Siti tertarik dengan kenyataan A. Aida bahawa dia akan suruh pelakon yang wajah tak cantik supaya buat pembedahan. Bagi penerbit ini wajah cantik adalah pakej seorang artis. Hairan pula kenapa dia tak suruh pelakon yang keras macam kayu masuk kelas lakonan.

Tapi maaflah, Siti terlupa. Sebenarnya itulah mentaliti sebahagian besar penerbit drama, penerbit filem, pengarah, artis dan peneraju stesen televisyen kita. Siti pun tak rasa nak terkejut dengan saranan “luar biasa" A. Aida kepada pelakonnya. Kalau beginilah mentaliti orang yang kononnya menentukan “hala tuju" drama kita, apalah yang boleh kita harapkan.

Bagi A. Aida jadi artis mesti cantik. Mentaliti sampai kepada masyarakat bahawa artis mesti cantik. Kalau tak cantik bukan artis. Lalu yang hendak dijual kepada masyarakat adalah kecantikan artis, bukan kebolehan berlakon. Kesiannya penonton kita yang diperbodohkan hidup-hidup oleh penerbit yang lebih kurang sama mentalitinya.

Kalau mengikut saranan A. Aida, nak jadi artis bukanlah susah sangat. Lebih-lebih lagi kalau nak berlakon drama terbitan A. Aida. Dia tak tanya tentang kualiti. Dia pun tentunya tak tahu apa satu tentang estetika. Kalau artis yang sanggup buat muka jadi cantik, itu sudah menepati kriteria menjadi pelakon drama A. Aida.

Siti percaya kalau Whitney Houston ketika masih hidup nak berlakon drama A. Aida sudah tentu kena buat muka bagi cantik dulu. Begitu juga kalau Oprah yang seluruh dunia kenal dia kerana kualiti. Tapi sampai kepada A. Aida, Oprah pun kena cantik. Dalam kata lain artis hebat macam Oprah atau Whitney Houston belum cukup pakej sebagai artis. Mereka hanya berkualiti tapi tak cantik, setidak-tidak macam A. Aida.

Ada sesetengah orang kata, dunia hiburan kita hanya menjual kaca tapi dikatakan permata. Semua ini digerakkan secara tersusun sekaligus memperendahkan mentaliti penonton yang sebenarnya jauh lebih tinggi daripada kelompok penerbit macam A. Aida. Kaca ini dijaja seolah-olah itu permata kelas pertama.

Siti fikir semua ini adalah kerosakan-kerosakan yang menular untuk merosakkan penonton. Kalau beginilah, tak hairan penghayatan penonton terhadap seni terlalu rendah. Mana tak rendah, pelakon yang seharusnya diukur kualiti lakon digunakan kayu ukur untuk mencari ratu.

Siti tertanya-tanya juga, adakah dalam kalangan pelakon tersinggung dengan kenyataan A. Aida ini? Tapi kawan Siti cakap, mereka tak akan tersinggung kerana mereka pun lebih kurang sama juga. Mereka sanggup cucuk muka sampai mulut jadi paruh itik kerana nak cantik. Tengoklah adakah pelakon kita berhabis duit masuk kelas lakonan atau kelas nyanyian? Mereka hanya masuk kelas suntikan.

Dunia hiburan kita nampaknya penuh dengan keterbalikan. Yang orang dah buang jauh-jauh, kita baru nak kutip. Orang Barat cari pelakon, penerbit kita letak kriteria macam nak cari ratu. Siti sebenarnya dah lama tak buang masa di depan televisyen menonton keterbalikan ini.

SITI JARUM: Suntik ubat kebas.