan dalam subjek kenegaraan dan sejarah diajar di sekolah rendah dan menengah. Betul kita belajar sejarah dari sekolah rendah hingga ke universiti tetapi persoalannya sejauh mana kandungan dan kaedah pengajaran itu benar-benar memberi impak yang diharapkan?

Maka sudah tiba masanya pihak kementerian menilai dan meneliti semula kandungan subjek seperti sejarah dan kenegaraan. Kita perlu melihat sejauh mana pendidikan perlembagaan dan sejarah pembinaan bangsa Malaysia diberi perhatian khusus dan serius.

Kita tidak mahu aspek penting seperti ini hanya menjadi satu topik atau bab yang biasa dalam buku sejarah sebaliknya ia wajar diangkat sebagai subjek mahupun komponen penting yang perlu diberi perhatian yang serius. Anak-anak kalau boleh sejak prasekolah lagi perlu diajar dan diterapkan tentang aspek pendidikan perlembagaan supaya biarlah setiap fasal yang terkandung dalam perlembagaan itu melekat dalam sanubari mereka sampai bila-bila.

Hal ini cukup penting dan signifikan di mana kegagalan menyediakan platform tersebut kepada anak-anak bakal mengundang pelbagai masalah ke dalam masyarakat secara berterusan. Dan akhirnya kita khuatir jambatan perpaduan yang dibina oleh para pejuang kemerdekaan dengan penuh hati-hati serta dalam semangat muhibah dan tolak ansur yang tinggi akan retak dan musnah satu hari kelak.

Malaysia tidak memerlukan anasir luar untuk memusnahkan negara ini sebaliknya cukup dengan tingkah laku dan gelagat segelintir rakyatnya yang mencabar perlembagaan dan tidak ambil iktibar dengan sejarah pembinaan negara ini.

Cukup-cukuplah apa yang sudah berlaku selama ini. Jangan terus bermain api kerana takut akhirnya semua musnah terbakar sepenuhnya. Jangan kerana kejarkan kedudukan dan kuasa kita lupa asal usul, lupa sejarah dan tidak mahu menghormati perlembagaan.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).