Demikianlah peribahasa Melayu bagi menggambarkan kehadiran orang ramai yang berduyun-duyun datang apabila mendengar suatu perkhabaran tidak kiralah tentang acara keramaian, kenduri mahupun ketika berlaku kemalangan atau kematian pada waktu dahulu.

Ironinya pemandangan itu dapat kita lihat akhir-akhir ini. Dalam tahun 2018, hanya dua tahun sahaja lagi menjelang tahun 2020, tahun yang Malaysia disasarkan menjadi negara maju.

Kali ini dapat disaksikan pemandangan hampir sama namun dalam situasi berbeza. Orang ramai tetap datang berduyun-duyun namun jelas dapat disaksikan, yang capik datang berjingkit, yang muda mengelek anak, yang bujang menjinjing baldi, yang tua, muda, kurus, gemuk, kecil, besar, semuanya berkumpul tanpa mengira Melayu, Cina, India. Berbilang bangsa dan agama, juga parti politik di beberapa tempat di Selangor sejak beberapa hari lalu untuk mendapatkan bekalan air yang diagihkan oleh lori Syabas.

Pemandangan yang tidak dapat didustakan ini kini berlaku di negeri termaju di Malaysia - Selangor.

Tidak payahlah hendak mendakwa dakwi bahawa ini sembang politik kerana yang pasti masalah yang menyusahkan penduduk ini benar-benar berlaku gara-gara kelemahan pengurusan air di negeri ini.

Tidak ada spin atau manipulasi dalam cerita ini kerana rakyat negeri ini dapat merasainya sendiri, masalah yang tidak lagi dapat disorok di dalam empangan nan jauh dari penempatan mereka.

Di Selangor kini, mungkin ada yang mandi hanya sekali sehari atau tidak mandi langsung di rumah sebaliknya membawa tuala dan sabun ke pejabat.

Di kedai-kedai makan, sudah ada yang tidak lagi menghidangkan makanan dalam pinggan biasa sebaliknya menggunakan pelapik kertas dan plastik pakai buang bagi mengelakkan kerja-kerja membasuh yang sudah tentu memerlukan air.

Sudu garfu besi sudah ditukar kepada plastik pakai buang juga untuk menjimatkan air.

Saya belum sempat menjenguk kedai-kedai dobi termasuk yang menawarkan khidmat layan diri, mampukah masih beroperasi dalam keadaan air yang menjadi sumber utama bisnes mereka terjejas bekalannya?

Yang pasti, masalah air di Selangor menjejaskan kehidupan penduduk dan operasi perniagaan di negeri ini.

Golongan marhaen terutamanya paling teruk terjejas kerana mereka tidak ada alternatif atau tempat ‘persinggahan ‘ lain seperti orang ada-ada yang sudah tentunya sudah ‘berpindah’ ke hotel, rumah tumpangan malah rumah kedua sementara krisis air melanda.

Saya tidak bercadang mengungkit isu projek Air Langat 2. Cuma saya membayangkan, kalaulah perjanjian diteruskan dan projek berjalan mengikut jadual, tentu sahaja masalah gangguan bekalan air yang dihadapi sekarang tidak berlaku.

Sekali lagi, saya tegaskan ini bukan coretan politik. Tetapi ini hanya kisah masyarakat marhaen yang teraniaya kerana kelemahan kerajaan negeri menguruskan kebajikan dan keperluan mereka dengan baik dan berwawasan.

Air bukan api letrik yang boleh dicarikan lampu suluh atau lilin mahupun bateri dan generator sebagai ganti.

Jika pun ada alternatif lain untuk minum, bagaimana pula untuk mandi, membasuh dan menyucikan diri termasuk mengambil wuduk?

Tidak mahu tidak, kerajaan negeri perlu menyelesaikan masalah air ini dengan segera.

Jika perlu ‘menyembah’ negeri lain agar membantu menyalurkan bekalan air ke negeri ini, lakukanlah.

Kerajaan negeri terpaksa mengetepikan ego demi kebajikan penduduk Selangor.

Itu pun jika kerajaan negeri betul-betul mahu menjaga kebajikan penduduk merah kuning ini.

Walaupun tidak mungkinlah sampai mereka terpaksa ‘beristinjak’ dan ‘bertayamum’ kerana ketiadaan air, penyelesaian kepada masalah ini perlu difikirkan segera sebelum ada yang hilang ‘cool’ dan mengamuk di peti-peti undi.-UTUSAN ONLINE