Namun, ia bagaikan malam tidak disinari bulan, langit tidak lagi dihiasi gemerlapan bintang. Tanda tanya kehilangan remaja berusia 17 tahun itu akhirnya terjawab. Satu berita yang pastinya merentap jiwa apabila beliau disahkan syahid di ‘medan pertempuran’ itu.

Pemergian Mohd. Haziq menyedihkan di kala ayahnya, Mohd. Tarmizi Shuib kini beransur pulih akibat cedera terkena tembakan rambang dalam serangan berdarah itu. Ia juga boleh diibaratkan pengorbanan seorang abang terhadap adiknya, Mohd. Haris, 13, yang turut terselamat.

Kepulangan Mohd. Haziq ke negeri abadi pada Jumaat dan di sebuah tempat mulia - masjid - satu pemergian yang diidamkan seluruh umat Islam. Mohd. Haziq ‘terpilih’ antara 50 syuhada yang maut akibat kejadian itu yang hadir di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood untuk menunaikan solat Jumaat.

CEMERLANG

Keluarga Mohd. Haziq bermastautin di New Zeland sejak 18 bulan lalu. Di sana, beliau bersekolah peringkat menengah di Burnside High School. Arwah seringkali mencatat kecemerlangan dalam sesi persekolahan termasuk dalam peperiksaan National Certificate of Educational Achievement (NCEA) Tahap 1, tahun lalu.

Pengetua sekolah Mohd. Haziq, Phil Holstein turut mengakui kewibawaannya dan berpendapat arwah seorang yang bijak dan dihormati rakan-rakan dan para gurunya.

“Dia seorang yang bersungguh-sungguh, bermotivasi dan hanya mahu buat yang terbaik. Walaupun hanya baru mengikuti pengajian di sini, beliau telah menunjukkan kesungguhan dan keyakinan untuk berjaya. Kami amat bersedih atas pemergian beliau.

“Sebilangan guru dan pelajar akan menghadiri upacara pengebumian yang akan disempurnakan di Memorial Park Cemetery Bromley.

“Doa dan ingatan kami mengiringi perjalanannya ke negeri abadi,” katanya seperti dipetik menerusi media antarabangsa.

Holstein turut merasa bimbang, trauma akan kesedihan keluarga Mohd. Haziq yang pada mulanya tidak dilaporkan sebagai antara mangsa dalam tragedi itu.

Setakat malam kelmarin, nasibnya masih tidak diketahui sehinggalah pihak Kerajaan New Zealand mengesahkan kematiannya menerusi kenyataan oleh Wisma Putra.

“Saya tidak boleh bayangkan bagaimana ahli keluarganya melalui hari-hari tersebut sebelum ini. Perasaan ternanti-nanti sehinggalah berita disahkan meninggal dunia,” katanya selepas mengadakan perhimpunan bagi mengumumkan berita sedih Mohd. Haziq kepada warga sekolah itu.

PALING BACUL

Seluruh masyarakat dunia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengganas kulit putih, Brenton Tarrant yang melepaskan tembakan rambang ke atas jemaah di Christchurch itu yang disifatkan sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Tindakan paling bacul dan tidak menghormati rumah ibadat itu turut mencederakan berpuluh yang lain. Insiden tembakan rambang di Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood Jumaat lalu mencederakan dua lagi rakyat Malaysia lain iaitu Rahimi Ahmad, 39, dari Pulau Pinang dan Mohd. Nazril Hisham Omar, 46, (Kelantan).

DIHUJANI TAKZIAH

Berita pemergian Mohd. Haziq turut mengundang duka seorang sahabatnya, Hafizz Azizi yang diluahkan melalui laman sosial Instagram miliknya.

Malah, sebelum Allahyarham Mohd. Haziq berangkat ke New Zealand, dia dan rakan-rakannya yang lain sempat mengadakan majlis perpisahan bersama.

“Aku sayang kau. Semoga tenang kau di sana,” tulis Hafizz.

Sementara itu, instagram milik arwah Mohd. Haziq yang menggunakan nama akaun ziqninja dihujani ucapan takziah.

Seorang lagi kawan arwah, Kerur turut menulis, Mohd. Haziq adalah seorang kawan yang baik dengan semua orang. Walaupun berjauhan, arwah sentiasa berhubung walaupun berbeza zon waktu antara Malaysia dan New Zealand.

“Kami berkongsi segala cerita, kisah sedih suka duka bersama. Satu perkara yang amat saya kesali kerana tak dapat mengucapkan selamat tinggal secara dekat. Bye Haziq. Saya akan merindui kamu jauh di sudut hati.”

Semoga keluarga arwah Mohd. Haziq tabah dengan pemergiannya. Damailah di sana. Al-fatihah.