Penegasan peri pentingnya pembacaan dan peranan­nya sebagai wasilah ilmu ditegaskan sejak daripada wahyu pertama lagi iaitu ayat 1-5 surah al-‘Alaq. Justeru, kepentingan mencari dan menguasai ilmu menjadi sebahagian daripada identiti umat Islam dan ia lazimnya bermula dengan menguasai bacaan al-Quran.

Berbeza dengan individu celik, orang kurang upaya (OKU) penglihatan lazimnya mengenali al-Quran menerusi hafalan ayat-ayatnya. Ketajaman deria pendengaran selain kekuatan daya ingatan menjadi faktor utama yang menjayakan hafalan seseorang.

Namun hakikatnya, ti­dak semua OKU Penglihatan Muslim mampu menghafal al-Quran menerusi pendengaran dengan baik. Malah, rujukan kepada mashaf al-Quran dalam bentuk bertulis amatlah pen­ting sebagai sumber rujukan.

Justeru, penerbitan Qu­ran Braille dalam kalangan umat Islam sejak 1950-an lagi adalah satu usaha yang amat bermakna dan menjadi sinar harapan kepada OKU penglihatan Muslim seluruh dunia.

Dari penerbitan yang berteraskan mesin secara manual sehinggalah penggunaan perisian dan pencetak (embos­ser) canggih, Quran Braille telah melalui proses evolusi yang banyak memanfaatkan OKU Penglihatan dalam urusan keagamaan mereka.

Bagaimanapun, isu berkaitan keseragaman penulisan dalam Quran Braille sedia ada masih belum dapat ditangani sepenuhnya. Oleh sebab hampir kesemua Quran Braille di dunia pada hari ini berlandaskan kepada kaedah rasm imla’i (ejaan bahasa Arab) berbanding al-Quran tulisan biasa yang berteraskan rasm uthmani, maka timbul kekeliruan dan kesukaran bagi OKU penglihatan dalam mempelajari bacaan al-Quran disebabkan perbezaan tersebut.

Tambahan pula, kebanyakan Quran Braille yang ada pada hari ini di Malaysia tidak disemak dan diteliti oleh pakar-pakar dalam bidang al-Quran dan Braille dan ini menyebabkan banyaknya pertikaian dan aduan mengenai kesalahan dan ketepatan tulisan sesuatu perkataan atau ayat al-Quran.

Oleh yang demikian, usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan Panel Pembangunan Standard Mashaf al-Quran Braille Malaysia adalah satu inisiatif yang perlu dipuji dan tepat pada masanya. Ia juga melambangkan sinergi kepakaran pelbagai pihak yang dirintis oleh pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) sejak 2012.

Keahlian jawatankuasa ini yang mula bersidang pada Oktober tahun lalu turut menampilkan perwakilan daripada badan berwajib seperti Kementerian Dalam Negeri selain badan bukan kerajaan berkaitan OKU penglihatan di Malaysia.

Antara objektif yang disasarkan ialah menghasilkan standard penulisan mashaf al-Quran Braille mengikut kaedah rasm Uthmani dan seterusnya menghasilkan satu naskhah al-Quran Braille yang lengkap ditulis mengikut kaedah berkenaan.

Harapannya, usaha yang julung kali diadakan ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah keseragaman, ketepatan dan kekeliruan dalam penulisan dan pembacaan al-Quran Braille, bahkan boleh dijadikan rujukan oleh umat Islam di negara lain yang memerlukannya.

Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim Mohd. Zarif ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam 
Malaysia (USIM).