Baru-baru ini, negara mengalami satu lagi episod hitam iaitu kematian beliau. Tidak disangka-sangka, ahli bomba muda ini yang hanya menjalankan tanggungjawabnya mengalami kecederaan parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman. Kejadian ini telah mengundang kemarahan orang ramai kerana apa yang berlaku padanya amat tidak adil dan tidak patut. Ada pihak yang mengatakan bahawa Muhammad Adib dipukul oleh segelintir perusuh dan ada pula yang menularkan video bahawa dia sebenarnya dilanggar oleh jentera bomba semasa kenderaan itu mengundur.

Selepas bedah siasat yang komprehensif, laporan bedah siasat Muhammad Adib mendapati beliau mengalami kecederaan parah di bahagian dada termasuk kecederaan pada tulang rusuk. Dalam konteks patologi forensik, kecederaan seperti ini kemungkinan bukan disebabkan oleh rempuhan jentera kerana seseorang yang dirempuh kenderaan yang besar akan mengalami kecederaan lebih besar termasuklah di bahagian muka, kaki, tangan, bahu berbanding daripada satu kawasan tumpu sahaja iaitu dada.

Pada masa sama, kita juga tidak boleh menolak kemungkinan ada perusuh yang mendatangkan kecederaan pada bahagian dada Muhammad Adib seperti menumbuk dan menolak dengan kuat dadanya secara bertalu-talu. Dipukul oleh perusuh atau dirempuh oleh kenderaan, kita perlu tunggu sehingga kes ini selesai dibicarakan. Namun begitu, apa yang boleh dibuat kesimpulan di sini dalam insiden tersebut adalah ia hasil atau angkara emosi individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

Secara amnya, emosi yang tidak terkawal terutamanya kemarahan (berang) boleh diertikan sebagai satu tahap tegang yang meningkatkan tindak balas permusuhan disebabkan oleh sesuatu perkara yang dianggap tidak adil oleh seseorang. Berang atau kemarahan terlampau ini mampu mengarah ke tahap minda (mind state) yang mana individu mengalami kemarahan terlampau akan mengundang untuk bertindak di luar kawalan dan berasa kuat seterusnya membuatkannya untuk melakukan apa sahaja ketika itu walaupun tidak mampu dilakukan semasa dia berada dalam keadaan normal.

Ini semua adalah disebabkan kebangkitan fisiologi badan yang bertindak ketika itu yang mana berlakunya peningkatan hormon seperti adrenalin sehingga menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan. Peningkatan hormon dan bahan kimia dalam keadaan seperti ini mampu meningkatkan kekuatan fizikal dan ketahanan seseorang. Bukan itu sahaja, perubahan dalam fisiologi psikologi badan ini juga menyebabkan beberapa perubahan negatif termasuklah kehilangan pemikiran rasional dan bertindak secara impuls.

Individu yang mengalami kemarahan terlampau juga akan hilang keupayaan berfikir secara rasional dan tidak dapat membuat keputusan tepat sehingga bertindak ganas dan hanya akan berhenti apabila tidak berupaya atau sumber kemarahan hilang. Apabila seseorang berada dalam keadaan marah, mereka juga akan mengalami perubahan dalam badan seperti badan merasa ringan, badan berasa panas dan seterusnya membuat sesuatu di luar minda rasional.

Lazimnya tempoh kemarahan adalah singkat sehingga berminit-minit tetapi dalam insiden rusuhan ini, kita boleh lihat berang yang terlampau dapat dikekalkan untuk tempoh beberapa jam yang mana motivasi dan sumber kemarahan dikekalkan oleh faktor persekitaran dan juga individu-individu lain (perusuh) yang turut memberikan motivasi antara satu sama lain.

Ya, ini yang berlaku dalam insiden rusuhan baru-baru ini. Apabila rusuhan pertama dibuat ke atas kuil, ia mengundang kemarahan terlampau dalam segelintir masyarakat atas faktor agama dan sentimen kaum dan menyebabkan mereka bertindak luar kawalan pada hari kedua. Kemarahan terlampau boleh dilihat dengan beberapa tingkah laku di luar kawalan seperti membakar kenderaan, menolak dan meminta jentera bomba untuk berundur sehingga membawa kecederaan kepada beberapa individu termasuk Muhammad Adib. Maka, apa yang boleh disimpulkan adalah sama ada beliau dipukul atau dirempuh oleh jentera, ia adalah angkara emosi berang beberapa individu yang tidak bertanggungjawab.

Bukan sahaja Muhammad Adib, malah ramai insan kehilangan nyawa dalam jenayah terutamanya kes bunuh. Menerusi kajian penulis dalam kalangan pembunuh di Malaysia mendapati ramai orang terbunuh disebabkan pembunuh gagal mengawal emosi kemarahan. Hampir 70 peratus kes bunuh di Malaysia boleh dikatakan sebagai kes bunuh ekspresif iaitu didorong oleh perasaan marah, berang, geram dan tidak berpuas hati terhadap mangsa.

Rakyat Malaysia, perlu mengawal dan mengurus emosi dengan baik serta membuat keputusan secara rasional. Memandangkan ramai daripada kita terdedah kepada sumber-sumber kemarahan seperti video dan mesej-mesej bahaya dalam media sosial, mungkin ada individu tidak bertanggungjawab yang akan mewujudkan suasana huru-hara dalam negara ini terutamanya dengan cara membangkitkan sensitiviti kaum dan agama.

Pemergian Muhammad Adib, seorang yang tidak bersalah, patut dijadikan sebagai pengajaran dan mesej bahawa emosi yang tidak terurus terutamanya berang terlampau boleh membawa padah kepada semua. Demi menjaga keamanan dan perpaduan negara, dinasihatkan agar netizen tidak membuat ulasan umum kepada seluruh masyarakat kerana pemergian Muhammad Adib adalah disebabkan oleh beberapa individu dan bukannya semua.

  • DR. MOHAMMAD RAHIM KAMALUDDIN ialah Pakar Kriminologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).