Disebabkan reputasi dan prestijnya yang tinggi, maka secara tidak langsung juga ia datang dengan pelbagai jangkaan (expectation) yang melambung tinggi. Lantaran itu, usaha berkenaan menuntut kesungguhan, kerjasama jitu dan perancangan rapi dari semua pihak baik daripada PIBG, Lembaga Pengelola (BOG) mahupun pihak Pengurusan Sekolah bagi memastikan segala perancangan yang dibuat berada pada landasan betul dan sampai ke golongan sasar.

Selain PIBG, BOG dan pihak pengurusan sekolah, peranan alumni sekolah dalam perkara ini juga kritikal dan menjadi pelengkap kepada usaha-usaha yang diambil oleh mereka.

Sebagai contoh, alumni bukan sahaja berperanan sebagai jambatan penghubung antara bekas-bekas pelajar dengan pihak sekolah bahkan juga sebagai wadah kepada golongan ini untuk merapatkan ukhuwah serta sebagai platform untuk mencurah sumbangan kepada pihak sekolah.

Bagi bekas-bekas pelajar SJI, mereka cukup bertuah kerana mempunyai sebuah alumni yang mantap dan inklusif yang sentiasa proaktif dalam menjaga kebajikan serta mendengar permasalahan mereka.

Ke arah memastikan ikatan ini terus terpelihara, pihak St. John’s Alumni Association atau ringkasnya SJAA telah menggariskan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tahun ini merangkumi aktiviti-aktiviti sukan, Homecoming, majlis makan malam dan juga kunjungan ke atas bekas-bekas pelajar yang uzur sejajar dengan penekanan kepada elemen Johannian prihatin dalam semua aktiviti yang dijalankan.

Salah satu daripada acara yang berlangsung baru-baru ini iaitu Johannian BBQ Homecoming Party di perkarangan sekolah pada Sabtu lepas, memperlihatkan impak yang dimahukan itu. Apa tidaknya, sambutan yang diberikan oleh bekas-bekas pelajar untuk acara tersebut bukan sahaja di luar jangkaan bahkan juga memperlihatkan semangat ukhuwah yang cukup tinggi dalam diri mereka.

Rata-rata mereka yang hadir ke acara itu melahirkan kegembiraan dapat bertemu kembali dengan sahabat-sahabat lama selain mengenang detik-detik manis ketika di bangku sekolah dahulu.

Ternyata, kehadiran lebih 400 orang bekas pelajar dari era 1960-an sehingga 2017 ke acara berkenaan membuktikan bahawa semangat Johannian yang di­terapkan dalam diri mereka oleh guru-guru semenjak di bangku sekolah lagi, tidak sia-sia.

Malahan, apa yang diajar oleh guru-guru sekolah itu masih terus segar dalam ingatan sekali gus membolehkan mereka terus membentuk suatu rangkaian hubungan yang kukuh.

Apa yang cukup mengharukan adalah biarpun kalangan bekas pelajar yang hadir datang daripada era berbeza, namun faktor itu tidak sekalipun menghalang mereka berkenalan antara satu sama lain ibarat abang besar bertemu dengan adik dan adik bertemu dengan abang besar.

Keakraban itu juga terserlah ketika mereka menyanyikan lagu sekolah, masing-masing dengan nada dan irama berlainan tetapi dengan satu tujuan yang sama iaitu kecintaan kepada alma mater.

Menariknya juga, bekas-bekas pelajar yang dimaksudkan itu sempat bertanya kepada alumni mengenai perkembangan sekolah dan apakah sumbangan yang boleh diberikan kembali kepada alma mater. Semuanya ini membuktikan bahawa kumpulan bekas-bekas pelajar itu ingin membantu dan masa depan untuk SJI adalah amat cerah.

Oleh yang demikian, tugas dan tanggungjawab untuk memperkasakan semangat Johannian perlu dilaksanakan secara konsisten. Usaha tersebut tidak harus datang daripada satu pihak semata-mata tetapi menuntut penyertaan pelbagai pihak. Sekadar melaung atau menjerit Onward to Victory, St John’s tidak membawa sebarang makna jika ia tidak di­susuli dengan niat dan tindakan yang konkrit.

Itu sebabnya obor perjuangan untuk mempertahankan semangat Johannians tidak berakhir dengan penganjuran acara Johannian BBQ Homecoming Party. Sebaliknya, ia hanyalah satu permulaan ke satu fasa yang lebih kritikal dan di sinilah penyertaan serta komitmen generasi Johannians masa kini amat ditagih.

Merekalah penyambung obor perjuangan dan mereka jugalah yang bakal mengemudi usaha-usaha selepas ini untuk memastikan SJI terus disegani sebagai sebuah institusi pendidikan tersohor di mata masyarakat. Maka kerana itu, adalah penting untuk mereka menghayati etos dan semangat Johannian dengan sebaik mungkin.

PENULIS adalah bekas pelajar St. John’s Institution.