Sebuah universiti terbentuk melalui wawasan negara bangsa yang mahu melihat lahir pemimpin ilmu daripada kalangan warganya, meneroka ilmu dan teknologi bagi mencipta budaya dan tamadun, dan pusat rujukan kesarjanaan yang menjadi kebanggaan sebuah bangsa. Jangan disamakan antara universiti dan kolej atau institusi pendidikan. Jika kolej memberikan tumpuan kepada ‘pendidikan aras tinggi’ iaitu menghasilkan sumber manusia mahir, umpamanya jurutera, doktor dan peguam. Universiti ialah institusi yang bertanggungjawab memecahkan sampul ilmu serta menggali ilmu baharu bagi menghasilkan doktor atau jurutera yang cemerlang.

Tiga kriteria yang membuat sesebuah universiti itu cemerlang iaitu pelajar berkualiti, ahli akademik cemerlang, dan kepemimpinan akademik berwawasan dan berwibawa. Inilah yang membezakan tahap antara sebuah universiti dengan universiti lain, umpamanya antara UMT, UKM, Kyoto University dan Oxford University. Kriteria pengambilan pelajar berbeza walaupun piawaian kelayakan masuk sama. Universiti yang cemerlang sangat diminati pelajar cemerlang. Oleh itu, tahap pencapaian sebenar pelajar yang diterima masuk jauh mencapai tahap piawai kemasukan biasa. Persaingan menjadi sangat tinggi dan hanya sejumlah kecil pelajar cemerlang berjaya masuk ke universiti cemerlang.

Pelajar cemerlang mempunyai idea dan persediaan rapi untuk mengejar mimpinya di universiti. Mereka akan membina budaya kecemerlangan melalui pelbagai aktiviti formal dan tidak formal, mewujudkan suasana menimba ilmu dengan persaingan sihat dan membina identiti kendiri sebagai graduan lepasan sebuah universiti yang cemerlang. Mereka adalah penggerak kecemerla­ngan, sementara ahli akademik hanya sekadar pembimbing ilmu bagi mereka. Inilah budaya yang masih perlu dikembangkan di beberapa universiti utama negara.

Kriteria kedua ialah ahli akademik cemerlang. Setiap ahli akademik bukan sekadar tenaga kerja atau penjawat awam. Mereka dipilih daripada kalangan pelajar cemerlang yang berjaya meraih ijazah Doktor Falsafah (PhD). Beberapa universiti terkemuka pula mensyaratkan pengalaman Pasca Kedoktoran sebelum diterima sebagai ahli akademik. Banyak juga universiti terkemuka hanya melantik secara bersyarat (tenure) untuk beberapa tahun sebelum dise­rap sebagai ahli akademik kekal. Semua amalan ini berhasrat, mereka ingin mengumpul cream of the cream sebagai sumber bakat ahli akademik masing-masing.

Setiap ahli akademik ialah pemimpin ilmu dalam bidang kepakarannya. Daripada perspektif yang meluas, mereka adalah pemimpin ilmu bertaraf kebangsaan atau global yang ditempatkan di sesebuah universiti. Pastinya mereka perlu menjalankan tugas hakiki seperti menyampaikan syarahan dan menyelia pelajar di universiti masing-masing. Begitupun, urusan penyelidikan dan pemindahan ilmu setiap ahli akademik sebetulnya merentas universiti, negeri dan negara. Ahli akademik seharusnya menjadi suri teladan pelajarnya, pakar bidang ilmunya, dan intelek awam masyarakatnya. Isu ahli akademik tidak pandai menyelidik, menulis dan menyampaikan syarahan, seharusnya tidak wujud kerana itulah kemahiran yang diperlukan sebelum seseorang itu bergelar ahli akademik.

Kriteria ketiga ialah kepemimpinan akademik berwawasan dan berwibawa. Berbeza dengan pemimpin organisasi korporat, pemimpin pengurusan akademik seperti Naib Canselor, Dekan, Pengarah dan Ketua Jabatan dilantik secara bertempuh, umpa­manya tempoh tiga hingga lima tahun. Sementara Naib Canselor dilantik oleh Menteri, jawatan lain dilantik oleh Naib Canselor. Lazimnya mereka dipinjamkan daripada kalangan ahli akademik dalam universiti, fakulti atau institusi untuk menjalankan pe­ngurusan akademik. Mereka tidak perlu mahir dalam aspek pengurusan kerana sentiasa dibantu oleh pentadbir berjawatan tetap. Kepemimpinan akademik dipilih berdasarkan pengalaman (hal-ehwal universiti), kewibawaan (integriti akademik) dan penerimaan majoriti ahli akademik.

Isu paling kritikal untuk memperkasa kecemerlangan ialah pelantikan kepimpinan tertinggi universiti iaitu Pengerusi Lembaga Pengarah dan Naib Canselor. Pada masa ini, pelantikan dua jawatan utamanya adalah kuasa mutlak Menteri Pendidikan Tinggi. Walaupun menteri bertanggungjawab atas pelantikan ini, amalan terbaik ialah menteri mendapat nasihat daripada sebuah badan bebas dan berwibawa. Majlis Penasihat Pengajian Tinggi Negara, ahlinya boleh terdiri daripada mantan Pengerusi Majlis dan Naib Canselor berwibawa perlu diwujudkan bagi tujuan ini. Menteri perlu menerima nasihat badan tersebut tanpa campur tangan politik berlebihan.

Secara peribadi saya berpendapat pemilihan Naib Canselor adalah kunci memperkasa kecemerlangan sesebuah universiti. Kerajaan perlu membuat beberapa dasar dan garis panduan pemilihan yang bersesuaian. Antaranya, semua 20 Universiti Awam perlu dilihat sebagai universiti bertaraf kebangsaan dan Naib Canselornya tidak boleh dikhususkan untuk anak negeri universiti ditempatkan. Kriteria pengalaman (kebijaksanaan), keilmuwan, kewibawaan dan penerimaan perlu diberikan perhatian serius. Jika perlu, calon berpengalaman dari luar negara boleh dipertimbangkan bagi menggerak kecemerlangan.

Ketika ini, hampir semua universiti awam tempatan kelihatan gah secara luaran, tetapi berhadapan dengan pelbagai isu kepemimpinan akademik, kualiti pelajar, kesarjanaan akademik dan prasarana ilmiah, bagaikan retak menanti belah. Zaman ‘beruniversiti-universitian’ telah berlalu. Kepimpinan Malaysia Baharu perlu memberikan perhatian serius bagi membina asas akademik berbudaya cemerlang.

PROF. EMERITUS DATUK DR. IBRAHIM KOMOO ialah Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).