Antara perkara ingin saya sentuh adalah bagaimana kerajaan negeri Selangor yang pada 2016 telah meminta Majlis Kebudayaan Negeri dianggotai gabungan lebih 20 persatuan kebudayaan di seluruh negeri Selangor selama ini beroperasi di bangunan milik kerajaan negeri di Seksyen 7, Shah Alam - mengosongkan bangunan itu kerana dikatakan ia akan digunakan bagi tujuan lain.

Pengusiran ini adalah sesuatu yang jelas bertentangan dengan konsep negeri berkebajikan yang sering dilaungkan. Namun jawapan balas diberikan kerajaan negeri adalah sangat mendukacitakan.

Kononnya kerajaan negeri mempunyai mekanisme dan kaedah baharu dalam memastikan bidang kebudayaan terus subur di bumi Selangor seperti mana dinyatakan dalam pembentangan Belanjawan Negeri oleh Menteri Besar.

Selain itu, dalam Bajet 2017 yang dibentang Oktober tahun lalu, Menteri Besar Selangor mengumumkan beberapa perancangan dan program utama dalam bidang seni dan kebudayaan.  Harapan diberikan dan sebagai negeri terkaya sudah tentu wang juga akan dicurahkan.

Antara program kebudayaan itu termasuklah satu program yang dikenali sebagai Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Serantau 2017. Mendengar jenama program itu sahaja sudah cukup ‘menggerunkan’. Jarang se­kali sebuah kerajaan negeri ma­hu mencapai ke satu tahap serantau bagi penganjuran sebuah acara kebudayaan.

Hari demi hari berlalu. Apa yang disebut di dalam Bajet 2017 masih juga tidak kunjung tiba. Rakyat Selangor dan seluruh pe­minat seni dan budaya tanah air tertunggu-tunggu penuh debaran. Sehinggalah pada awal Disember lalu, program pun berlangsung selama tiga hari.

Seperti mana dinyatakan di dalam pembentangan bajet, program berkenaan akan menelan belanja sekurang-kurangnya RM1 juta. Bayangkan bagi program selama tiga hari sahaja iaitu dari 7 hingga 10 Disember, kos RM1 juta bukan sesuatu kecil. Banyak lagi festival dalam pelbagai bidang yang mungkin diadakan lebih lama, tidaklah menelan kos sebanyak itu.

Lebih malang lagi festival tersebut tidak mendapat sambutan. Ramai tidak puas hati kerana dengan duit rakyat sebesar itu yang dibelanjakan, hasilkan bagaikan hampas. Ada yang menyebut, terdapat acara di dalam program terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat sambutan sama sekali.

Daripada 30 acara diatur, satu-satunya yang mendapat sambutan agak menggalakkan ialah persembahan teater berjudul A­mangkurat karya penulis Indonesia, Geonawan Mohamad. A­cara-cara lain boleh dikatakan sebagai hambar, separuh mati atau mati, termasuklah malam pelancaran yang dirasmikan oleh exco berkaitan.

Walaupun Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan akan hadir seperti mana dicatat di dalam buku acara, ternyata apabila tidak mendapat sambutan, beliau sendiri membatalkan kehadirannya. Benarkah?

Persoalannya bagaimana program yang dikatakan begitu gah dalam pembentangan bajet berkesudahan hampa dan gagal? Peruntukan RM1 juta itu sesungguhnya lebih daripada cukup. Tempoh persiapan juga dikatakan mengambil masa setahun. Perkara ini disahkan sendiri oleh kurator utama program ini, Eddin Khoo.

Dalam satu temubual dengan sebuah media berbahasa Inggeris tempatan, Eddin cuba mempertahankan kononnya jumlah besar digunakan untuk membayar honorarium kepada tokoh-tokoh yang mempunyai nama besar. Katanya tak wajar tokoh bahasa ‘dibayar rokok dan nasi sahaja’.

Sudah tentulah kita wajar menghormati golongan seniman dan penulis. Namun, apa yang dipertikaikan ialah mengapa dengan nama-nama tokoh besar itu pun hampir semua acara tidak mendapat sambutan?

Hal inilah yang dipertikaikan kerana setiap sen yang dibelanjakan adalah wang titik peluh rak­yat Selangor! Ada pihak yang menyebutkan perbelanjaan festival berkenaan melambung melebihi angka RM1 juta.

Apa yang saya duga ialah program ini sesungguhnya tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh. Pihak Pusaka khususnya yang dikurniakan projek ini nampaknya tidak cukup profesional dan sambil lewa. Mereka dilihat hanya mahu mengambil kesempatan ke atas wang peruntukan tertentu tetapi melakukan kerja secara cincai.

Projek ini adalah projek kedua dalam dua tahun berturut-turut yang dikurniakan kepada Pusaka. Badan berkenaan mendakwa diri sebagai pertubuhan bukan kerajaan, tetapi ada mengatakan ia didaftarkan sebagai syarikat sendirian berhad. Maknanya memberikan projek langsung kepada Pusaka sama sahaja dengan memberikan projek pembangunan lain kepada sebuah syarikat.

Apakah dasar itu kini menjadi dasar kerajaan Selangor sedangkan di mata rakyat konon mereka selalu mendakwa mengamalkan urus tadbir yang baik? Bangkai gajah sesungguhnya tidak boleh ditutup dengan nyiru.

Tahun lalu, Pusaka khabarnya turut diberikan satu lagi projek besar yang melibatkan kaum Mahmeri di Pulau Carey. Projek itu juga nampaknya lenyap begitu sahaja. Samalah dengan sebuah teater perdana yang dilancarkan iaitu La Galigo, juga tenggelam tanpa khabar berita.

Melihatkan nasib yang telah terjadi kepada Majlis Kebudayaan Negeri serta keadaan penganjuran Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Serantau 2017, ternyatalah kerajaan negeri telah gagal dalam perancangan mereka.

Lantas Bapak Dinsman, Seniman Rakyat pun menzahirkan kekecewaan:

‘DURJANA KE ATAS BUDAYA’


Ada sebuah permainan


Se­buah permainan politik


Permainan politik ke atas budaya


Oleh orang yang mendakwa dirinya


Mendakwa dirinya tokoh budaya


Mempolitikkan aturan budaya negeri


Dengan kuasa politiknya


Dia mempermainkan budayawan


Mempermainkan budayawan rakyat


Memperalatkan dana negeri dana rakyat


Atas nama budaya.

Aku menyaksikan


Aku menyaksikannya lagi


Sebuah durjana ke atas budaya


Sebuah durjana ke atas rakyat

 



PENULIS ialah Ahli Parlimen Sungai Besar dan Adun Sungai Panjang.