Ia tidak sesuatu yang terpisah. Implikasi tauhid yang tercetus dalam lafaz, tiada Tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh-Nya memberi kesan yang sangat besar kepada keyakinan, amalan atau penghayatan. Akidah tauhid yang benar dirasakan dalam pemikiran, dalam hati dan dalam perbuatan. Ia menjelmakan sifat ubudiyyah (ketaatan) kepada Allah SWT.

Asas penting tentang akidah tauhid itu membawa kepada pengakuan dan keyakinan bahawa Allah itu satu. Ia bercanggah dengan kefahaman bahawa Allah itu dua atau tiga. Atau Allah disekutukan dengan benda-benda lain dan membawa kepada syirik. Mensyarikahkan Allah dengan benda-benda yang Allah ciptakan dalam alam ini atau tuhan-tuhan lain adalah suatu dosa besar. Dosa syirik adalah dosa yang tidak ada keampunan dari Allah.

Akidah tauhid bermakna adanya kesatuan hubungan antara keyakinan dan ibadah. Ibadah yang dilakukan sentiasa terhubung dengan Allah dan hikmah dari setiap ibadah yang dilakukan adalah untuk kebaikan manusia. Melakukan solat pada hakikatnya membangun jiwa rukuk dan sujud supaya kita menjadi ahli ibadah yang patuh, taat, akur dan tunduk.

Kepatuhan kepada titah-perintah Allah menjadikan kita sentiasa berada dalam keadaan maaruf dan faham akan maksud dosa dan pahala. Ketaatan terhadap pedoman Allah menjadikan manusia terbimbing daripada melakukan kemungkaran dan sentiasa berada dalam keadaan fitrah.

Keakuran terhadap larangan Allah hikmahnya amat besar kepada manusia kerana ia menjadi bukti suruhan dan larangan Allah itu ditujukan kepada manusia sebagai khalifah-Nya.Ketundukan kepada kebesaran Allah dalam hidup ini membina keyakinan bahawa Allah Maha Berkuasa dan Perkasa dan manusia adalah terlalu kerdil dan sentiasa bergantung kepada pertolongan Allah.

Kesombongan manusia terhadap Allah boleh menjejas ikatan hubungan manusia dengan Allah kerana sifat jadi­nya manusia dituntut melakukan pendekatan ubudiyyah (ketaatan) kepada-Nya. Akidah tauhid juga merentasi dalam syariah. Ia adalah pedoman dalam menjalani tatacara kehidupan bagi mentertibkan diri dalam lingkungan yang fitrah supaya hidup dan kehidupan terkawal dan berada di landasan yang benar dan terpedoman.

Kehidupan yang berpaksikan syarie menjadikan amalan dalam reda Allah. Bercakap benar, tidak mendusta, tidak berlaku zalim, cintakan keadilan dan kebijaksanaan.

Rasulullah memiliki sifat utama iaitu siddiq, amanah, tabligh, fatanah. Ini menjadi asas perjuangan Rasulullah membawa risalah tauhid kepada umat manusia. Dalam dakwahnya, baginda berhikmah, perjuangannya membawa jalan yang lurus, tidak ada rasa kebencian kepada sasaran dakwahnya, perasaan putus asa tiada dalam kamus hatinya. Setiap langkah dalam mujahadah Rasulullah berasaskan akidah, syariah dan akhlak yang betul.

Lantaran itu Islam mampu bertahan sehingga kini dan bakal bangun pada masa depan. Ia bukan suatu agama yang mendewakan manusia dan benda-benda yang membawa syirik kepada Allah. Baik ibadah yang khusus dan umum menjadikan Allah sebagai rujukan (al-Quran dan Sunnah), ia dipandu dengan jalan yang syarie dari sumber yang sama dengan kemampuan akhlak Qurani yang dimiliki oleh pembawa risalahnya iaitu Rasulullah SAW.

Inilah sifat merentasi akidah yang menjadi tunjangan kita beragama. Hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia menjadi aksis tunjang yang amat utama menghubungkan manusia dengan Allah dan sistem.

Kalau jalan ini dijadikan pedoman dan ikutan makna Islam yang sebenar akan dapat dirasai dan diamalkan supaya kita terhindar dari bahaya syirik, tidak syarie dalam tatacara kehidupan hilang pedoman akhlak dalam me­lakukan amal soleh.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).