Jika dianggarkan purata 3,000 orang graduan baharu dikeluarkan oleh setiap universiti awam, ini bermakna seramai 60,000 orang graduan berjaya dihasilkan oleh 20 universiti awam di seluruh negara setiap tahun. Angka ini sangat besar dan menyumbang kepada jumlah insan berpengetahuan tinggi dan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk pembangunan negara.

Dalam konteks di Universiti Putra Malaysia (UPM) sahaja, seramai 6,973 orang graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing mulai esok. Daripada jumlah tersebut, seramai 630 orang menerima ijazah Ph.D, 1751 ijazah Sarjana, 3,970 ijazah Sarjana Muda dan 622 Diploma.

Pengalaman tiga atau empat tahun berada di kampus sangat penting sebelum graduan melangkah ke alam kehidupan sebenar. Sewaktu mereka berada di kampus, mereka bukan sekadar menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan bagi memenuhi tuntutan akademik, tetapi meraih pengalaman kehidupan kampus yang penuh makna. Kampus bukanlah sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi mencari erti kehidupan sebenar. Di kampuslah, graduan belajar berdikari. Mereka menguruskan kehidupan dengan keputusan sendiri tanpa banyak bergantung bantuan keluarga.

Apabila menamatkan pengajian di universiti dan memperoleh segulung ijazah, ia bukanlah garis penamat bagi graduan untuk terus belajar sehingga ke peringkat tertinggi. Konsep pembelajaran sepanjang hayat perlu dihayati dan diamalkan. Proses pembelajaran ini tidak semestinya bersifat formal, tetapi boleh juga berlaku dalam konteks tidak formal yang dapat memperkukuh kemahiran insaniah, sahsiah dan keperibadian diri.

Setiap graduan ialah alumni kepada universiti atau alma mater masing-masing. Justeru, alumni mesti menjadi sebuah keluarga yang kuat. Faktor ini sebenarnya dapat menyumbang dalam dua dimensi. Pertama, memberi manfaat kepada pembangunan dan kelestarian universiti. Alumni yang kuat akan berupaya membantu alma mater mereka dengan lebih berkesan melalui pelbagai cara. Ini termasuk memberi sumbangan kepakaran, khidmat nasihat, kewangan, biasiswa, membuka ruang kerjasama universiti dan mempelbagai jaringan komuniti demi kesejahteraan rakyat.

Kita tidak menafikan sumbangan kewangan oleh para alumni sangat penting dalam menggerakkan aktiviti di universiti sama ada dalam konteks pembangunan akademik atau sahsiah pelajar. Sumbangan endowmen oleh alumni misalnya, dapat menjadi sumber kewangan alternatif kepada universiti. Peranan alumni semakin kritikal terutama dalam keadaan kewangan universiti yang terbatas.

Sebagai contoh, hasil sumbangan para alumni boleh membantu kumpulan pelajar yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan. Bantuan seperti sumbangan kewangan, keperluan harian dan peralatan untuk belajar boleh meringankan beban mereka untuk terus menuntut ilmu dengan selesa dan fokus dalam pembelajaran.

Sumbangan para alumni juga penting dalam konteks pelaksanaan aktiviti pelajar. Misalnya, program mobiliti pelajar ke luar negara lebih mudah dijayakan dengan sokongan alumni tanpa pelajar perlu meminta sumbangan atau derma daripada pihak luar. Program mobiliti pelajar sangat penting dalam usaha mendedahkan pelajar tentang pengalaman pembelajaran dan budaya kehidupan yang berbeza.

Kedua, keakraban alumni bukan sahaja bermanfaat kepada alma mater mereka, tetapi membantu meningkatkan kebajikan sesama alumni. Jika ada yang sedang ditimpa bencana dan musibah, maka alumnilah yang akan menghulurkan sumbangan.

Cabaran utama melonjakkan peranan dan sumbangan para alumni adalah bagaimana untuk mencari dan mengumpulkan mereka agar terus kekal ‘dekat’ bersama alma mater mereka. Kita sedia maklum, apabila alumni telah menamatkan pengajian, mereka akan meneruskan kehidupan masing-masing. Maka di sinilah letaknya komitmen, kesungguhan dan kreativiti universiti untuk terus mencari dan menjejak kembali para alumni melalui pelbagai aktiviti, kaedah dan promosi. Sudah tentu, media sosial yang interaktif wajar menjadi wahana ampuh oleh universiti untuk berkomunikasi dan menghubungkan para alumni walau di mana mereka berada.

Seperti universiti awam lain, UPM melalui Pusat Alumni sentiasa gigih menyantuni alumni melalui beberapa inisiatif. Ini termasuk memperkasakan kerjasama alumni-Alma mater, memperkukuh jaringan komuniti alumni dan masyarakat setempat, menjenamakan UPM Alumni sebagai Duta UPM dan mempergiatkan sumbangan kewangan alumni kepada alma mater.

Malah baru-baru ini, di Majlis Sirih Pulang ke Gagang yang mana Tuanku Canselor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, turut mencemar duli berangkat bersama-sama warga UPM dan alumni pada hari yang amat bermakna ini. Ia bertujuan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan alumni, menemukan rakan lama bagi mengeratkan hubungan antara alumni dan alma mater serta landasan berkongsi kenangan lama bersama bekas rakan sekuliah, pensyarah dan alumni baharu.

Universiti sewajarnya menggunakan kesempatan terbaik sempena majlis konvokesyen dengan memperkukuh jalinan alumni demi kepentingan dan kesejahteraan bersama. Seperti kata, alumni dan alma mater, berpisah tiada. Semoga nilai kasih sayang, sense of belonging dan sense of pride terhadap universiti terus terpasak di dalam hati. Tahniah kepada graduan kelas 2018.
 
PROF. DATIN PADUKA DATUK DR. AINI IDERIS ialah Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM).