Saat ini terlihat sebuah kemukjizatan Rasulullah SAW, suaranya jelas lagi terang pada setiap daun telinga para sahabat yang begitu ramai ibarat lautan. Syeikh Muhammad al Khudari menganggarkan sekitar 90,000 orang sahabat mendengarkan wasiat tersebut. Semuanya senyap tidak berkata dan sepi membungkam suasana, menumpukan perhatian kepada setiap butir bicara Nabi - yang bergema hanyalah satu suara yang menyampaikan sebuah amanat suci.

Pesan Nabi: "Aku tinggalkan dua perkara bagi kalian, jika kalian berpegang teguh dengan apa yang aku tinggalkan itu, maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya: Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya".

Perhatikanlah seluruh pemahaman yang melencong pasti muncul kerana mentafsir agama mengikut akal dan meninggalkan sunnah kehidupan baginda. Justeru, apabila muncul 'khilaf' yang disandarkan kepada agama, kewajipan umat Islam adalah merujuk kembali kepada hadis dan sunnah Rasul SAW.

Seterusnya Rasulullah SAW mengingatkan kepada manusia agar menjaga persatuan di bawah kepimpinan negara serta larangan menentang penguasa yang sah. Sabda Baginda: "Wahai seluruh manusia! Dengarlah dan taatlah kalian kepada pemimpin kalian, walaupun dipimpin oleh seorang hamba dari negeri Habsyah yang berhidung kemek, selama mana dia tetap menjalankan ajaran Kitabullah ke atas kalian."

Apakah yang kita akan jangkakan daripada sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang hamba sahaya yang hina dina tetapi memiliki kekuatan sehingga digambarkan oleh Nabi dengan watak "berhidung kemek" sementara dalam riwayat yang lain menyebutkan "kepalanya seperti kismis". Pemerintahan yang penuh dengan keadilan dan keamanan? Kemakmuran dan kesenangan? Atau tergambar dalam fikiran kita tentang keadaan kucar-kacir, penindasan, kekalutan, penyelewengan dan kerosakan lain.

Namun, seandainya keadaan tersebut benar-benar terjadi, Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya tidak melepaskan ketaatan kepada pemimpin negara, di samping membimbing mereka dan menasihati mereka secara sembunyi daripada pengetahuan umum.

Wasiat Haji Hadi

Wasiat Nabi ini bukanlah kisah penglipur lara, sebaliknya kata-kata penting yang terakhir daripada Baginda. Sepertimana Nabi Ibrahim telah mewasiatkan kalimah tauhid kepada keturunannya. Namun di sana juga ada wasiat-wasiat yang melencong malah menyesatkan umat manusia kerana dibina daripada kepalsuan.

Antaranya adalah 'Amanat Haji Hadi' yang disadur dari ucapan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. 'Amanat' ini dijadikan modal kempen oleh Bahagian Penerangan Pas Kelantan ketika pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada 1983, kemudian dicetak lagi oleh Pas Pusat dan Sekretariat Pemuda Pas Pusat.

Jelas ibarat mentari menyinar terang bahawa amanat ini berisi pengkafiran UMNO dan pemerintah negara. Malah wasiat ini juga menyatakan punca kekafiran UMNO iaitu "mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka".

Lantas Haji Hadi membuat andaian bahawa perjuangan Pas adalah sebuah jihad dan bukannya kerja jahat: "Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha. Kita tidak perlu masuk Hindu. Kita tidak perlu masuk Kristian. Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku".

Lama dahulu sebelum 'amanat' ini keluar, Ibnu Muljam mengeluarkan pemikiran yang serupa. Dia anggap membunuh Khalifah Ali yang 'dikatakan tidak berhukum dengan Hukum Tuhan' sebagai ibadah jihad dan jika terkorban maka matinya sebagai syahid. Dia berkata setelah penghakiman dijalankan: "Jangan kau penggal kepalaku sekali gus! Potonglah bahagian-bahagian tubuhku sedikit demi sedikit supaya aku menyaksikan bagaimana tubuhku disiksa di jalan Allah!".

Ibn Taimiyah menyatakan bahawa Ibnu Muljam mengkafirkan dan membunuh Ali atas kepercayaan untuk mendapatkan reda Allah dan Rasul-Nya dalam kitab beliau Minhaj as-Sunnah. Malah Ibnu Muljam itu lebih berpengetahuan daripada Haji Hadi.

