Dunia universiti amatlah berbeza dengan corak pembelajaran di sekolah. Oleh itu, persediaan mental dan fizikal pelajar amatlah penting dalam mengharungi cabaran dan dugaan yang luar biasa sepanjang bergelar mahasiswa.

Peranan mahasiswa di universiti bukan sahaja mencapai kejayaan di dalam bidang akademik semata-mata, tetapi perlu diseimbangkan dengan aktiviti di luar bilik kuliah. Kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin kebolehpasaran seseorang graduan menempatkan diri di dalam industri. Justeru, penglibatan pelajar di dalam bidang kokurikulum dapat membantu melahirkan pelajar yang serba boleh dalam mengharungi teknologi IR 4.0 kelak.

Universiti adalah satu medan untuk mengetengahkan bakat yang terpendam di dalam diri mahasiswa. Setiap universiti di negara ini pastinya telah menyediakan beberapa modul berimpak tinggi dalam melahirkan graduan berkualiti. Modul-modul ini berorientasi daripada Falsafah Pendidikan Negara yang mana ia memberi penekanan kepada proses pembangunan insan dan bukan sekadar proses pengajaran dan pembelajaran semata-mata. Persoalan yang selalu bermain di minda, adakah modul berimpak tinggi dapat melahirkan modal insan yang berkualiti?

Pihak pengurusan universiti terutamanya Hal Ehwal Pelajar adalah sebuah organisasi penting di universiti dalam memainkan peranan melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan berdaya saing. Program pembentukan modal insan seperti modul kepimpinan boleh dilaksanakan bertujuan membentuk individu agar lebih memahami tanggungjawab mereka sebagai mahasiswa dan mengetahui peranan sebagai pewaris bangsa.

Aktiviti-aktiviti di dalam bentuk permainan, latihan dalam kumpulan (LDK) dan kerja lapangan menambahkan nilai kepada program ini yang mana mahasiswa secara tidak langsung boleh mengaplikasikan kemahiran komunikasi dan hubungan dengan masyarakat setempat dalam menjayakan sesuatu tugasan. Sebagai contoh, aktiviti kerja lapangan merupakan aktiviti yang berimpak tinggi kepada mahasiswa yang mana aktiviti ini mendekati masyarakat sekeliling untuk mendengar permasalahan mereka.

Setiap kumpulan mahasiswa diberikan tajuk seperti sistem pentadbiran, penggunaan teknologi terkini, sumber ekonomi yang mampan dan pendidikan yang berkualiti untuk menjalankan kajian di kawasan lapangan yang ditetapkan. Hasil dapatan daripada kajian tersebut dibentang di dalam satu sesi pembentangan yang mana pelajar dapat menghuraikan permasalahan masyarakat setempat dan cara penyelesaiannya. Aktiviti ini mencapai objektif yang mana para pelajar dapat mengasah kemahiran komunikasi dan berfikir secara berkesan semasa penghuraian hasil kajian tersebut.

Pelaksanaan modul bukan sahaja melahirkan mahasiswa yang berkualiti, malah memberi ruang dan peluang mereka menzahirkan keinginan dan kemampuan di dalam aktiviti yang disediakan. Bijak pandai pernah berkata: “Pimpinlah diri sendiri dahulu, sebelum anda memimpin orang lain”. Sesungguhnya, kecemerlangan seseorang individu dalam apa jua bidang bergantung kepada kekuatan diri sendiri dan kepimpinan sahsiah jatidiri yang kukuh.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Cawangan Johor.