Teknologi terkini digunakan untuk mengenal pasti apa yang telah berlaku kepada pesawat berkenaan. Didoakan agar usaha pencarian MH370 menemui titik noktah­nya dengan khabar positif penemuan pesawat tersebut.

Selama ini, perkembangan teknologi moden telah membantu manusia bukan setakat pencarian barangan hilang tetapi juga dari segi komunikasi sesama manusia. Misalnya, media sosial pada masa kini telah menjadi satu perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Komunikasi sesama manusia semakin mudah dan pantas. Apa sahaja maklumat boleh disebarkan dengan begitu cekap sekali.

Namun, di sebalik perkembangan teknologi digital dan internet ini, semakin ramai manusia berkomunikasi tanpa rasa tanggungjawab. Mereka ini seolah-olah tidak mempedulikan amanah dalam menyebarkan maklumat kepada orang lain. Lebih teruk lagi, memalsukan atau mereka-reka berita. Bagi mereka teknologi sebegini memberikan mereka kebebasan untuk menyebarkan apa sahaja termasuklah memalsukan berita meskipun diketahui ini boleh merosakkan keharmonian hidup bermasyarakat.

Sememangnya manusia adalah makhluk yang sentiasa inginkan kebebasan. Namun, kebebasan yang ba­gaimanakah wajar diamalkan? Sebagai khalifah di muka bumi ini, manusia memiliki tanggungjawab besar untuk memakmurkan dunia ini. Tiada langsung istilah kebebasan mutlak. Misalnya, dalam hal berkomunikasi, prinsip-prinsip komunikasi dalam Islam perlu diamalkan.

Tidak boleh sesekali berkomunikasi dengan menyebarkan berita palsu. Malah, Islam melarang sama sekali menyebarkan maklumat yang mengaibkan orang lain. Mencari keburukan orang lain dengan tujuan untuk mengaibkan orang tersebut di media sosial. Komunikasi melalui media sosial perlu dilakukan secara beradab dan berakhlak kerana ini sebenarnya yang dituntut oleh ajaran agama Islam.

Dari segi perniagaan pula, tiada istilah kebebasan mutlak sehingga boleh mengambil tindakan yang menindas mana-mana pihak. Misalnya, seorang peniaga menipu timbangan semata-mata untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Dalam perniagaan, ada adab dan akhlak­nya. Sebab itulah, amalan kapitalis berasaskan pandangan Barat telah banyak memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat dunia.

Krisis-krisis kewangan yang berlaku antara sebabnya kerana pemain-pemain utama kapitalis menjalankan urusniaga secara tidak beradab dan berakhlak. Mereka bebas menjalankan urusniaga secara mutlak. Maka, usah hairanlah kerosakan demi kerosakan berlaku angkara amalan ekonomi kapitalis sehingga memudaratkan ke­sejahteraan penduduk dunia.

Tiada istilah sama rata sebagaimana dilaung-laungkan oleh Barat meskipun sebenarnya mereka sendiri tidak pernah mengamalkan apa yang diuar-uarkan oleh mereka. Kesaksamaan ini wajar berteraskan prinsip keadilan dalam memakmurkan masyarakat dunia.

Tidak hanya dalam aspek perniagaan dan ekonomi, kebebasan mutlak tidak wajar diamalkan bagi mempertahankan khazanah alam. Ini termasuklah khazanah alam sekitar yang dikatakan sebagai ekonomi hijau dan digabungkan dengan khazanah ekonomi biru. Dalam konteks ini, aspek pemeliharaan dan pemuliharaan sentiasa menjadi tunjang dalam amalan menjaga alam sekitar yang dikurniakan oleh-Nya.

Pokok-pokok tidak wajar ditebang dengan sewenang-wenangnya. Begitu juga, laut yang luas perlu dijaga de­ngan baik agar tidak berlakunya sebarang pencemaran air yang memusnahkan ekosistem marin. Tidakkah laut adalah antara sumber makanan utama kepada manusia? Musnahnya ekosistem marin, maka hilanglah antara sumber makanan utama kepada manusia.

Jadi, penting bagi kita semua untuk menjaga kelesta­rian dan kemapanan alam yang merupakan ekonomi hijau dan ekonomi biru buat penduduk dunia. Tidak boleh di­sangkal lagi bahawa kedua-dua jenis ekonomi ini menjadi asas kehidupan manusia. Sebarang bentuk kemusnahan boleh mengundang malapetaka besar terhadap penduduk dunia. Misalnya, peningkatan suhu dunia boleh memberi kesan besar terhadap manusia.

Perubahan cuaca dialami penduduk dunia pada masa kini ekoran kebebasan mutlak yang terbawa-bawa oleh segelintir golongan yang selama ini hanya mempedulikan keuntungan wang ringgit semata-mata. Mereka ini dahulunya tidak mempedulikan apa yang berlaku terhadap penduduk dunia. Bagi mereka pembangunan besar-be­saran negara mereka menjadi agenda utama.

Namun, apabila kesan negatif terhadap kemusnahan alam sekitar amat dirasai oleh masyarakat dunia pada masa kini, maka mereka ini cuba mengajar pula orang lain bagaimana untuk menjaga alam sekitar. Bak kata pepatah, Bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Ambil iktibar atas kesilapan yang telah dilakukan oleh mereka ini. Setiap kebebasan perlu dihadkan dengan tanggungjawab dan amanah demi kebaikan kehidupan manusia itu sendiri.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).