- Nenek prihatin, Perak.

UKE: Bagi mazhab Syafie, hukum akikah ialah sunat dikerjakan oleh ibu bapa si anak yang baru lahir jika berkemampuan. Maka jika anak puan tidak berkemampuan maka anda berilah wang kepada mereka untuk mereka akikahkan. Anda juga boleh mengelolakan akikah tersebut dan beritahu kepada mereka untuk dapat keizinan.

 

Kena gangguan, sahkah solat?

Sekiranya terdapat gangguan seperti ada sesuatu di dalam kerongkong membuatkan kita berasa gatal atau terbatuk semasa solat dan kita tahu itu disebabkan sihir, sahkah solat?

- Hamba Allah, Selangor.

UKE: Selagi anda tidak melakukan perkara yang membatalkan solat, maka sahlah solat anda.

 

Jatuhkah talak?

Adakah jatuh talak apabila suami cakap "aku nak berpisah"? Jika ya, apakah tindakan yang harus saya lakukan seterusnya? Sudah dua kali diucapkan dan suami pernah suruh saya berambus dan balik ke rumah ibu bapa.

- Isteri bingung, Kuala Lumpur.

UKE: Suami anda bukan melafazkan cerai lagi, dia baru berkata “Aku nak berpisah”. Dalam persoalan ini, yang menentukan jatuh atau tidak talak ialah pihak mahkamah. Maka saya mengesyorkan agar anda mendapatkan khidmat nasihat daripada pejabat agama untuk menyelesaikan masalah anda suami isteri.

Mungkin kaunseling, mungkin majlis sulh dan mungkin dipanggil keluarga kedua-dua pihak untuk berbincang. Anda tidak boleh pendam hal ini seorang diri. Anda kena libatkan keluarga, tanya suami dengan elok adakah dia masih ingin beristeri atau tidak? Kalau hendak, peganglah dengan baik dan kalau tak nak, lepaskanlah secara baik.