Tetapi agak menarik apabila Ahmad Zahid merakamkan rasa bangga beliau secara terbuka kepada Pemuda UMNO yang te­lah menongkah tuduhan Hsien Loong melalui penyampaian me­morandum bantahan kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia sehari selepas kenya­taan Perdana Menteri Singapura itu dihebahkan.

Strategi bantahan pantas oleh Pemuda dan disusuli ucapan tahniah daripada Ahmad Zahid bukan sahaja sebagai Naib Presiden UMNO tetapi juga Timbalan Perdana Menteri adalah manifestasi senario politik tempatan tidak boleh terpisah dengan kesan perlakuan geopolitik serantau.

Dari mula lagi Kuala Lumpur tidak berminat menggunakan pendekatan politik dalam isu tuntutan Pulau Batu Puteh, tetapi tuduhan Hsien Loong telah memaksa pe­mimpin negara mengubah pendirian sehingga isu ini disentuh dalam Perhimpunan Agung UMNO.

Inilah apa yang dimaksudkan dengan keanjalan strategi politik lebih-lebih lagi apabila PRU sudah begitu hampir.

Perhatikan sahaja senario politik Amerika Syarikat (AS) yang begitu berkait rapat dengan Israel dan bukan menjadi rahsia lagi ahli politik AS sering menggunakan isu ini untuk kepentingan agenda politik masing-masing. Hari ini Presiden Donald J. Trump akan membuat keputusan sama ada untuk memindahkan pejabat kedutaan AS ke Baitulmaqdis atau mengekalkannya di Tel Aviv ke­rana mengikut kehendak Akta Jerusalem 1985, Jabatan Negara AS mesti memin­dahkan pejabat kedutaan ke Baitulmaqdis.

Tetapi ironinya akta tersebut juga memberi kelonggaran yang mana Presiden AS diberi kuasa untuk mengecualikan arahan akta tersebut setiap enam bulan.

Trump pada Jun lalu telah menandatangani pengecualian tersebut dan Khamis ini adalah hari terakhir luputnya pengecua­lian enam bulan yang ditandatangani beliau.

Hakikatnya, isu kedaulatan Baitulmaqdis adalah salah satu masalah utama dalam kon­flik Palestin-Israel telah digunakan sebagai umpan untuk kepenti­ngan politik tempatan AS melalui kewujudan akta tersebut.

Bermula dari era Presiden Ro­nald Reagan pada 1985 sehinggalah terkini era Trump pada 2017, setiap presiden telah mengguna pakai kuasa eksekutif pengecualian bukan kerana tidak mahu mengiktiraf Baitulmaqdis milik Israel tetapi kerana suasana geopolitik semasa tidak membenarkannya.

Tetapi kali ini Trump dikatakan berkemungkinan tidak akan meneruskan pengecualian kerana senario politik yang telah memaksa Trump meraih soko­ngan terutama sekali daripada golongan konservatif yang pasti akan gembira apabila AS mengiktiraf Baitulmaqdis milik Israel sepenuhnya. Sokongan diperlukan kerana Trump ketika ini menghadapi tekanan ekoran siasatan pembabitan Rusia dalam mempengaruhi keputusan pilihan raya Presiden AS 2016.

Ahmad Zahid bukan sahaja menyentuh isu Pulau Batu Puteh ketika meluahkan iltizam kerajaan demi mempertahankan kedaulatan negara, tetapi juga menyentuh isu gerakan ‘Sabah Untuk Sabah’ dan ‘Sarawak Untuk Sarawak’ yang dimainkan oleh segelintir kumpulan demi meraih manfaat politik tanpa menghiraukan ­keselamatan dan kestabilan negara.

Tetapi apabila Ahmad Zahid menegaskan gerakan itu adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan Negara dan pada masa sama mengaitkannya apa yang sedang melanda wilayah Catalonia di Sepanyol, kaitan tersebut dianggap strategi pintar dan anjal kerana memberi isyarat yang pelbagai kepada segelintir kumpulan terlibat.

Antara sebab mengapa Catalonia mendesak untuk keluar dari Sepanyol adalah kerana merasakan tidak adil kekayaan yang dimiliki mereka dikongsi secara bersama dengan wilayah lain di Sepanyol. Ini kerana wilayah Catalonia adalah antara wilayah terkaya dibandingkan dengan wilayah lain di Sepanyol.

Begitu juga tindakan keras yang diambil Madrid terhadap pemimpin Catalonia yang mengisytiharkan kemerdekaan adalah juga antara isyarat yang sepatutnya dihayati oleh segelintir di Sabah dan Sarawak. Begitu jua dengan keadaan di mana tidak ada satu negara pun termasuk ahli Kesatuan Eropah (EU) yang mengiktiraf kemerdekaan Catalonia adalah satu lagi isyarat ­penting yang boleh dipelajari dari episod tersebut yang cuba disampaikan oleh Ahmad Zahid.

Sebab itu amat kritikal bagi ketiga-tiga sayap UMNO ini mengamalkan strategi pintar dan anjal dalam menterjemah kaedah gerak kerja yang diamanatkan oleh Naib Presiden. Umpamanya bagaimana untuk menyampaikan isu Pulau Batu Puteh, Catalonia atau pun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.2 peratus suku ketiga 2017 dalam bahasa yang mudah difahami rakyat memerlukan pendekatan yang agak berbeza.

Rakyat akan bertanya apa manfaatnya kepada mereka apabila negara memiliki Pulau Batu Puteh ataupun apa kena mengena dengan Catalonia yang beribu batu jauhnya dari Malaysia. Tidak syak lagi sudah pasti akan ada yang bertanya bagaimanakah pertumbuhan KDNK 6.2 peratus itu akan memberi kesan terhadap kehidupan seharian mereka?

Kesemua ini bukan sahaja memerlukan kerjasama erat antara ketiga-tiga sayap tetapi jua memerlukan persediaan rapi dan teratur.