Bagi rakan-rakan media, me­­reka sudah pasti mempu­nyai pengalaman tersendiri ketika membuat liputan berkaitan ­Allahyarham di dalam atau di luar negara, sama ada sebagai Ahli Parlimen, menteri Kabinet dan juga sebagai Duta AS.

Saya juga pernah membuat liputan berkaitan program yang dihadiri Allahyarham termasuk di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada Disember 2006. Ketika itu Allahyarham sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dijemput menyaksikan pelancaran Satelit Asia Timur Malaysia Ketiga atau Measat-3. Dalam satu majlis meraikan kejayaan pelancaran itu, beliau menekankan tentang kesungguhan kerajaan dalam bidang angkasa dengan tertubuhnya Agensi Angkasa Negara. Pelancaran Measat-3 baginya memberi lonjakan dalam bidang industri komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) di Malaysia.

Turut dalam ingatan penulis ketika Allahyarham sebagai Duta AS bersama Perdana Menteri, Najib Tun Razak hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN di Bali pada November 2011. Dalam satu sidang akhbar, beliau bertanyakan sama ada wartawan mendapat audio ucapan Obama semasa bertemu Najib sebelum itu. Bagi Allahyarham, ucapan Obama amat baik dan perlu diberi perhatian. Apabila diberitahu, audio tidak jelas disebabkan kedudukan wartawan agak jauh daripada dua pemimpin itu, Allahyarham terus menghubungi Kedutaan AS supaya mengeluarkan audio itu untuk wartawan Malaysia. Akhirnya audio itu diperoleh melalui Kedutaan AS di Kuala Lumpur. Begitulah serba sedikit pengalaman penulis mengenai Allahyarham.

Takziah kepada keluarga ­Allahyarham. Semoga arwah di­tempatkan dalam kalangan orang beriman.