Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SEBAHAGIAN remaja yang masih dalam suasana Aidilfitri mengenakan
SEBAHAGIAN remaja yang masih dalam suasana Aidilfitri mengenakan baju Melayu di Program Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan di Menara DBKL, Julai tahun lepas. UTUSAN/SURIYA BONMA

KITA masih lagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Setelah sebulan berpuasa umat Islam sebenarnya telah menjalani satu tarbiah Ramadan yang di dalamnya terkandung banyak pengajaran. Pengajaran ini dapat dilihat dari tiga dimensi utama iaitu, hubungan kita dengan Allah SWT, hubungan dengan makhluk lain dan hubungan dengan alam.

Mengenai hubungan dengan Allah, kita telah ­me­­­laksanakan banyak amalan sunat di sepanjang Ra­ma­dan lepas. Kita melakukan solat sunat seperti solat tarawih, tahajud, wi­tir dan lain-lain. Mungkin timbul persoalan di dalam minda, apakah falsafah atau makna di sebalik amalan wajib dan amalan sunat yang dilakukan ini?

Secara amnya, amalan wajib yang kita lakukan itu adalah untuk menunjukkan tanda ketaatan kepada Allah SWT manakala amalan sunat yang dilakukan itu pula adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Dalam al-Quran banyak ayat yang berkaitan syukur. Jika kita teliti perkataan syukur ini berada di hujung ayat.

Contoh adalah seperti di dalam surah al-Baqarah ayat 52, 56, 185 dan 243, surah al-Maidah ayat 6 dan 89, surah al-An’Aam ayat 53 dan 63, surah al-A’raaf ayat 10, 17, 58, 144 dan 189, surah al-Anfaal ayat 26, surah Yunus ayat 22, surah Ibrahim ayat 5 dan 37, surah An-Nahl, ayat 14 dan 78, surah Al-Anbiyaa’ ayat 80, surah al-Hajj ayat 36, surah al-Mu’minun ayat 78, surah al-Furqaan ayat 62 dan surah al-Qasas ayat 73.

Tanda kesyukuran ini juga sepatutnya kita lahirkan terhadap alam yang kita diami ini iaitu hubungan dengan alam. Menghargai alam ini juga seharusnya dapat kita zahirkan dalam bentuk amalan hijau. Tujuan utama amalan ini adalah untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau di samping penjimatan kos.

Sebagai contoh, kad-kad ucapan hari raya yang diterima dalam bentuk maya adalah salah satu langkah amalan hijau. Penggunaan kertas terutama yang diimport akan melibatkan banyak pembebasan gas karbon dioksida. Begitu juga ketika mengadakan jamuan hari raya. Penggunaan mangkuk polisterin dan plastik sepatutnya digantikan dengan bahan-bahan-bahan mesra alam atau bekas-bekas seperti kaca yang tidak dipakai buang.

Selepas menyambut hari raya pula, masyarakat kita telah dibudayakan mengadakan rumah terbuka sama ada di rumah-rumah atau di pejabat-pejabat. Oleh itu, perlu ada satu garis panduan berkaitan amalan hijau apabila ­menyambut perayaan.

Cara pengiraan jumlah pembebasan gas rumah hijau ini dapat dibahagikan kepada tiga skop utama iaitu skop satu (pelepasan secara langsung), skop kedua (pelepasan daripada penggunaan elektrik) dan skop ketiga (pelepasan secara tidak langsung termasuk pelepasan daripada perjalanan perniagaan dan pelepasan daripada pusat data).

Di Malaysia ini, isu pembebasan gas rumah hijau ini bukanlah suatu isu baharu. Punca utama adalah berpunca daripada pembakaran bahan api fosil oleh industri. Pengangkutan menyumbang antara 10 hingga 19 peratus pelepasan karbon daripada setiap individu terhadap alam sekitar dari segi pengeluaran dan penggunaan bahan api.

Beberapa langkah-langkah berikut mungkin boleh dilaksanakan ke arah amalan hijau. Berbasikal adalah satu amalan yang amat baik sekali terutama dari segi mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida, penjimatan kos, penjagaan kesihatan serta mengurangkan kesesakan.

Kini bandar raya New York, Amerika Syarikat telah ­melancarkan satu program berbasikal yang terbesar di dunia yang antara lain adalah untuk menggalakkan penduduknya mengubah cara hidup dengan menggunakan basikal sebagai pengangkutan seharian.

Selain itu, faktor pemakanan juga dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon. Pemakanan ini bergantung kepada jenis makanan yang dipilih, bahan yang digunakan bagi membungkus makanan serta cara penghantaran makanan. Makanan organik adalah makanan yang tidak menggunakan racun perosak serta baja buatan manusia kerana racun perosak dan baja buatan manusia akan menambahkan pelepasan karbon dioksida,

Akhir sekali, kehidupan kita ini adalah sebuah putaran. Pada sekitar tahun 30, 40 dan 50-an, berjalan kaki, berbasikal, menggunakan sampan adalah sumber pengangkutan utama waktu itu, kereta hanya dimiliki oleh golongan tertentu, rumah-rumah tidak mempunyai pendingin hawa, seterika tidak menggunakan elektrik tetapi menggunakan arang, industri-industri lebih berasaskan kraftangan dan seni, pembukaan tanah-tanah atau penerokaan hutan dilakukan secara manual menggunakan kapak, gergaji tidak menggunakan jentera-jentera berat.

Tetapi selepas revolusi industri banyak produk ciptaan manusia telah memasuki pasaran dan akhirnya sampai ke Malaysia seterusnya ke kampung-kampung. Alat pen­dingin hawa kini telah menjadi perkara biasa penduduk kampung. Banyak jenis kenderaan yang menggunakan petrol dan diesel dihasilkan, industri-industri berat tumbuh seperti cendawan, akhirnya apa yang dihasilkan oleh manusia menyebabkan pembebasan gas rumah hijau yang merupakan ancaman kepada dunia pada hari ini.

Kini manusia sedikit demi sedikit cuba mengurangkan penggunaan teknologi. Konsep amalan hijau ini akhirnya menemukan cara supaya manusia kembali kepada asal atau back to basis atas dasar pembebasan gas rumah hijau.

PENULIS ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain