Prinsip perundangan dan pelaksanaan Islam selaras de­ngan adat istiadat Melayu yang telah diterima berdekad lamanya di negara kita seharusnya diambil sebagai milik rakyat semua kaum, kerana pelaksanaan Islam secara adil itu tidak pernah menyentuh hak dan kebebasan beragama rakyat bukan Islam.

Sejarah juga membuktikan bahawa kerajaan Melaka pernah menerbitkan teks undang-undang ‘Risalah Hukum Kanun’ berasaskan undang-undang Islam tentang perkahwinan, muamalat, keterangan, kehakiman dan jinayat. Risalah ini adalah dokumen penting tentang pelaksa­naan Islam di dalam masyarakat Tanah Melayu, untuk menjamin kestabilan dan keadilan pemerintahan bagi masyarakat berbilang kaum ketika itu.

Hal ini membuktikan kedaulatan Raja Melayu dan status agama orang Melayu seharusnya diakui oleh rakyat, tanpa melihatnya secara negatif, atau menganggap­nya sebagai satu ugutan kepada masyarakat berbilang agama dan budaya. Dari segi status Islam dan Melayu di negara ini, terdapat kecenderungan sesetengah para pejuang tanah air kita yang ingin menegakkan prinsip ketuanan Melayu mengikut kefahaman mereka sehinggakan ada kala­ngan rakyat mendapat tanggapan bahawa ketuanan Melayu adalah satu gagasan yang akan menjadikan orang bukan Melayu hamba dan rakyat kelas bawahan, yang seharusnya hanya tunduk kepada Melayu.

Dalam pada itu, ramai pula para pejuang negara kita yang tidak bersetuju dengan konsep ketuanan Melayu kerana istilah ini membawa konotasi yang boleh menimbulkan rasa gelisah dan cemas dalam kalangan bukan Melayu.

Oleh itu agak adil bahawa konsep ketuanan Melayu ini dapat dilihat dari sudut lebih positif yang tidak menimbulkan prasangka dalam masyarakat kita, iaitu ketuanan Melayu adalah bermakna status Melayu yang dihubungkan dengan agama, budaya, adat resam, bahasa dan kedudukan istimewa mereka sebagai rakyat Melayu yang dipayungi oleh Raja-Raja Melayu sendiri, dan sejarah perjuangan orang Melayu menentang penjajahan tanah air kita ini yang memakan banyak korban dalam kalangan orang Melayu sendiri. Inilah konsepnya keistimewaan orang Melayu di negara ini, yang sebenarnya mempunyai dan memiliki tanah air mereka ini sejak sekian lama.

Sekiranya terdapat aliran yang ingin mencabar kuasa Raja-Raja Melayu, maka cabaran itu adalah cabaran kepada kedudukan Me­layu sendiri di dalam negara yang asalnya bernama Tanah Melayu ini.

Sejarah juga mencatatkan terdapat beberapa buah negeri Me­layu yang telah menjadikan Islam sebagai dasar perlembagaannya, seperti di Johor pada 1895 dan Terengganu pada 1911. Sayangnya fakta ini hanya tinggal dalam ca­tatan sejarah tanpa dijadikan asas maklumat dan pendidikan rakyat umum seolah-olahnya Tanah Melayu ini adalah satu bumi asing daripada kita semua sehinggakan orang Melayu sendiri juga telah dilihat sebagai pendatang di negaranya sendiri.

Sejarah Tanah Melayu baharu yang diberi nama Malaya oleh penjajah juga memperlihatkan pengiktirafan sejati tentang status agama Islam iaitu ketika parti Perikatan mengemukakan memorandum kepada Lord Reid, Pengerusi Suruhanjaya Draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Perlembagaan Merdeka 1957) mencadangkan supaya agama Islam dijadikan agama negara Malaya, dan sebagai balasannya yang adil maka prinsip ini tidak menyentuh hak warga negara bukan Islam untuk menganut agama mereka secara aman dan harmoni. Cadangan inilah yang telah diterima dan termaktub di dalam Perlembagaan negara kita.

Kesediaan dan komitmen tiga kaum terbesar Malaya ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada Kerajaan British iaitu tentang kedudukan agama Islam dan kebebasan bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dalam aman dan harmoni adalah satu persefahaman asas yang menjadi prinsip pemerintahan negara ini. Hal inilah juga satu pendirian bersama yang dapat ditafsirkan sebagai kontrak sosial dalam beragama di negara ini di samping kontrak sosial di dalam aspek-aspek lain lagi yang tidak saya sentuh di sini.

Institusi Raja Melayu adalah institusi yang mempertahankan Islam di semua negeri dalam Malaysia kerana raja-raja adalah Ketua Agama Islam. Istilah Islam bukan amalan ritual semata-mata iaitu satu konsep yang cuba disempitkan pentafsirannya seperti yang sedang dilakukan oleh sesetengah golongan dalam masyarakat kita.

Amat diharapkan bahawa proses dan usaha mempertingkatkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan usaha mengemaskinikan latihan dan pengeluaran tenaga manusia yang berkemampuan dalam pentadbiran agama akan dapat dilipatgandakan lagi untuk melahirkan institusi pentadbiran, kehakiman, pendidikan dan semua institusi agama yang lebih berwibawa dan cekap sesuai dengan perkembangan pesat negara.

Pendek kata, kedudukan Islam di Malaysia adalah satu teras kewujudan institusi raja Melayu, dan hal ini amat terserlah kepada dunia kerana Yang di-Pertuan Agong sendiri ketika mengangkat sumpah jawatan antara lainnya telah berikrar mempertahankan agama Islam sepanjang masa. Sebagai pemerintah tertinggi negara, ikrar yang dilafazkan ini amat­lah bermakna bagi rakyat dan negara.

Oleh itu, apabila raja telah bertitah, maka tidaklah seharusnya akan timbul lagi sebarang gerakan melampau yang bertujuan mempolitikkan agama mengikut kepentingan peribadi, atau kumpulan tertentu sehingga meletakkan Islam di persimpangan jalan yang berbahaya.

Kita dalam keadaan sekarang tidak memerlukan golongan pelampau termasuk kumpulan pelampau agama apa pun yang dianuti di negara kita. Golongan pelampau agama ini seharusnya kita lenyapkan daripada berleluasa di dalam negara kita yang selama ini berjaya menghayati kehidupan aman dan tenteram, penuh to­leransi dan harmoni.

PROFESOR DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).