Apabila Nabi SAW menekankan tentang pentingnya perihal persaudaraan sesama Islam seperti kata Nabi yang berbunyi: "Wahai manusia, dengarkanlah perkataanku dan perhatikanlah! Kalian tahu bahawa setiap orang Muslim adalah saudara bagi orang Muslim lain, dan semua kaum Muslimin adalah saudara. Seseorang tidak dibenarkan mengambil sesuatu dari saudaranya kecuali yang diberikan kepadanya dengan senang hati, kerana itu janganlah kalian menganiaya diri sendiri …"

Amanat Haji Hadi pula mencetuskan perpecahan dan pergaduhan sesama orang Islam. Terang lagi bersuluh hakikatnya di mana ada suami isteri yang bercerai kerana amanatnya, ada adik-beradik yang terputus silaturahimnya, tidak kurang juga ada yang mengharamkan sembelihan orang Islam dan masjid yang satu menyembah Tuhan yang satu dan kiblat yang satu tetapi memiliki dua imam ketika solat didirikan.

Bila mana Nabi SAW melarang kita agar tidak menodai hak sesama orang Islam yang berkaitan dengan kehormatan, harta benda dan nyawa dengan berkata: "Wahai manusia, sesungguhnya darah dan harta benda kalian adalah suci bagi kalian (yakni tidak boleh dinodai oleh siapa pun juga) sampai kalian bertemu dengan Rabb kalian, seperti hari dan bulan suci sekarang ini."

Amanat Haji Hadi menyeru jihad dengan musuhnya dalam kalangan orang Islam lain sebagai kafir. Dalam Islam seruan jihad hanya ditujukan kepada musuh yang kafir manakala syahid tatkala dibunuh oleh musuh yang kafir.

Mengkafirkan diri sendiri

Bererti Pas telah mengkafirkan diri sendiri tanpa sedar. Atau menurut Haji Hadi, perubahan zaman menyebabkan Perlembagaan Malaysia bukan lagi penyebab kekafiran. Dengan logik yang sama, mungkin dahulu menyembah Latta dan Uzza adalah sebuah kekafiran, namun setelah Pas bersekutu dengan DAP, menyebabkan berhala telah boleh diibadahi?

Sekiranya Perlembagaan Malaysia tetap kafir tetapi Pas tetap berjanji dan akan memungkirinya setelah berkuasa, bukankah ini sebuah kemunafikan? Tidak layak sebuah parti yang mendabik dada kerana membangun bersama Islam serta kepimpinan ulama menggunakan tatacara batil yang penuh dusta.

Ironinya Pas yang bersanding dengan DAP - sebuah parti yang menyatakan secara jelas untuk memperjuangkan sekularisme - seia sekata untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia yang dibuat oleh penjajah. Bukankah UMNO dikafirkan sebab Perlembagaan ini, tetapi pada hari ini Pas pula berjanji untuk mengekalkan jika berkuasa.

Lebih menarik adalah 'Amanat Haji Hadi' merupakan sebuah fatwa yang menyatakan UMNO kafir, namun Pas tidak mengeluarkan sebarang fatwa berhubung dengan DAP setelah bersekutu; apakah boleh seorang Muslim menyokong DAP, hukum menjadi ahli DAP yang nyata menetapkan 'politik suku, agama suku', dan apakah seorang ahli DAP yang menentang hudud akan masuk syurga ketika memangkah Pas?

Hakikatnya berhala tetap syirik. Rasulullah SAW memerintahkan Ali memusnahkan berhala, meratakan kuburan dan menghapuskan seluruh tempat kesyirikan tatkala pembukaan Thaif. Daripada hadis ini menyatakan bahawa perkara pertama yang wajib dilakukan oleh kerajaan adalah menentang kesyirikan walaupun kerajaan tersebut berkuasa hanya satu hari.

Namun, fakta menunjukkan upacara kesyirikan tetap berlaku di bawah pemerintahan Pas. Tangkal Hitam Putih terus bergantungan di kedai kaum muslimin di Kedah, Syiah Rafidah yang mengkafirkan para sahabat dipelawa, sehingga Mat Sabu menyokong Basyir Asad yang membunuh kaum Muslimin. Ajaran Rafidah yang kafir bercambah dalam jemaah Pas.

Rasulullah SAW akhiri amanat tersebut dengan sebuah pertanyaan yang menuntut kepastian daripada kaum muslimin tentang risalah yang beliau bawa. Lantas para sahabat berkata: "Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan tentang kerasulanmu, engkau telah menunaikan amanah dan telah memberikan nasihat". Manakala 'Amanat Haji Hadi' diakhiri dengan pemikiran Neo Khawarij dan gejala takfiri (mengkafirkan).