Tegas Hishammuddin, sejak akhir-akhir ini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sering membuat kenyataan politik yang mengelirukan rakyat.

Sememangnya tidak dapat dinafikan banyak tingkah laku Dr. Mahathir semakin mengelirukan. Justeru nasihat Hishammuddin adalah tepat. Beliau tidak mahu ahli-ahli UMNO terus terpe­rang­kap dengan politik licik Dr. Mahathir sehingga akhirnya menye­babkan mereka membuang masa terlalu banyak melayan isu-isu yang tidak berfaedah.

Adalah lebih baik jika ahli-ahli UMNO terus berusaha memperkukuhkan parti khususnya dalam berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Masih terlalu banyak pekerjaan yang perlu dilakukan dalam usaha parti itu mengekalkan kuasa.

Biarlah Pakatan Harapan diketuai oleh DAP dengan kekeliruan mereka. Selama ini pun kerjasama mereka sudah cukup mengelirukan, oleh itu jangan ahli-ahli UMNO pula keliru de­ngan mainan politik yang cuba dicetuskan oleh Dr. Mahathir.

UMNO adalah harapan orang Melayu dan benteng terakhir kuasa politik Melayu. Jika UMNO tumbang maka berakhirnya penguasaan orang Melayu dalam arena politik tanah air. Jika itu berlaku, kita boleh bayangkan apa yang akan terjadi kepada mereka kerana kita tahu siapa yang akan berkuasa jika Pakatan Harapan memerintah.

Atas sebab itulah ahli-ahli UMNO tidak boleh leka apatah lagi berada dalam kedudukan ‘syok sendiri’ dengan merasakan tiada ancaman yang boleh menggugat penguasaan mereka ketika PRU-14 dengan tanggapan Pakatan Harapan masih bercelaru.

Biarkan sahaja mereka dalam kecelaruan, tetapi UMNO tidak boleh berada di kedudukan tersebut. Sebab itulah, dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO perlu ada kesedaran bukannya terus mahu bermain politik sesama sendiri termasuklah ‘bersandiwara’ kononnya mereka setia kepada parti.

Kesetiaan bukannya sekadar ucapan di bibir atau lakonan di atas pentas-pentas mesyuarat bahagian, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan khususnya ketika berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang.

Hakikatnya, pemimpin-pemimpin di peringkat atasan hanya boleh memberi nasihat, pandangan dan teguran tetapi kesudahannya ia bergantung kepada kesetiaan dan keikhlasan pemimpin serta ahli-ahli di peringkat akar umbi untuk memastikan sama ada UMNO akan terus berkuasa atau tidak.

Mereka perlu mengakui seperti mana kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob: “Kita tewas di beberapa negeri bukan kerana pembangkang kuat tetapi kita lemah kerana bergaduh sesama sendiri.”

Persoalannya, di manakah keadaan itu berlaku? Jawapannya mudah iaitu di peringkat bahagian atau akar umbi. Di peringkat inilah sebenarnya, nadi penentu kesinambungan perjuangan UMNO. Jika akar umbi kukuh, terselamatlah UMNO, tetapi kalau di peringkat itu kucar-kacir maka mala petaka menanti UMNO.

Oleh itu, pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian perlu memahami tanggungjawab berat yang dipikul oleh mereka. Janganlah mahu mengikut perangai pemimpin-pemimpin pembangkang yang mahu berpolitik sepanjang masa. Mereka berpolitik dengan menjadikan UMNO dan BN sebagai sasaran, tetapi bagi sesetengah pemimpin UMNO di peringkat akar umbi, mereka berpolitik sesama sendiri yang akibatnya akan ditanggung oleh parti.

Sebab itulah, ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi perlu sedar bahawa mereka adalah nadi kekuatan UMNO. Mereka pa­ling dekat dengan rakyat dan merekalah yang mampu meraih sokongan rakyat.

Pada masa sama, pemimpin-pemimpin peringkat bahagian juga perlu menunjukkan contoh yang baik, jangan pula ada antara mereka mahu menjadi ‘batu api’ yang boleh menyumbang kepada kekalahan parti dalam pilihan raya umum akan datang.

Sejarah perjuangan UMNO te­lah membuktikan, pemimpin datang dan pergi, tetapi perjuangan UMNO perlu diteruskan dengan kesinambungan perjuangan untuk negara dan rakyat khususnya orang Melayu.

Percayalah menjelang pilihan raya lebih banyak ‘serangan’ berbentuk tohmahan dan fitnah akan disebarkan oleh pembangkang dan mereka juga akan meningkatkan lagi `ancaman’ bagi menggugat kekuatan UMNO di kawasan-kawasan tertentu termasuklah luar bandar dan tanah rancangan Felda.

Apa yang mereka lakukan bukanlah bertujuan bagi membela nasib rakyat tetapi sekadar untuk memenuhi agenda bagi meraih kuasa. Sebab itulah, kalau kita perhatian tiada agenda rakyat yang mereka bentangkan walaupun nama pakatan mereka sudah beberapa kali bertukar.

‘Kebijaksanaan’ Pakatan Harapan adalah mengelirukan dan meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan yang UMNO menjadi tonggaknya. Melalui tindakan itu mereka berharap rakyat akan menolak BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu, pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi perlu memahami PRU-14 adalah penentu segala-galanya. Tiada gunanya mereka berebut kuasa sesama sendiri, jika akhirnya UMNO kehilangan kuasa.

Justeru sebelum terlambat, buanglah sikap hipokrit dan hentikan lakonan politik. Tumpukan perhatian untuk memenangkan parti. Semangat perjua­ngan yang berkobar-kobar bukan sahaja perlu dipaparkan ketika mesyuarat bahagian yang sedang berlangsung, malah perlu dite­ruskan sehingga UMNO dan BN mencapai kemenangan dalam PRU-14.