Baginda bertitah, media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai dan budaya sesuatu masyarakat di negara ini, bagaimanapun, semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam mempertahankan budi pekerti dan pelbagai nilai baik masyarakat.

Mungkin ramai yang masih tidak sedar bahawa tindakan sekecil menyalurkan mesej berantai melalui aplikasi sembang boleh menimbulkan bahaya besar kepada masyarakat, negara bahkan diri mereka sendiri.

Mesej dengan maklumat sensasi memang selalu hadir dengan gaya penulisan menarik, intonasi meyakinkan serta diisi dengan ‘fakta’ kukuh untuk memperdaya pembaca supaya percaya dan seterusnya menyampaikan pula maklumat itu kepada rakan-rakan mereka.

Malangnya tidak semua perkara yang disebarkan boleh dipercayai. Ada yang sengaja menyajikan maklumat palsu atau berat sebelah demi memenuhi agenda menimbulkan huru-hara dan memecahbelahkan masyarakat. Kerana itu, Kkrajaan merasakan perlunya satu rang undang-undang (RUU) baharu untuk menangani isu ini.

“Berita palsu” dalam RUU itu ditakrifkan sebagai “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.

RUU itu juga memberi peruntukan luar wilayah untuk memastikan sesiapa sahaja boleh didapati bersalah, walaupun bukan warganegara Malaysia.

Ironinya, implikasi berita palsu sangat membimbangkan kerana apa sahaja dilontar terutamanya di media sosial terlalu mudah untuk dipercayai, dikongsi tanpa diselidik dan ‘tabayyun’. Bukan sahaja isu harian seperti ekonomi, politik dan agama, malah berita kematian pun turut dipalsukan!

Dalam dunia maya tanpa sempadan, terlalu banyak maklumat ‘sampah’ dijana daripada pembohongan dan kepalsuan sehingga kerap kita tidak mendapat membezakan mana yang benar dan salah.

Ramai di antara kita dengan sengaja berbohong atau menyebar maklumat palsu untuk tujuan tertentu demi kepentingan peribadi atau pihaknya.

Undang-undang berita palsu di seluruh dunia

Sebenarnya terma ‘berita palsu’ atau fake news mula-mula digunakan atau diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Beliau mentakrifkan apa-apa berita yang tidak berpihak kepadanya sebagai ‘berita palsu’, dan ungkapan itu terus melekat dan kini sering digunakan orang ramai.

Bertitik-tolak dari situ, Perdana Menteri Britain, Theresa May juga merasakan perlunya pembendungan berita tidak sahih ini sehingga beliau mengusulkan penubuhan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh individu mahupun negara lain.

Sebelum itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron pernah bercadang memperkenalkan satu undang-undang baharu bagi mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung bagi memastikannya berjalan lancar dan mengelakkan timbul perasan benci antara rakyat Perancis.

Jerman mulai 1 Januari lalu pula, telah memperkenalkan The Social Networks Law, mana-mana paparan di laman web mahupun sosial, milik individu mahupun organisasi yang didapati bersalah, dalam menyebarkan propaganda kebencian dan fitnah, boleh dikenakan denda sebanyak 50 juta Euro dan harus ditutup dalam tempoh 24 jam. Kegagalan berbuat demikian mengundang tindakan yang lebih tegas.

Di Vietnam, di mana sebuah rang undang-undang telah dilepaskan untuk perundingan awam, tapi belum diwartakan lagi atas kebimbangan terhadap keselamatan siber dan berita palsu.

Singapura juga telah bergerak dalam isu ini, dan dijangka memperkenalkan undang-undang berita palsu pada tahun ini juga.

Kita tidak perlu akta baharu

Apabila RUU ini diperkenalkan, ada beberapa golongan yang menentang kewujudannya, atas alasan Malaysia sudah mempunyai beberapa RUU lain yang boleh mengawal selia isu ini antaranya;

1. Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang diperkenalkan sejak 30 tahun lalu untuk membanteras penyebaran kandungan berita palsu serta fitnah. Menurut Seksyen 8A akta tersebut, jika terdapatnya penerbitan yang dengan niat jahat menerbitkan apa-apa berita tidak benar, maka mereka yang terlibat dengan penerbitan tersebut boleh dikenakan tindakan dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

2. Akta Hasutan (1948), sesiapa yang telah didakwa sebagai penghasut, sama ada dalam bentuk penerbitan yang menyebabkan kebencian atau mewujudkan kekacauan terhadap pemerintah atau kerajaan atau kekacauan kaum boleh didenda sebanyak RM5,000 atau 3 tahun penjara.

3. Akta Jenayah Komputer 1997, adalah berkait kesalahan penyalahgunaan komputer untuk tujuan melakukan jenayah. Di bawah akta ini, akses secara tidak sah atau mengubah apa-apa program atau data yang terdapat di dalam sesebuah komputer adalah salah dan boleh dikenakan hukuman. Akta ini juga berkesan kepada apa-apa jenayah yang dilakukan di luar Malaysia walaupun kesalahan dilakukan oleh seseorang atau daripada sesuatu tempat di luar Malaysia selagi mana komputer, program atau data tersebut adalah berada di Malaysia atau boleh dicapai, dihubungkan atau digunakan dengan komputer di Malaysia.

