Sebaik sahaja Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dikuatkuasakan 11 April Rabu lepas, hari yang sama juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said sudah menerima ‘penangannya’.

Poster program pemberian kira-kira 5,000 cermin mata secara percuma yang dijadualkan Ahad (15 April) di Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Kandu, anjuran bahagiannya, secara tiba-tiba ditukar (dipalsukan) oleh ‘si sakit mental’ kepada ‘program pemberian 5,000 baju dalam percuma’. Dikekalkan pula tarikh dan tempat yang sama.

Menyuakan telefon bimbitnya menunjukkan poster tular itu kepada Tumpang lalu yang membuat tinjauan di Permatang Pauh malam Rabu lalu, Mohd. Zaidi, 49, memberitahu, beliau akan membuat laporan polis keesokannya di balai polis di Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah. Tetapi laporan polis itu kemudiannya ditarik balik kerana pihak yang buat onar sudah memohon maaf setelah Mohd. Zaidi memikirkan masa depan suspek, pemuda berumur 29 tahun - seorang jurutera yang baru menimang cahaya mata berusia tiga bulan.

Ditanya persiapan jentera Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh berdepan gabungan pembangkang PKR, yang kelibat pe­nyandang kerusinya hampir tidak kelihatan sejak sekian lama, beliau bersyukur kerana peranca­ngan yang dibuat sejak 2013 hingga hampir genap sepenggal lima tahun, pihaknya berjaya melengkapkan blue print sedia ada.

“Dari institusi-institusi pendidikan ke masjid, surau, rumah ibadat sehinggalah kebajikan untuk golongan muda dan bidang keusahawanan di Permatang Pauh sudah mencakupi gerak kerjanya dan dianggap selesai,” kata Mohd. Zaidi.

Begitupun, kata Mohd. Zaidi, yang nampak situasi agak pelik dalam tempoh 40 hari menje­lang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini adalah tindak tanduk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kenapa, tanya Tumpang lalu lagi.

“Baru-baru ini beliau umumkan tiga projek besar di Permatang Pauh. Pertama, merasmikan majlis pecah tanah projek Pasar Awam Seberang Jaya dan Kompleks Makanan serta food court yang dijanji untuk dibina yang baharu. Kedua, umumkan projek tebatan banjir di Permatang Rawa dengan peruntukan besar dan ketiga, juga umumkan projek naik taraf padang awam stadium mini di Permatang Rawa yang sebelum ini tidak di­selenggarakan, terbiar dan rosak. Ini katanya, menerusi peruntukan kerajaan negeri dan pihak swasta.

“Cuma kita (bahagian) ingin bertanya, kenapa ketiga-tiga projek baharu ini (tak termasuk pasar awam dan kompleks makanan) sejak 10 tahun dulu tidak dibuat, sampai terbiar (waktu DAP berkuasa 2008) pun tak buat apa-apa. Hairannya, tinggal 30, 40 hari (menjelang PRU-14) baru nak umum...umum sahaja, buat (laksana) belum tentu.

“Macam mana projek food court yang hanya menelan belanja kecil antara RM2 juta hingga RM3 juta ambil masa 10 tahun untuk siap..., kalau sungguh nak bantu penduduk Permatang Rawa, tak perlulah tunggu sampai 10 tahun,” kata Mohd. Zaidi.

Setakat Disember 2017, daftar pemilih berdaftar dalam rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sebanyak 80,964 pengundi di kawasan Parlimen Permatang Pauh dengan meliputi 70 peratus Melayu, Cina (24 peratus) dan India (6 peratus).

Bagi Tumpang lalu, mudah sahaja, dengan pengumuman Guan Eng terhadap tiga projek berke­naan, bolehlah rakyat menuntut pelaksanaannya nanti. Jangan nan­ti seperti kata Perdana Menteri baru-baru ini, ada 51 janji kosong di Pulau Pinang.

Cuma kalau dapat Guan Eng contohi cara kerja Mohd. Zaidi. Kalau Mohd. Zaidi yang bukan wakil rak­yat pun menerusi inisiatifnya boleh bina sehingga 17 dewan sekolah, dua buah masjid dan berbelas-belas surau di sekitar Permatang Pauh dalam tempoh empat tahun beliau menyandang ketua bahagian, takkanlah anda Guan Eng selaku ketua menteri hanya umum tiga projek itu sahaja KPI (Petunjuk Prestasi Utama) nya di Permatang Pauh.

Di sebalik ‘keterujaan’ Guan Eng mengumumkan tiga projek berkenaan, Mohd. Zaidi turut menarik perhatian terhadap kemelut gabungan pembangkang PKR di Permatang Pauh.

“Saya dapat mesej dari grup (WhatsApp) PKR Penanti bahawa YB Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti) berkeras tak mahu pindah (bertanding) ke DUN Kajang, tetap mahu di Penanti.

“Ini tunjukkan kemelut yang tak selesai,” kata Mohd. Zaidi.

Persaingan merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh kali ini dipercayai paling sengit, yang selain melibatkan PKR dan BN, turut disertai Pas dengan mempertaruhkan Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, 37, manakala PKR dijangka menampilkan sekali Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, 65.