Ini kerana setiap komponen kenderaan sudah direka khas mengikut spesifikasi ditetapkan demi memastikan tiada masalah teknikal berlaku terhadap kenderaan berbanding alat ganti tiruan yang tidak terjamin ketahanan dan fungsinya sekali gus menjuruskan kepada ketidakstabilan.

Maka apa yang membimbang­kan adalah risiko yang bakal berlaku seperti kemalangan, kerosakan teruk dan sebagainya sehingga boleh mengundang kepada kehilangan nyawa dan kecederaan parah kepada pemandu dan pengguna jalan raya lain.

Menurut Penyelidik Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, Prof. Ir. Dr. Masjuki Hassan, terdapat dua komponen alat ganti kenderaan iaitu alat ganti yang tidak kritikal dan juga alat ganti kritikal.

Jelasnya, bagi alat ganti tidak kritikal seperti bekas lampu kenderaan, pemegang tangan dan sebagainya boleh menggunakan alat ganti tiruan yang lebih murah jika tidak berkemampuan.

“Ini bukan sahaja boleh menjimatkan pengguna yang di bawah B40 malah tidak mengganggu pelbagai aspek keselamatan pengguna dan juga pemandu itu sendiri.

“Namun tiada kompromi untuk alat ganti kritikal seperti sistem brek, enjin, sistem tayar dan sebagainya yang berkait secara langsung dengan keselamatan kenderaan. Maka pengguna perlu menggunakan alat ganti tulen,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Ujarnya, penggunaan komponen kenderaan tulen bagi kategori kritikal adalah amat wajar dalam kalangan pengguna memandangkan ia telah dikeluarkan mengikut standard, piawaian selain spesifikasi menerusi pelbagai kajian yang dijalankan oleh pihak pengeluar kenderaan.

“Ia bukan sahaja terjamin dari segi kualiti malah mempengaruhi aspek tuntutan pihak insurans jika sebarang perkara tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Masjuki berkata, tahap kesedaran terhadap keselamatan kenderaan rakyat Malaysia termasuk kebanyakan penduduk Asia masih rendah kerana mereka mahu memilih alatan yang lebih murah semata-mata mahu menjimatkan kos.

Menurutnya, ia sudah menjadi satu budaya apabila pengguna akan mencari kedai atau barangan paling murah berbanding ketulenan barangan tersebut jika ingin membaiki kenderaan mereka.

“Ia berbeza bagi orang Barat dan juga Jepun yang lebih mengutamakan keselamatan lebih-lebih apabila melibatkan soal nyawa. Mereka enggan untuk menggunakan alat ganti tiruan sekiranya ingin menukar komponen yang rosak pada kenderaan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Masjuki berharap pihak berkuasa perlu menjalankan tugas dengan berkesan dan terus menerus bukan sahaja bermusim jika berlaku kemalangan disebabkan penggunaan barangan tiruan.

“Kempen kesedaran melalui video kemalangan dan poster harus dipamerkan di tempat termasuk pusat membeli belah dan sekolah agar orang ramai mengetahui akan bahaya penggunaan barangan tiruan,” jelasnya.