Berikutan itu sebanyak 62 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak telah didaftarkan di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Putrajaya sejak undang-undang baharu itu dikuatkuasakan. Daripada jumlah itu, 11 kes telah diselesaikan manakala 25 kes dalam sebutan dan 26 kes lagi masih dalam perbicaraan.

Kes-kes yang didaftarkan di bawah Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak akan diselesaikan dalam tempoh satu tahun dari tarikh ia didaftarkan di mahkamah tersebut. Perasmian mahkamah itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Jun lalu di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Azalina memberitahu, kerajaan bercadang mewujudkan banyak lagi mahkamah khas ini di seluruh negara secara berperingkat. Pada masa ini, mahkamah khas itu mendengar kes-kes yang berlaku di daerah Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pada 31 Julai lalu, seorang lelaki (pembantu kedai) berusia 21 tahun, Mohd. Nazrin Rabuan ditangkap polis kerana melakukan jenayah seksual dengan memeluk dari belakang seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun (mangsa). Kejadian itu berlaku di sebuah hotel di Bandar Puteri Puchong pada 20 Julai.

Selanjutnya dia telah dituduh di bawah Seksyen 14(d) Akta 792 (melakukan hubungan fizikal de­ngan kanak-kanak tanpa persetubuhan) yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan. Dia telah mengaku salah dan dikenakan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen, menjadikannya pesalah pertama yang disabitkan kesalahan di bawah Akta 792 ini sejak ia dikuatkuasakan.

Akta 792 mengandungi 28 seksyen dan satu Jadual dimuatkan dalam 7 Bahagian iaitu permulaan (Bahagian I), kesalahan berhubung pornografi kanak-kanak (Bahagian II), kesalahan berhubung pengantunan kanak-kanak (child grooming) (Bahagian III), kesalahan berhubung sera­ngan seksual (Bahagian IV), orang yang mempunyai hubungan amanah (Bahagian V), keterangan kanak-kanak (Bahagian VI) dan pelbagai (Bahagian VII).

Seksyen 2 menegaskan bahawa akta ini dipakai hanya bagi kanak-kanak yang berusia di bawah 18 tahun manakala Seksyen 4 pula mentakrifkan secara terperinci istilah pornografi kanak-kanak dan perlakuan seksual secara terang-terangan (sexually explicit conduct).

Di bawah Bahagian II akta ini (yang menyenaraikan beberapa kesa­lahan) Seksyen 5 menyatakan bahawa apa-apa aktiviti membuat, menghasilkan atau mengambil bahagian dalam pembuatan atau penghasilan pornografi kanak-kanak adalah satu kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 30 tahun dan 6 sebatan.

Di bawah Seksyen 6, aktiviti menggunakan kanak-kanak dalam pembuatan atau penghasilan pornografi kanak-kanak adalah juga satu kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan 5 sebatan. Di bawah Seksyen 9, aktiviti menjual, mengedar atau menawarkan pornografi kanak-kanak boleh dihukum penjara 15 tahun dan 5 sebatan.

Di bawah Bahagian III akta ini yang menghuraikan kesalahan pengantunan kanak-kanak, aktiviti berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak atau menggalakkan kanak-kanak supaya berkomunikasi secara seksual boleh dihukum penjara tidak lebih dari 3 tahun (Seksyen 11) manakala aktiviti pengantunan kanak-kanak boleh dihukum penjara tidak lebih 5 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Di bawah Bahagian IV, dua kesalahan baharu diperkenalkan iaitu serangan seksual fizikal (physical sexual assault) dan serangan seksual bukan fizikal (non-physical sexual assault) ke atas kanak-kanak. Seksyen 14(1) menyatakan mana-mana orang yang bagi maksud seksual, menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak, membuat kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan orang itu, menyuruh kanak-kanak itu menyentuh mana-mana bahagian badannya sendiri atau membuat hubungan fizikal dengan kanak-kanak lain tanpa persetubuhan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Seksyen 15 pula menyatakan mana-mana orang yang bagi maksud seksual, mengucapkan apa-apa perkataan atau membuat apa-apa bunyi, gerak isyarat atau menunjukkan apa-apa objek atau mana-mana bahagian badannya atau menyuruh kanak-kanak itu menunjukkan mana-mana bahagian badannya atau melakukan apa-apa aktiviti seksual di hadapan kanak-kanak itu atau membuatkan kanak-kanak itu melakukan aktiviti yang bersifat seksual, boleh dihukum penjara 10 tahun, denda RM20,000.00 atau kedua-duanya sekali.

Di bawah Seksyen 21, mana-mana orang yang bersubahat dalam mana-mana perlakuan kesalahan yang boleh dihukum di bawah akta ini boleh dikenakan hukuman yang sama sebagaimana diperuntukkan bagi kesalahan itu. Dalam bahasa mudah, orang yang bersubahat boleh dikenakan hukuman yang sama berat yang dikenakan kepada pelaku utama.

Di peringkat antarabangsa, banyak negara telah melaksanakan undang-undang mereka bagi membanteras jenayah seksual kanak-kanak - yang merangkumi elemen berikut (i) penglibatan diri dalam aktiviti seksual dengan kanak-kanak, (ii) pendedahan tidak sopan bahagian-bahagian sulit, (iii) pengantunan kanak-kanak dan (iv) pornografi kanak-kanak.

Analisis ringkas Akta 792 di atas menunjukkan bahawa undang-undang negara ini me­ngandungi elemen yang setara dan sepadan dengan undang-undang negara luar. Berbekalkan undang-undang baharu ini, besar harapan kita agar penguatkuasaannya akan dilakukan dengan penuh komitmen dan berterusan.

DATUK SALLEH BUANG adalah bekas Profesor Tamu UTM Skudai Johor.