Kerajaan baru-baru ini melancarkan program Food Bank Malaysia yang diharapkan dapat mengurangkan pembaziran makanan dan pada masa sama cuba meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dalam kalangan rakyat.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mengetuai program ini menyasarkan lebih 190,000 keluarga bakal menerima manfaat daripadanya. Penerima bantuan Food Bank Malaysia terdiri daripada golongan miskin, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, anak yatim, warga emas, pusat tahfiz selain asrama di institusi pengajian tinggi. Selain itu, kerajaan juga berhasrat menggubal satu akta untuk memastikan program bank makanan ini berjalan lancar.

Di Amerika Syarikat (AS), sebanyak 96 bilion pound makanan dibuang setiap tahun. Antara alasan yang diberikan untuk tidak menyumbangkan lebihan makanan kepada yang memerlukan adalah takut disaman kerana berkemungkinan makanan itu rosak.

Di negara-negara maju seperti di AS, Australia, Kanada, dan di New Zealand, mereka telah pun menggubal akta seakan-akan menyamai Good Samaritan Act, yang mana akta ini dapat menyelamatkan penyumbang makanan daripada disaman dek kerana dikhuatiri makanan yang disumbangkan itu memberi kesan yang tidak baik kepada penerima.

Bagaimanapun, akta ini meletakkan syarat bahawa seseorang penyumbang makanan akan dikenakan tindakan sekiranya dia mengetahui bahawa perbuatan itu mungkin berbahaya kepada kesihatan atau kesejahteraan orang lain.

Uniknya, di Itali, akta mereka menggariskan bahawa penerima terakhir makanan yang disumbangkan adalah bank makanan, bukannya orang perseorangan. Dalam kata lain, orang yang menggunakan makanan tersebut tidak layak untuk menyaman si penyumbang makanan manakala di Perancis, pada 2 Februari 2016, Senat Perancis meluluskan undang-undang baharu yang menghalang peruncit daripada membuang atau memusnahkan makanan yang tidak dijual tetapi masih boleh dimakan.

Undang-undang ini menyarankan pasar raya dengan jarak 400 meter persegi atau lebih untuk bekerjasama dengan badan amal menyumbangkan makanan yang tidak terjual tetapi boleh dimakan untuk diedarkan kepada yang memerlukan. Makanan yang tidak selamat untuk penggunaan manusia pula dijadikan makanan haiwan atau kegunaan pertanian. Jumlah serahan tersebut akan dinilai dan diberi pengecualian cukai.

Berdasarkan ini, diyakini negara seperti AS, Itali, New Zealand, Australia dan Kanada menggunakan Good Samaritan Law kerana akta itu dapat menggalakkan penyumbang makanan untuk menyumbangkan makanan mereka ke bank makanan. Hal ini kerana kebanyakan pihak enggan menyumbangkan makanan mereka kerana takut didakwa.

Sebenarnya, faktor takut didakwa adalah hanya salah satu penghalang. Terdapat sebab lain, misalnya, kekurangan pengetahuan mengenai saluran sumbangan makanan. Perbelanjaan tambahan untuk pengangkutan dan tenaga manusia juga adalah antara halangan yang paling biasa dihadapi oleh syarikat makanan untuk menyumbang.

Selain itu, pengecualian daripada liabiliti yang dijamin oleh undang-undang ini mungkin tidak mencukupi memujuk penyumbang memberikan makanan kepada bank makanan kerana reputasi syarikat masih menjadi perhatian utama. Hanya kerana penyumbang bebas daripada liabiliti undang-undang tidak bermakna mereka dapat mengelakkan daripada publisiti negatif yang berpanjangan jika makanan disumbangkan menyebabkan kemudaratan kepada penerima.

Sebagai organisasi korporat, reputasi syarikat perlu dipelihara kerana mereka mengutamakan keuntungan dan cuba menarik pelanggan baharu dan pada masa sama mengekalkan pelanggan sedia ada.

Apabila sesebuah syarikat menyumbangkan produk makanan mereka ke bank makanan dengan niat yang baik, dan didapati bahawa produk itu rosak, syarikat itu tidak akan disaman atau dibicarakan di mahkamah. Bagaimanapun, umum sudah tahu bahawa produk makanan syarikat tersebut tidak selamat dimakan dan ia akan menjejaskan kredibiliti syarikat pada masa akan datang.

Di samping itu, adalah menarik untuk menyebut bahawa di bawah Good Samaritan Act, penyumbang akan terlepas daripada bertanggungjawab terhadap apa yang mereka sumbangkan kepada bank makanan. Peruntukan ini dianggap baik kerana dapat menggalakkan orang ramai menyumbang kepada bank makanan. Bagaimanapun, isu yang mungkin timbul pada masa hadapan adalah si penerima makanan berpotensi untuk menyaman pengeluar produk makanan yang rosak itu.

Ini boleh dilihat dalam kes Donoghue lwn Stevenson. Walaupun Donoghue sebagai plaintif tidak mempunyai kontrak secara langsung dengan pengilang, mahkamah berpendapat pengeluar (Stevenson) telah melakukan kecuaian dan bertanggungjawab ke atas siput yang reput yang terkandung di dalam minuman tersebut yang menyebabkan plaintif sakit.

Selain itu, sejak Good Samaritan Act diperkenalkan di negara-negara Barat, tidak ada dinyatakan peruntukan khas yang menyentuh isu makanan halal untuk diedarkan kepada bank makanan. Ini adalah political will para pemimpin di negara Barat sama ada mereka mahu meminda akta itu. Bilangan penduduk Islam di negara-negara negara Barat cukup besar dan peruntukan khas, contohnya, makanan halal, perlu dimasukkan dalam undang-undang tersebut supaya orang Islam boleh menerima makanan tersebut tanpa ragu-ragu.

n PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.