Pada mulanya, dia merasa tertekan dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan dia berkurung di dalam rumah dan kadang kala di pejabat. Nor Mohd. Hafiz bagaimanapun mula sedar tiada guna menyendiri kerana masalah tidak akan selesai.

Mujur ada rakan-rakan dalam dunia perniagaan yang banyak memberi kata-kata semangat dan nasihat, selain tunjuk ajar bagaimana menghadapi situasi sedemikian.

Walaupun diisytihar muflis kerana kesilapan sendiri, namun menurutnya, itu bukanlah pengakhiran hidup yang menyebabkan seseorang hilang peluang untuk bangkit daripada kegagalan.

Sedar kesilapan itu, dia bangkit semula dan membetulkan apa yang berlaku dengan meneruskan perniagaan sedia ada iaitu menjual produk penjagaan rambut wanita bertudung.

Nor Mohd. Hafiz sebenarnya telah melakukan pelbagai jenis perniagaan sejak di bangku sekolah lagi sehingga berjaya membuka sebuah kedai menjual telefon yang berkembang baik.

“Namun saya melakukan kesilapan apabila menggunakan aliran tunai daripada perniagaan utama untuk disalurkan ke perniagaan lain sehingga semua perniagaan menghadapi masalah kewangan.

“Akhirnya banyak hutang tertunggak dan saya terpaksa berusaha keras menyelesaikannya, namun gagal. Ketika saya menemukan satu produk yang saya benar-benar yakin boleh menjana pendapatan, pada masa itu jugalah saya diisytihar muflis,” katanya.

Namun, apa yang berlaku mempunyai hikmah apabila Nor Mohd. Hafiz kini lebih kuat untuk bangkit daripada kegagalan masa lalu sehingga berjaya mengembangkan perniagaan terbaharunya ini.

“Apa yang berlaku mengajar saya bahawa tiada guna meletakkan ego terlalu tinggi selepas mula meraih hasil yang baharu sedikit dalam perniagaan. Apabila hendak berniaga, jangan terburu-buru mengejar keuntungan sehingga terlupa untuk fokus kepada perniagaan yang berpotensi,” katanya.

Walaupun muflis, Nor Mohd. Hafiz tidak merasakan statusnya itu sesuatu yang memalukan sebaliknya, ia menjadi penguat semangat kepada rakan-rakan lain.

“Pernah ada seorang usahawan menghubungi saya untuk mendapatkan nasihat kerana dia juga berada dalam situasi sama. Akhirnya, dia berasa lega kerana mengetahui masih ada jalan keluar dan hidup tidak semestinya berakhir apabila diisytiharkan muflis,” katanya yang masih dalam proses melunaskan hutangnya.