Kini ternyata pemberian air percuma itu tidak bermakna apabila Selangor sekali lagi berhadapan dengan krisis bekalan air. Kelmarin, dua juta pengguna di Shah Alam sudah merasai penderitaan tersebut apabila bekalan air tergendala dan ia berlanjutan sehingga esok.

Namun apa yang lebih membimbangkan kita ialah laporan akhbar Mingguan Malaysia pada Ahad lalu yang mendedahkan rakyat Selangor akan terus menderita akibat masalah bekalan air berpanjangan selagi kerajaan PKR tidak melengkapkan perjanjian bagi penstrukturan semula industri air di negeri berkenaan.

Menurut laporan tersebut, margin simpanan bekalan air terawat di negeri itu ketika ini begitu rendah iaitu pada paras empat peratus iaitu jauh ketinggalan berban­ding paras margin yang baik sekitar 15 hingga 20 peratus, mahupun margin simpanan dimiliki Kerajaan DAP Pulau Pinang sebanyak 34.1 peratus.

Kesan paling ketara adalah 760 permohonan pembangunan baharu termasuk perumahan, komersial dan industri yang bernilai RM10 bilion terpaksa ditangguhkan sepanjang 2016 dan 2017 kerana Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) tidak dapat memberi jaminan bekalan air yang mencukupi.

Soalnya, apa yang ada dalam fikiran Mohamed Azmin sehingga beliau membiarkan masalah itu berlaku? Janganlah bermain politik dengan menuding jari kepada Kerajaan Pusat. Ini memandangkan masalah bekalan air di Se­langor masih berlanjutan walaupun hakikatnya Kerajaan Persekutuan telah melabur lebih RM22.3 bilion sepanjang 2010 hingga 2018 untuk infrastruktur bekalan air di negeri itu termasuk projek mitigasi dan skim penstrukturan semula industri air berkenaan.

Kalau betul Mohamed Azmin prihatin dengan masalah rakyat, ia bukan sekadar memberi air percuma tetapi lebih penting daripada itu memastikan sumber tersebut tidak terjejas. Penulis berasa hairan kenapakah Mohamed Azmin begitu sukar menyelesaikan segera isu penstrukturan semula industri air yang tidak dapat dilengkapkan berikutan kerajaan PKR Selangor masih belum mengambil alih Syabas untuk memuktamadkan pembentukan entiti tunggal Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Sela­ngor) yang dimiliki kerajaan negeri.

Sampai bilakah Mohamed Azmin mahu mencatatkan satu demi satu kegagalan dalam mentadbir kerajaan ne­geri? Sebelum ini sudah banyak rekod kegagalan beliau termasuklah masalah denggi dan ditambah pula dengan skandal penjualan tanah di Ijok.

Penulis tahu dalam kalangan pemimpin PKR pun mereka semakin tidak selesa dengan cara Mohamed Azmin yang dilihat agak `angkuh’ sebagai Menteri Besar. Beliau seolah-olah tidak mempedulikan pandangan orang lain.

Tetapi bagi penulis tidak mengapalah jika beliau mahu menunjukkan keangkuhannya demi menjaga statusnya sebagai pemimpin kanan PKR namun soal air adalah hak rakyat. Mereka tidak boleh selama-lamanya terus dihantui oleh masalah bekalan tersebut.

Tidak perlulah berhujah bahawa kerajaan negeri akan memastikan penduduk memperoleh air biarpun wujud­nya masalah bekalan terputus kerana bukan itu yang mereka mahukan. Apa yang rakyat mahukan ialah masalah bekalan air tidak menghantui mereka saban tahun.

Oleh itu, Mohamed Azmin perlu mengurangkan sikap egonya dalam berunding dengan Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Sekarang ini pun sudah ada penyokong pembangkang yang tidak tahu apa-apa menyalahkan Kerajaan Pusat terhadap apa yang berlaku sedangkan mengikut rekod Kerajaan Persekutuan telah membuat pelaburan bernilai lebih RM14 bilion untuk membantu kerajaan PKR Se­langor mengambil alih ekuiti syarikat-syarikat konsesi air namun ia tidak dimanfaatkan sebaik mungkin untuk ­melaksanakan penstrukturan itu.

Akibat kedegilan Mohamed Azmin, Selangor kini menjadi bahan lawak di media-media sosial. Walaupun ia sekadar jenaka tetapi sebagai rakyat Selangor, penulis terkilan kerana perkara itu sepatutnya tidak berlaku jika Menteri Besar Selangor tersebut tidak bermain terlalu banyak politik dalam soal melibatkan kepentingan rakyat.

Mohamed Azmin perlu faham masalah rakyat bukannya boleh diselesaikan dengan retorik mahupun cogan kata serta ucapan yang berdegar-degar sebaliknya melalui tindakan. Begitulah juga dalam isu bekalan air ini, Mohamed Azmin perlu benar-benar membuktikan beliau seorang pemimpin yang prihatin kepada rakyat dengan menyelesaikan segera masalah itu.

Penulis yakin sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan sentiasa mengutamakan rakyat, Kerajaan Pusat tidak akan keberatan membantu Selangor dalam soal itu. Ini kerana sudah menjadi dasar dan perjuangan BN sejak dulu lagi meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepenti­ngan politik. Semoga Mohamed Azmin belajar memahami perkara ini.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.