“Dia adalah pengganas, penjenayah dan pelampau dan saya berikrar tidak akan menyebut namanya,” tegas Ardern dalam Parlimen beberapa hari lepas kejadian.

Tetapi jika diteliti riak tingkah laku Tarrant semasa dihadap ke mahkamah, besar kemungkinan mahkamah akan digunakan untuk menyebarkan dakyah fahaman haluan kanan kulit putih yang menjadi pendorong serangan dilakukan. Tarrant akur dengan senario tersebut dan tidak menolak kemungkinan perbicaraan mungkin dilakukan secara tertutup.

Sebab itu juga mudah untuk difahami mengapa serangan tersebut disiarkan secara masa hakiki dalam landasan media sosial Facebook kerana matlamat Tarrant adalah untuk meraih sokongan dan bersedia untuk ditahan pihak berkuasa.

Landasan media sosial seperti Facebook, YouTube dan juga Twitter menerima kecaman kerana lambat bertindak untuk menyekat video serangan menjadi tular kerana tidak syak lagi kandungan video tersebut digunakan oleh puak pelampau kanan kulit putih sebagai sumber sambutan kemenangan. Mudah untuk difahami juga mengapa Tan Sri Tony Fernandes yang mempunyai 670,000 pengikut Facebook menutup akaun beliau ekoran dari serangan Christchurch tersebut.

Bukan sahaja media sosial dipersalahkan tetapi juga permainan dalam talian seperti PUBG yang dituduh sebagai perangsang kejadian Christchurch. Menyasarkan media sosial dan permainan dalam talian sebagai salah satu usaha untuk mengekang kejadian seperti Christchurch berulang, mungkin tidak kena strateginya kerana punca sebenar asas kejadian tersebut mungkin diabaikan.

Statistik menarik diperoleh dari kajian oleh Liga Anti Fitnah (ADL) yang mendapati kejadian pembunuhan berkait kumpulan pelampau di Amerika Syarikat (AS) untuk jangka masa dari 2009-2018, mempamerkan 73 peratus kejadian adalah berkait dengan kumpulan pelampau berhaluan kanan sementara 23 peratus berkait dengan kumpulan yang bertopengkan agama Islam yang lebih dikenali dalam media barat sebagai Jihadis.

Masalahnya ialah setiap pembunuhan yang didalangi oleh kumpulan pelampau berkait agama Islam akan mendapat liputan media empat kali ganda lebih meluas berbanding dengan peristiwa melibatkan kumpulan pelampau kanan kulit putih.

Sebab itu juga jika ada individu beragama Islam yang menjurus mempunyai sifat simpati kepada kumpulan Jihadis, individu tersebut sudah pasti dalam perhatian atau ditahan oleh pihak berkuasa keselamatan di negara di mana penduduk beragama Islam adalah kumpulan minoriti.

Anehnya begitu berleluasa sekali fahaman pelampau kanan kulit putih terutama sekali di Eropah dan AS. Individu yang terlibat tidak akan mendapat perhatian pihak berkuasa seperti mana individu yang bersimpati dengan Jihadis. Sebab itu juga Tarrant bebas membuat perancangan selama dua tahun tanpa kekangan. Malah lebih `menakjubkan’ lagi selama beberapa bulan berada di Christchurch setelah sasaran masjid dipastikan, pergerakan beliau begitu bebas sehingga mampu mengumpul senjata dan juga bahan letupan dengan begitu mudah sekali.

Memang benar Tarrant bertindak secara bersendirian tetapi agak mustahil tiada langsung bantuan dihulurkan sama ada ketika di Australia atau New Zealand oleh mereka yang mempunyai fahaman selari. Paling mudah diperhatikan adalah ketika siaran masa hakiki kejadian berlaku ada di antara mereka yang memberi komen menyokong perbuatan tersebut.

Sebab itu amat kritikal sekali pihak berkuasa terutama sekali di negara barat mesti akui isu fahaman pelampau kanan terutama sekali yang berkait dengan kumpulan ekstremis kulit putih adalah sama bahayanya dengan ideologi pelampau agama. Jika kumpulan Jihadis ini memesongkan penggunaan agama Islam sebagai asas menarik simpati, serupa juga dengan puak pelampau kanan ini menggunakan asal usul keturunan mereka untuk meraih sokongan.

Memang benar media sosial dan permainan dalam talian juga ada kaitan tetapi kedua-duanya bukan penyebab utama tercetusnya peristiwa Christchurch. Paling dibimbangi adalah apabila perhatian berlebihan ditumpukan terhadap peranan media sosial umpamanya, faktor paling utama iaitu kewujudan kumpulan fahaman pelampau tidak diberi perhatian yang sepatutnya.