Sebahagian ulama mengatakan Syaaban adalah bulan untuk memperbaiki diri dan ibadah. Ia juga persediaan menghadapi bulan Ramadan yang mulia. Antara amalan yang digalakkan dalam Syaaban termasuk:

* Memperbanyak puasa sunat

Bulan Syaaban adalah bulan yang paling dicintai Nabi Muhammad SAW. Baginda memperbanyak puasa sunat sehingga hampir berpuasa sebulan penuh, kecuali satu atau dua hari pada akhir bulan.

Daripada Aisyah r.ha berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW melakukan puasa satu bulan penuh ­kecuali puasa bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat baginda lebih banyak berpuasa sunah melebihi (puasa sunat) di bulan Syaaban.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, sabda Rasullullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdal berpuasa. Nabi SAW menjawab yang bermaksud: “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi SAW ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdal?”. Nabi SAW menjawab, “Sedekah di bulan Ramadan”. (Riwayat at-Tirmizi)

* Mengganti puasa Ra­madan yang lalu

Bulan Syaaban adalah masa terbaik untuk mengganti puasa yang tertinggal dalam Ramadan tahun-tahun lepas. Tidak kiralah atas alasan apa ditinggalkan puasa itu, ia wajib diganti atau dibayar fidyah berdasarkan syarat dan timbangan tertentu.

Bagi kaum muslimah yang belum habis menggantikan puasa, Syaaban inilah masanya untuk menggantikan puasa tersebut. Ia sebagaimana hadis daripada Aisyah r.ha: “Aku mempu­nyai hutang puasa Ramadan, aku tidak dapat mengqada­nya kecuali di bulan Syaaban, kerana sibuk melayani Nabi SAW.” (Riwayat Bukhari)

* Istiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan. Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian. Istiqamah bermaksud sentiasa melakukan amal ibadah setiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa yang diambil untuk melaksanakannya. Ini termasuk ­melazimi solat berjemaah di masjid.

* Memperkukuh silaturahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ia berkait dengan hubungan manusia dengan Allah SWT. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia selagi mana mereka tidak saling bermaafan. Sucikan diri daripada perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadan supaya amal ibadah pada bulan berkat ini dapat dirasai ­kemanisannya.

* Bertaubat dan beristighfar. Manusia digalakkan bertaubat dan memohon keampunan Allah atas segala dosa selama ini. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan dosa-dosa yang dilakukannya saban waktu. Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah ter­utamanya dosa-dosa kecil hasil perbuatan manusia sama ada melalui percakapan, penglihatan, pendengaran atau perbuatan. Semua dosa ini sebenarnya menjadi titik-titik hitam yang menyebabkan hati menjadi semakin keras. Natijahnya, individu terbabit akan jauh daripada petunjuk Allah.

Taubat ialah pembersihan rohani. Daripada Ibn Abbas, nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang selalu memohon ampun (membanyak istighfar), nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada kesenangan, setiap kesempitan ada jalan keluar dan dia diberi rezeki yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Marilah kita memperbanyak beristighfar memohon ampun kepada Allah. Baginda SAW yang maksum, insan yang suci tidak berdosa itu pun beristighfar 100 kali sehari, inikan pula kita yang tidak terlepas daripada ­melakukan dosa.