Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Air: Ujian atau pembalasan angkara perbuatan manusia

Sungai Semenyih yang tercemar dan dipenuhi sampan sarap yang pernah
Sungai Semenyih yang tercemar dan dipenuhi sampan sarap yang pernah dirakamkan sebelum ini. UTUSAN/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

SEJAK kebelakangan ini, penduduk Selangor menghadapi gangguan bekalan air. Gangguan di luar musim kemarau. Ketika ini empangan masih sarat dengan air. Ketika kemarau sebelum ini tidak ada ‘catuan’ seperti sekarang. Ketika ini banyakan kawasan paling kurang akan terputus bekalan air selama dua hari berturut-turut, bergantung kedudukan zon. Dua hari ada, dua hari tidak ada. Adakah ini satu cubaan, dugaan atau ujian? Jika kemarau, bolehlah dianggap ujian Allah. Bagaimanapun, gangguan yang dihadapi sekarang adalah disebabkan pencemaran bau dari sungai yang menjadi sumber bekalan air mentah. Akibatnya Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih, La­ngat dan Cheras ditutup. Disangka satu, rupanya tiga! LRA Semenyih ditutup berikutan pencemaran sumber air Sungai Semenyih. Puncanya telah dikenal pasti iaitu dari kilang haram. Dua lagi loji ditutup kerana pencemaran bau yang disyaki dari Sungai Semantan, Pahang. Bayangkan jika pencemaran itu berlaku pada hari dan waktu yang sama. Ketika itu, sia-sialah kita mempunyai LRA tambahan termasuk LRA Langat 2.

Memang sesuatu ‘bencana’ itu (termasuk ketiadaan air) adalah satu ujian Allah. Bagaimanapun kita tidak boleh menyerahkan sesuatu itu kepada takdir sahaja tanpa melakukan sebarang usaha. Hanya selepas berusaha, kita bertawakal. Apa yang berlaku pada hari ini adalah silap manusia yang gagal menghargai dan menjaga alam sekitar. Paling utama, sudah tentu pihak yang diamanahkan untuk memantau ‘sumber’ berkenaan supaya dalam keadaan ‘suci’. Sumber itu bukan sekadar sungai tetapi juga kawasan sekitarnya supaya pencemaran boleh dihindarkan. Dalam hal ini sudah tentulah pihak yang boleh dipertanggungjawabkan ialah pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di samping maklumat penduduk – wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya – yang mungkin mempunyai maklumat sahih atau mengesyaki sumber itu terdedah kepada bahaya pencemaran. Setiap aduan yang dibuat tidak boleh dipandang ringan. Bertindaklah jika menerima aduan. Ja­ngan biarkan aduan tinggal aduan tanpa cuba menjenguk kawasan yang disyaki. Pemantauan secara berterusan perlu dilakukan. Amat malang jika punca pencemaran itu disebabkan kehadiran premis haram sama ada kilang atau pe­nempatan. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Bagaimana premis itu boleh mendapatkan bekalan elektrik dan air? Jika sumbernya disebabkan pemasangan haram, adakah pihak berkenaan tidak menyedari atau mengesyaki sesuatu yang tidak kena?

Adakah kerana kedudukan ki­lang itu di tepi sungai atau tersembunyi menyebabkan pihak berkuasa lambat bertindak? Adakah pihak berkenaan hanya cepat bertindak terhadap gerai haram yang muncul pada waktu pagi, petang atau malam, sekadar peniaga mahu men­cari rezeki tambahan yang ha­lal walaupun tanpa permit berniaga?

Bagi umat Islam, al-Quran dan hadis sering memperingatkan tentang memelihara dan menjaga alam sekitar. Bumi ini bukanlah hak milik kita yang boleh diperlakukan sesuka hati. Bumi ini milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi dengan makhluk lain. Manusia akan menumpang bumi ini selagi ia tidak musnah. Justeru, manusia mesti bertanggungjawab menjaga alam ini. Ingatlah akan azab Allah SWT sekiranya kita mengingkari perintah-Nya.

Pencemaran adalah ciptaan manusia yang tidak mahu menghargai alam. Sungai dijadikan ‘tong sampah’ – tempat membuang pelbagai kekotoran sama ada industri, sisa makanan, sampah sarap dan pelbagai lagi. Orang kita perlu dididik walaupun sekadar untuk membuang pembalut gula-gula atau kotak rokok di dalam tong sampah. Inilah sikap manusia yang akhirnya membawa kesengsaraan. Sekarang kita terima azabnya. Terputus bekalan air, tidak boleh membasuh, kurangkan mandi, mengangkut air dari lori tangki, dan sebagainya. Ada juga yang terpaksa beristinjak. Bukankah itu juga satu azab? Tanpa air semua­nya menjadi ‘kotor’.

Kelmarin, di sebuah sekolah berasrama di Kuala Lumpur, ibu bapa diminta mengambil anak-anak mereka kerana bekalan air terputus. Nasib baik cuti Sabtu dan Ahad. Kesannya bukan setakat kepada pengguna kediaman tetapi juga sektor industri, perkhidmatan kesihatan dan perniagaan. Siapakah yang menanggung kerugiannya? Tanpa gangguan bekalan, kehidupan kita berjalan seperti biasa tanpa dibebani masalah samping­an. Lebih menyakitkan apabila gang­guan bekalan air tanpa notis. Selepas pulih, air pula berkeladak, kuning, kotor umpama kopi O dan teh tarik. Itu juga satu azab. Begitulah sengsara yang dicipta oleh manusia sendiri.

Firman Allah SWT: Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat. (Surah Al-Rum ayat 41). Ingatlah bahawa alam sekitar adalah suatu aset atau simpanan sumber-sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat yang tertentu bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari masa ke semasa.

Sebagai pengguna, sudah tentu, kita tidak mahu keadaan ini berulang. Ingatlah, pihak berkuasa di PBT, JPS, JAS juga adalah pengguna. Mereka juga ada keluarga. Jus­teru, jika tidak ‘mampu’ berfikir untuk kepentingan ramai, berfikirlah mengenai kepentingan keluarga jika bencana ciptaan manusia tidak mampu disekat. Bertindaklah lebih cepat dan pantas untuk melindungi alam ini. Jangan dibiarkan kerakusan oleh pihak-pihak berkenaan. Dalam menghadapi isu seperti ini, tidak ada gunanya pihak-pihak berkenaan berpolitik menyalahkan itu dan ini, menafikan pandangan orang lain, umpama menegakkan benang yang basah.

Satu perkara lagi, apakah hukuman yang ada setimpal? Cukupkah sekadar denda? Berapa pula dendanya? Bayangkan jika setiap pengguna yang menanggung azab ini boleh mengambil tindakan undang-undang atau meminta pampasan kesusahan terhadap pihak-pihak yang sepatutnya melindungi kepentingan pengguna. Banyak kos yang terpaksa ditanggung akibat masalah air iniJusteru denda yang dikenakan terhadap pencetus pencemaran biarlah dapat mewa­kili kesengsaraan yang dialami oleh keseluruhan penduduk.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain