Almarhum Buya Hamka pula menafsirkan berdakwah itu adalah mengajak. Bukannya menengking, menjerit-jerit, memperli hingga tercabar maruah pe­ndengar atau penonton. Sam­bil mengajak harus disertai dengan memujuk. Perlu disertai akhlak dan ‘seni’. Inilah yang ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah (lemah lembut) dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. (an-Nahl: 125)

Justeru, teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sha­rafuddin Idris Shah baru-baru ini haruslah dimuhasabah oleh semua pendakwah. Sudah tiba masanya para pendakwah menilai kembali kaedah penyampaian kuliah dan ceramah masing-masing. Tiada faedahnya dakwah dengan mencetuskan konflik, sama ada konflik de­ngan masyarakat atau de­ngan pihak yang berautoriti.

Memanglah sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan ke­silapan dan dosa. Cuma, berkonflik dalam dakwah terhadap masyarakat Islam hanya membawa kita ke satu pinggiran yang merugikan. Ia turut mengehadkan sempadan dakwah dan mensia-siakan potensi diri pendakwah. Peganglah syarat-syarat tauliah itu dengan kemas.

Ingatlah, audiens kita pelbagai. Jangan ‘lukakan’ hati mereka dengan ‘kekerasan’ dakwah kita. Hargailah kehadiran mereka ke kuliah anda, suburkanlah minat mereka dan sampaikan pedoman dengan hikmah.

Jemaah yang menghadiri kuliah dahagakan ilmu pengetahuan. Sebab itu, disiplin ilmu hendaklah dijaga. Jika berlainan pendapat dalam sesuatu perkara, jangan sampai terkeluar perkataan mencela atau merendah-rendahkan ulama yang lain. Kita sayangkan ulama sebab mereka adalah pewaris nabi.

Tugas dakwah adalah legasi warisan nubuwwah yang datang bersama sifat amanah dan fatanah. Justeru, bijaksanalah dalam tabligh (menyampaikan). Tingkatkan ilmu anda, lunakkan lidah, sucikanlah kalam sesuci risalah agama Allah SWT yang dibawa. Tiada iman tanpa akhlak dan tiada nilai ilmu tanpa santun budi.
Lemah-lembut (al-Rifq) dalam dakwah Islam bukan bererti kita lemah. Itulah rahsia kejayaan dakwah Rasulullah SAW.

Ini soal sikap dan cara. Islam mengajar umatnya berdakwah dengan menghindari kekerasan atau cara yang tidak menyenangkan. Baginda SAW dikenali dengan lemah-lembutnya dalam mengembangkan risalah Islam. Disebabkan itu Islam memiliki daya tarikan amat kuat, sebagaimana diabadikan dalam al-Quran yang bermaksud: Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. (ali-Imran: 159).

Bahkan, menghadapi orang seburuk Firaun pun, masih Allah SWT memerintahkan sikap lemah-lembut. Ini sebagaimana dicatatkan dalam al-Quran yang bermaksud: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan ia ingat dan takut. (Taha: 43-44)

Lemah-lembut sama sekali bu­kan kelemahan. Orang yang lemah-lembut sesungguhnya me­­­miliki wibawa yang besar. Ia akan disegani. Kelembutan yang sejati selalu diikuti oleh kebajikan kesabaran dan penguasaan diri. Orang lemah-lembut akan memiliki pula kekuatan dan keberanian yang kental. Ia ibarat ali­ran air yang tenang, tetapi dapat mengikis dan menghaluskan batu sekasar apapun.

Namun, dalam sifat lembah-lembut sendiri, sebenarnya mengandungi sikap tegas dalam amar ma’ruf nahi munkar. Dan tidaklah sikap tegas itu identiti­nya sikap keras atau kasar. Dalam keadaan tertentu, Rasulullah SAW bersikap tegas dan keras. Contohnya:

* Celaan Nabi SAW terhadap perbuatan imam memanjangkan solat tanpa memerhatikan kea­daan makmum. (Riwayat Bukhari)

* Sikap keras baginda SAW terhadap orang yang makan menggunakan tangan kiri ketika diperintah makan menggunakan tangan kanan. (Riwayat Muslim)

* Kerasnya sikap nabi SAW terhadap orang lelaki yang memakai cincin emas, setelah ia tahu perkara itu adalah diha­ramkan.(Riwayat Muslim).