Baru-baru ini, saya mewakili kerajaan telah kembali dari misi rundingan sawit di ibu kota negara-negara Eropah bertujuan mendapatkan sokongan ke atas Malaysia dan memastikan kita dapat menggagalkan pengharaman terhadap minyak sawit di Kesatuan Eropah (EU) seperti yang mereka rancang.

Delegasi Malaysia telah menga­dakan kunjungan hormat ke atas wakil-wakil kerajaan Sepanyol, Jerman dan United Kingdom serta para pembuat dasar daripada EU di Brussels. Kerajaan Malaysia telah menyampaikan mesej sama di setiap rundingan bahawa negara ini bersedia melakukan apa yang perlu untuk mempertahankan pekebun-pekebun kecil kita dan tidak akan menerima sebarang bentuk pengharaman atau diskriminasi ke atas minyak sawit Malaysia.

Dalam hal ini, pembelaan kerajaan terhadap pekebun-pekebun kecil Malaysia kini diterima baik di Eropah. Ia amat berkesan dan memihak kepada kita. Pemimpin-pemimpin Eropah telah memberi tindak balas memberangsangkan malah Suruhanjaya EU menyatakan bahawa mereka bersetuju dengan Malaysia bahawa pengharaman tersebut bertentangan dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Ini juga adalah salah satu hujah kita yang paling efektif. Selepas pertemuan dengan wakil kerajaan Sepanyol di Madrid, mereka telah mengumumkan secara terbuka bahawa mereka akan me­ngundi menentang pengharaman minyak sawit.

Mengapa kita perlu pergi ke Eropah dan kenapa orang Eropah cuba mengharamkan bahan bakar bio berasaskan sawit? Selama beberapa tahun kebelakangan ini, aktivis-aktivis anti-minyak sawit telah menyebarkan berita-berita palsu tentang minyak sawit di Eropah. Ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) radikal serta pengeluar minyak-minyak sayuran lain yang tidak dapat menandingi kualiti unggul minyak sawit.

Ramai dalam kalangan ahli politik Eropah telah menyertai kempen yang menyebarkan cerita-cerita palsu tentang minyak sawit termasuk tuduhan tidak berasas mengenai penebangan hutan, ancaman ke atas haiwan liar dan juga piawaian makanan.

Amat mustahil untuk me­nghalang orang ramai daripada mereka cerita. Apa yang pihak kerajaan harus lakukan ialah memperbetulkan cerita-cerita tidak benar di mana sahaja ia muncul. Itulah tujuan lawatan saya ke Eropah.

Hasilnya, media-media di Eropah kini mula melaporkan be­rita-berita yang betul tentang minyak sawit Malaysia. Akhbar-akhbar dan stesen-stesen radio utama di Jerman, United Kingdom, Sepanyol dan juga media EU di Brussels telah mula bercakap tentang tindakan kerajaan Malaysia. Ini adalah berita yang sangat positif bagi pekebun-pekebun kecil kita, justeru dapat membantu melindungi eksport kita ke Eropah.

Pada masa sama, kita perlu sedar bahawa kita juga berdepan dengan masalah serupa di dalam negara. Sesetengah pihak di Malaysia berulang kali menggembar-gemburkan maklumat songsang berkenaan resolusi Eropah dan minyak sawit. Perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab yang akan menjejaskan seramai 650,000 pekebun kecil di seluruh negara ini.

Sawit adalah satu-satunya pun­ca mata pencarian mereka. Isu ini sangat mudah. EU cuba mengharamkan pekebun-pekebun kecil kita daripada menjual minyak sawit mereka tanpa apa-apa asas. Rakyat Malaysia harus bekerjasama dan menyokong pekebun-pekebun kecil kita serta mempertahankan produk keluaran negara. Itulah yang dilakukan kerajaan dan atas sebab itulah saya mengetuai misi rundingan sawit antara Malaysia dan EU.

Mesej-mesej yang telah kerajaan Malaysia berikan di Eropah adalah jelas - pekebun-pekebun kecil kita berhak untuk menanam pokok sawit dan juga tanaman-tanaman lain yang bersesuaian. Kita tidak akan menerima sebarang bentuk sekatan atau pengharaman ke atas aktiviti mereka. Minyak sawit telah membantu komuniti luar bandar kita dalam meningkatkan pendapatan mereka, menyara keluarga dan memperbaiki hidup mereka. Pekebun-pekebun kecil Felda adalah sebahagian penting daripada sejarah negara kita, begitu juga komuniti pekebun-pekebun kecil lain.

Kumpulan pekebun-pekebun kecil ini juga telah menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pengharaman minyak sawit oleh EU dan telah mengadakan protes serta menghantar petisyen yang telah ditandatangani oleh 300,000 pekebun-pekebun kecil. Kita telah mendapat hasil yang positif daripada usaha pekebun-pekebun kecil tersebut dengan sokongan kerajaan.

Kita juga akan memenangi perjuangan ini di Eropah. Saya tidak akan teragak-agak untuk ke Eropah lagi jika perlu untuk memastikan kemenangan. Kerajaan akan membuat apa sahaja yang perlu untuk mempertahankan sektor minyak sawit kita dan pendapatan rakyat luar bandar. Itu semestinya.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.