Borhan Ahmad Zakaria

Kebelakangan ini isu sensitif yang sepatutnya selesai dengan mudah dijadikan isu di media sosial dan media perdana hingga berbagai fakta dan dogma bercampur aduk.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Borhan Ahmad Zakaria berpandangan, peristiwa rusuhan yang berlaku di Kuil Mariamman, USJ 25 adalah kes terpencil melibatkan pemaju dan pihak kuil maka ia sepatutnya tidak dijadikan bahan politik pihak tertentu.

Katanya, beliau kesal kerana kenyataan awal pemimpin tertentu yang menyatakan rusuhan dimulakan oleh pihak tertentu di negara ini sebelum diubah kemudiannya menyebabkan kemarahan menjadi marak.

Jelasnya lagi, walaupun Menteri Besar Selangor mengatakan ia hanya kesalahan tatabahasa, itu cuma alasan untuk menutup keceluparan pemimpin terbabit.

Betullah kata pujangga, lidah lebih tajam daripada mata pedang. Malahan boleh melukakan hati tidak kira tua dan muda.

Ulas pemimpin NGO itu lagi, banyak perkara sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan diusik bukan sahaja oleh orang kita di sini tetapi dari luar negara. Mereka lantang mengkritik pelbagai hak istimewa orang Melayu tanpa ada deria rasa malu sama sekali.

Pada 11 Oktober lalu pihak media melaporkan Kabinet telah memutuskan untuk menggantung sementara tindakan di bawah Akta Hasutan 1948, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat mingguan Kabinet.

Keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang dipertikai tetapi tanpa Akta Hasutan 1948 tersebut apakah undang-undang alternatif yang boleh dikenakan kepada penghasut-penghasut yang menyebabkan isu kemasyarakatan menjadi isu jenayah.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat kenyataan bahawa peristiwa yang menyebabkan kereta dibakar dan pergaduhan berlaku hingga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut cedera parah, bukanlah isu perkauman tetapi jenayah.

Mengulas mengenai tindakan pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Wathya Moorthy membuat kenyataan berhubung isu tersebut, Borhan berkata, sepatutnya Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang mengeluarkan kenyataan tegas berhubung isu tersebut.

Kata beliau, pihaknya berasal pelik kenapa menteri itu yang membuat kenyataan berhubung isu rusuhan tersebut, sedangkan ia sepatutnya dibuat oleh Menteri Dalam Negeri dan Dr. Mahathir sendiri.

Beliau menambah, seharusnya semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan yang mencakupi aspek agama, hak orang Melayu dan bumiputera dan kedudukan Bahasa Malaysia.

Hari ini tanpa Akta Hasutan 1948, segala kata-kata dan perbuatan yang menyentuh sensitiviti pelbagai pihak disebut tanpa segan silu.

Baru-baru ini kata Borhan, di Subang, papan tanda dengan bahasa selain bahasa kebangsaan dipasang tanpa memikirkan bahawa negara ini mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Isu-isu lain yang bersifat menghasut seperti kritikan terhadap sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan Bahasa Melayu dan Artikel 153 keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera seakan suatu pesta di media sosial.

Dalam pertemuan itu juga bagi pihak NGO Melayu, Borhan meminta orang Melayu bersatu dalam satu ikatan ukhuwah untuk memelihara agama Islam dan institusinya, sistem Raja Berperlembagaan, tanah rizab Melayu, kuota biasiswa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk Melayu dan bahasa Melayu.