4. Akta Fitnah 1957, merupakan tindakan atas kapasiti persendirian yang mana plaintif dalam kes memohon penghakiman dan ganti rugi daripada pihak mahkamah.

5. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya. Penularan ‘berita palsu’ melalui media sosial juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233(1)(a) di bawah akta tersebut, kerana bukan terhad kepada portal berita atas talian sahaja.

6. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang turut dikenali sebagai SOSMA, bagi menyediakan langkah-langkah khas berkaitan dengan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan dan bagi hal-hal berkait, yang boleh membawa hukuman mati.

Mereka juga merasakan dengan adanya RUU baru ini menyekat kebebasan bersuara, sesuatu hak yang terdapat dalam perlembagaan Malaysia, dan pada masa sama mereka berpendapat undang-undang yang dicadangkan ini akan dijadikan alasan untuk mengambil tindakan ke atas suara-suara yang menentang kerajaan, dan bukannya untuk menangani berita palsu.

Bagi mereka juga, masyarakat sekarang sudah bijak. Jika ingin kepastian mengenai sesuatu berita mereka boleh sahaja melayari portal sebenarnya.my. Sebuah portal milik kerajaan yang menceritakan atau menafikan sebuah berita yang palsu.

Rasional kerajaan

Kerajaan pula merasakan sudah tiba masanya untuk bertindak dan mewujudkan sebuah undang-undang khusus dalam menangani isu berita palsu ini.

Mungkin kita masih ingat bagaimana maklumat palsu kononnya ada senjata pemusnah besar-besaran di Iraq digunakan sebagai justifikasi Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan Presiden Saddam Hussein dan menghancurkan Iraq pada 2003.

AS akhirnya mengakui maklumat itu didapati palsu dan tidak berasas sama sekali, namun natijahnya, sebuah negara sudah musnah dan ratusan ribu nyawa melayang!

Adakah kita masih mahu perkara sebegini berulang?

Undang-undang ini akan berfungsi sebagai ‘sadd al-zari’ah’ (menyekat jalan yang merosakkan) dan mengajar kita bertabayyun, namun yang lebih penting dapat mengelakkan kita daripada menjadi mangsa berita palsu yang kini semakin menjadi-jadi.

Menurut kajian TNS Global, 66 peratus pengguna internet di Malaysia mengakses aplikasi media sosial setiap hari. Daripada 20.1 juta pengguna internet, 59 peratus berusia 30 tahun ke bawah. Kajian ‘We are social’ September 2016, meletak kedudukan Malaysia di tangga keempat aktif media sosial di Asia Pasifik.

Statistik dipaparkan sangat merisaukan jika tidak ditangani dengan baik. Pengguna media sosial kebanyakannya generasi muda yang perlu diberi kesedaran untuk bertanggungjawab menerima, menilai serta mengkaji kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.

Ini selaras dengan usaha kerajaan dalam menangani ancaman kestabilan politik yang mampu menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Tidak boleh disangkal, negara kita mengamalkan kebebasan bersuara sejajar dengan amalan demokrasi. Namun, benda atau nilai buruk tetap perlu dielak dan dibendung. Contoh paling mudah, kes orang masih hidup tapi berita kematiannya sudah tersebar luas di media sosial. Bayangkan apa perasaan pihak yang teraniaya. Justeru, jangan terlalu ghairah menyebar berita yang diragui kesahihannya.

Islam dan berita palsu

Kesan negatif berita palsu dalam sirah boleh dilihat daripada peristiwa ‘hadith al-ifk’ dengan ramai mempercayai berita palsu daripada seorang munafik, Abdullah bin Ubay. Sayyidatina Aisyah RA menjadi mangsa fitnah sehingga Rasulullah SAW berdukacita dalam tempoh agak lama, kesan penyebaran berita palsu dan penerimaan masyarakat terhadap berita tersebut.

Maklumat palsu juga mencetuskan perbalahan Sayidina Ali dan Mu’awiyah sehingga mengakibatkan perang sesama sahabat.

Al-Quran turut merakamkan perkataan fitnah pada 34 tempat, tidak termasuk kata terbitan daripada perkara fitnah yang turut terdapat dalam al-Quran, antaranya dengan pengertian ujian (Surah Al-Anfal ayat 28, Surah al-Furqan ayat 20 dan Surah al-Qamar ayat 27), syirik (Surah al-Baqarah ayat 193), musibah dan kesusahan (Surah al-Haj ayat 11), keburukan dan perpecahan (Surah al-Tawbah ayat 47 dan 48), peperangan dan pembunuhan (Surah al-Ahzab ayat 14). Ini jelas menunjukkan isu fitnah perlu difahami dengan mendalam.

DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI ialah Pengarah Institut Pemikiran Dr. Mahathir (IPDM) Universiti Utara Malaysia (UUM).