Ayat spontan itu dijawab oleh Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Ruhaidini Abdul Kadir apabila ditanya apa yang boleh diungkapkannya mengenai Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah yang mangkat dalam usia 88 tahun semalam.

“Almarhum begitu menghayati ungkapan itu,” kata Ruhaidini atau mesra dengan panggilan Dini, yang mengenali rapat Almarhum terutama semasa mengetuai Biro Utusan Malaysia Pahang dari tahun 2003 hingga 2006.

Banyak kenangan diimbau Ruhaidini kepada akhbar ini mengenai perwatakan Almarhum yang suka berdamping dengan rakyat. Ini terutama mendengar keluh-kesah mereka.

“Satu kenangan mengenai Almarhum yang terpahat dalam diri Dini sehingga kini adalah apabila Almarhum Tuanku bertindak sebagai ‘hakim’ dalam satu perbicaraan kes buli pelajar,” katanya ketika dihubungi.

Ruhaidini masih ingat bagaimana Dewan Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah, Padang Tengku di Kuala Lipis, tempat kejadian itu berlaku pada 14 Jun 2005 bertukar menjadi ‘mahkamah’ apabila Almarhum menyoal seorang demi seorang pelajar yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut serta tiga orang warden sekolah berkenaan.

Bertindak sebagai ‘hakim’, Almarhum Tuanku menitahkan mereka menceritakan perkara sebenar berlaku dan punca kejadian menimpa Muhammad Afiq Qusyairi Baharuddin yang menghadapi risiko lumpuh dipercayai selepas dibelasah pada 24 April tahun berkenaan.

Seramai 495 pelajar termasuk sekumpulan pelajar yang dipercayai terlibat dengan kes itu serta 33 guru sekolah yang menghadiri ‘perbicaraan’ hanya mampu menundukkan kepala masing-masing apabila Almarhum meluahkan rasa kesal terhadap insiden tersebut.

Pada sidang ‘mahkamah terbuka’ itu, 14 pelajar termasuk ketua pelajar dan lapan ahli jawatankuasa asrama dipanggil menghadap Almarhum. Turut dipanggil memberi keterangan ialah tiga orang warden termasuk ketua warden yang telah berkhidmat di sekolah berkenaan lebih 10 tahun.

Almarhum mengadakan ‘perbicaraan’ tersebut semasa melawat sekolah berkenaan bagi mengetahui lebih dekat latar kejadian sehingga menyebabkan Muhammad Afiq terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Laporan yang ditulis Ruhaidini dipaparkan di muka depan akhbar ini pada 15 Jun 2005 di bawah tajuk, “Saya malu, sedih, dukacita - Sultan”.

Rentetan kejadian buli itu, Almarhum dan Menteri Besar Pahang ketika itu, Datuk Seri Adnan Yaakob mengadakan lawatan dari semasa ke semasa ke sekolah berkenaan bagi memastikan masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah itu tidak berulang.

“Pada Julai tahun yang sama, beberapa guru kanan termasuk pengetua serta warden Sekolah Menengah Agama Al Maidah Addiniah ditukarkan ke sekolah lain atas arahan Almarhum,” imbas Ruhaidini.

Kata Ruhaidini lagi, di Pahang, apa juga yang berlaku sama ada orang mati lemas, kebakaran atau kemalangan, kalau dimaklumkan kepada baginda, nescaya akan diberi bantuan.

“Ada ketikanya Tuanku lebih pantas tiba di tempat kejadian daripada bunyi siren pasukan keselamatan atau wartawan sendiri,” katanya.

Ruhaidini juga berkongsi suatu kisah bila mana Almarhum menzahirkan kemurkaan dengan kejadian banjir lumpur di Kilometer 52.5, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak kerana berpendapat bencana itu tidak akan berlaku sekiranya langkah pencegahan awal diambil.

“Banyak kali di Pahang termasuk di tepi Sungai Lembing yang sering dilanda banjir, Almarhum dilihat meranduk air untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Pernah Almarhum berada di kawasan banjir pada pukul 1 pagi dan menitahkan tukang masak istana menyediakan makanan untuk rakyat yang terperangkap dalam banjir,” ujar Ruhaidini.

Bahkan, sepanjang musim banjir, setiap malam Almarhum melawat kawasan-kawasan banjir. Almarhum ke satu haluan manakala anakandanya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang semasa itu Tengku Mahkota, ke satu haluan lagi. Ini bertujuan memastikan setiap rakyat yang terjejas mendapat bantuan.

Almarhum, Tengku Mahkota dan Menteri Besar ketika itu bekerja sebagai satu pasukan untuk rakyat Pahang.

Kata Ruhaidini, sayangnya Almarhum kepada rakyat terserlah dengan ungkapan yang cukup sinonim dengan Almarhum iaitu: “Ini negeri saya, kalau saya tidak jaga dan tengok kebajikan rakyat, siapa lagi?”