Akhlak al-Quran adalah sesuatu yang hidup pada diri Rasulullah SAW. Ia menjadi sumber qudwah (contoh ikutan dan pedoman bagi manusia). Akhlak yang hidup menjadi suri teladan kepada manusia kerana manusia memerlukan contoh ikutan dan sumber bimbingan yang boleh memimpin mereka memiliki akhlak karimah.

Akhlak karimah adalah sesuatu yang amat penting bagi kehidupan manusia. Akhlak yang mulia ini terpancar dalam niat, kata-kata dan amal perbuatan. Akhlak karimah tidak sekadar terpancar dalam niat tetapi terlihat dalam amal. Inilah kehebatan akhlak Rasulullah SAW yang menjadi sumber ikutan umat Islam dan umat manusia sepanjang zaman.

Ada ketika niat kita baik tapi kata-kata yang dilafazkan tidak menggambarkan kebaikan itu. Ada ketika niat dan kata-kata sangat baik tetapi ia tidak selari dengan amalan. Ia menyebabkan makna akhlak karimah tidak terpancar. Inilah masalah manusia hari ini.

Kehidupan masa kini memerlukan binaan akhlak karimah sejak awal umur anak-anak supaya dewasa­nya dibentuk dalam iklim akhlak yang diredai Allah SWT. Berkata-kata dengan jujur, memiliki niat yang ikhlas dan ditampilkan dengan amalan seharusnya menjadi asas kepada anak-anak. Proses ini memerlukan bimbingan ibu bapa dengan wujudnya persekitaran yang sesuai ke arah pendidikan mereka.

Ia harus diteruskan de­ngan pendidikan formal yang boleh menghubungkan nilai-nilai akhlak dalam pembentukan tingkah laku dan amalan. Pendidikan masa kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan pendidikan akhlak dijadikan keutamaan.

Cabaran teknologi, media dan maklumat amat sengit dan boleh melunturkan sikap berakhlak generasi muda. Maklumat adalah sesuatu yang penting kepada manusia. Yang membezakannya ialah kualiti maklumat yang tersebar. Adakah ia membimbing manusia kepada manfaat dan menyumbang ke arah pembentukan pekerti yang baik atau sebaliknya. Apa yang terjadi ialah kecenderungan salah guna maklumat berlaku untuk maksud sensasi tanpa tujuan yang jelas.

Maklumat memerlukan pedoman nilai. Nilai yang di­tinggalkan oleh Rasulullah SAW harus dijadikan pedoman ikutan kerana tanpa ukur tara yang membawa kepada kemurniaan akhlak, ia tidak lebih hanya amalan yang lazim tetapi tidak bersandarkan dengan nilai-nilai Qurani. Dikatakan akhlak Rasulullah SAW sebagai akhlak al-Quran kerana prinsip-prinsip asas dalam al-Quran menjadi cerminan amalan Baginda.

Rasulullah SAW seorang yang Siddiq (benar). Bercakap dengan benar adalah suluh jiwa orang yang bertakwa. Tidak sahaja kebenaran menjadi risalah utama Rasulullah SAW, ia disampaikan dengan bijaksana. Ini yang menyebabkan Rasulullah SAW dijadikan contoh ikutan pembentukan akhlak karimah yang sebenar.

Tanpa asas akhlak, manusia akan cenderung mewarisi nilai-nilai yang bersifat nafsu-nafsi dan boleh bertukar menjadi haiwani. Kualiti manusia sangat penting dalam pengurusan diri dan juga kehidupan. Diri yang tidak diurus dengan nilai-nilai akhlak yang baik akan cenderung menjadi sombong, takbur dan sukar menerima pandangan pihak lain. Inilah penyakit hati yang sedang ditanggung manusia yang memerlukan ubat lebih mujarab bagi mengatasinya. Ubat yang paling mujarab adalah kembali memupuk akhlak karimah berasaskan peribadi Rasulullah SAW.

Bercakap bohong, melakukan tipu muslihat, memungkiri janji, berpura-pura adalah contoh gelagat yang bercanggah dengan nilai-nilai mutlak al-Quran dan bercanggah dengan peribadi Rasulullah SAW.

Bercakap bohong boleh memberi akibat buruk kepada manusia kerana kebenaran adalah kunci dan suluh dalam kehidupan. Tipu muslihat adalah helah yang mungkin dipengaruhi oleh nafsu syaitan yang sifatnya menyesatkan. Memungkiri janji boleh menyebabkan konflik sesama manusia. Berpura-pura adalah penyakit kronik yang dihidapi oleh manusia kini. Mengatasinya memerlukan nilai-nilai mutlak yang bertunjangkan risalah dari al-Quran dan pedoman dari Rasulullah SAW.

Inilah risalah murni Islam kepada umat manusia untuk dijadikan sumber ikutan berpedomankan akhlak Rasulullah SAW. Ia ditunjangi akidah tauhid yang benar, ibadah yang membimbing manusia kepada jiwa takwa, syariah yang mentertibkan amalan dan perbuatan dan akhlak karimah yang dijadikan pedoman kehidupan. Inilah jalan keluar daripada kemelut kemanusiaan yang sedang terjadi. Ia juga penting kerana manusia perlu kembali memiliki kualiti manusiawi yang tinggi dengan ciri-ciri keihsanan yang menyumbang.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).