SHAMSUDDIN KADIR
SHAMSUDDIN KADIR

Pakar kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, hasil tinjauannya terhadap pelbagai golongan bekerja di seluruh negara mendapati trend menyimpan wang dalam kalangan masyarakat sangat kritikal.

“Kebanyakan golongan ini berumur antara 20 hingga 60 tahun. Dalam maklumat yang diperoleh melalui tinjauan seminar kewangan yang diadakan, alasan yang diberikan adalah gagal menyimpan wang kerana kos sara hidup yang semakin mendesak.

“Ada yang bergaji sehingga RM25,000 sebulan tetapi tidak dapat menyimpan, selain ada hutang kad kredit mencecah RM400,000 kerana terlalu mengikut trend gaya hidup mewah akibat bimbang dengan pandangan orang lain,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Shamsuddin berkata, kebanyakan masyarakat hari ini lebih gemar menjadikan gaya hidup sebagai matlamat kepuasan dalam hidup mereka.

Walaupun kos sara hidup semakin meningkat pada setiap masa, masyarakat sebenarnya boleh melakukan pelbagai cara untuk menyimpan dan mampu membebaskan diri daripada belenggu masalah kewangan.

“Perkara pertama kita perlu fahami bahawa wang yang disimpan perlu digandakan. Misalnya, menggunakan gaji walaupun dalam jumlah sedikit untuk menyimpan melalui unit amanah saham, Tabung Haji, pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau membeli emas.

“Jika wang hanya dimasukkan ke dalam akaun simpanan di dalam bank, itu tidak boleh dipanggil simpanan kerana tidak akan menggandakan jumlah sedia ada,” katanya.

Malah, katanya, menabung di rumah sebagai contoh menggunakan kaedah mengumpul duit kertas berwarna tertentu juga tidak boleh dianggap sebagai menyimpan, sebaliknya lebih kepada menabung untuk waktu kecemasan.

“Namun, kaedah itu, katanya dapat menyelamatkan kita pada saat terdesak memerlukan wang. Malah, ada yang berjaya menabung wang kertas berwarna tertentu sehingga mampu membuat bayaran pendahuluan membeli rumah baharu,” katanya.

Tambah Shamsuddin, satu lagi penyebab masyarakat tidak dapat menyimpan wang adalah kerana sakan berbelanja pada musim perayaan atau mengadakan majlis perkahwinan.

Katanya, faktor itu menjadi penyebab yang memusnahkan pengurusan kewangan orang ramai apabila ada membuat pinjaman peribadi semata-mata mahu kelihatan hebat di mata orang sekeliling.

Selain terikut-ikut dengan gaya terkini, promosi yang diadakan setiap kali musim perayaan juga mengakibatkan ramai terjebak ke kancah hutang dan berbelanja lebih daripada pendapatan.

“Sebagai pakar kewangan yang sudah 17 tahun bergelumang dan berhadapan pelbagai ragam manusia, saya sentiasa menasihatkan orang ramai agar mencari ilmu mengenai asas kewangan dan mula menyimpan untuk masa depan,” katanya.