Kedudukan itu diikuti rapat oleh bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Anies Baswedan serta rakannya, Sandiaga Uno yang memperoleh 40.23 peratus. Dua calon ini sahaja yang bersaing sengit bagi merebut jabatan Gabenor Jakarta untuk pemilihan kali ini.

Sementara satu lagi calon Gabenor iaitu Agus Harimurti Yud­ho­yono dan pasangannya, Sylviana Murni terkeluar daripada saingan apabila anak sulung bekas Presiden Susilo Bambang Yudho­yono itu hanya mendapat 17 peratus undi.

Ekoran jumlah peratusan undi yang begitu rapat antara ke­dua-dua calon apatah lagi tiada seorang pun yang berjaya memperoleh undi majoriti melebihi 50 peratus, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) telah mene­tapkan tarikh 19 April sebagai ­pusingan kedua Pilkada Jakarta bagi memilih seorang Gabenor.

Gandingan Ahok-Djarot dan Anies-Sandiaga kemudian kembali bersaing merebut jawatan Gabenor buat kali kedua dan lewat petang kelmarin iaitu berdasarkan keputusan tidak rasmi, Ahok gagal mempertahankan ja­watannya apabila ketinggalan 16 peratus undi berbanding Anies.

Dalam pilihan raya yang melibatkan 7.2 juta pengundi itu, Anies, 47, berjaya memperoleh 58 peratus manakala Ahok, 50, mendapat 42 peratus. Berdasarkan keputusan ini Anies dan ­gandingannya, Sandiaga dipilih sebagai Gabenor dan Timbalan Gabenor Jakarta oleh penduduk ibu kota itu walaupun PKU hanya akan mengumumkannya secara rasmi awal bulan depan.

Persoalannya, mengapa Ahok gagal mempertahankan jawatannya itu pada pusingan kedua sedangkan pada pusingan pertama pilihan raya itu, beliau serta pasangannya, Djarot mendahului dua pesaing lain terutama Anies?

Pada pusingan pertama perbezaan undi beliau dengan Anies cuma 2.34 peratus. Ramai pemerhati berpendapat kemenangannya pada pusingan tersebut kemungkinan ada kaitannya dengan sokong­an padu yang diberikan oleh beberapa pemimpin utama Indonesia termasuk Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan Megawati Soekarnoputri, Golkar dan Parti Nasional Demokrat.

Secara tidak langsung sokong­an itu turut mempengaruhi pola pengundian dalam kalangan pe­ngundi di Jakarta walaupun Ahok yang berketurunan Cina dan ­beragama Kristian pada ketika itu sedang terpalit dengan kontroversi gara-gara tindakannya yang mempertikaikan ayat 51 Surah al-Maidah ketika berkempen dengan penduduk Pulau Seribu, September 2016.

Namun begitu pola pengundian pada pusingan kedua ini nampaknya berubah yang akhirnya kita menyaksikan Ahok kurang mendapat sokongan berbanding Anies. Mungkin itu juga adalah mesej yang mahu disampaikan oleh sebahagian besar umat Islam di Jakarta dan Indonesia bahawa agama tidak boleh sesekali dipermain-mainkan.

Ahok memang dikenali sebagai seorang pemimpin yang rajin ­bekerja dan tidak pernah terpalit dengan skandal rasuah namun tindakannya yang mempertikaikan ayat 51 surah al-Maidah sesuatu perkara yang tidak boleh diterima oleh umat Islam di Jakarta dan republik itu secara keseluruhannya. Malah umat Islam di Malaysia sendiri tidak boleh menerimanya.

Agama adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dan tidak boleh dihina bukan sahaja di Indonesia malah di mana-mana negara Islam termasuk Malaysia. Justeru sensitiviti agama ini perlu dipelihara oleh sesiapa sahaja lebih-lebih lagi jika melibatkan agama Islam.

Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian, adalah kurang bijak jika seseorang pemimpin atau mana-mana individu cuba menarik perhatian penyokong atau pengundi dengan cara menghina agama orang lain kerana ­kesannya amat buruk.

Selepas kontroversinya mempertikaikan ayat 51 Surah al-Maidah, kenyataan Ahok yang dianggap menghina ulama terkenal Indonesia yang juga Ketua Umum Majlis Ugama Indonesia (MUI), Ma’ruf Amin ketika memberi ke­terangan dalam kes perbicaraannya di mahkamah memburukkan lagi keadaan. Situasi itu menambahkan lagi api kemarahan umat Islam Jakarta dan Indonesia terhadap beliau walaupun Ahok ak­hirnya memohon maaf.

Bayangkan lebih sejuta umat Islam di Indonesia turun ke Jakarta mengadakan demonstrasi ekoran kontroversi yang telah dicetuskan oleh Ahok. Jumlah kehadiran umat Islam ini bukan kecil tetapi membabitkan jumlah yang begitu besar. Tidak berapa lama berlakunya demonstrasi besar-besaran itu Ahok kemudian dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menghina agama dan status terkini perbicaraannya ditangguhkan sehingga selesainya pilihan raya Gabenor kelmarin.

Dalam pada itu, kemenangan Anies dan gandingannya Sandiaga juga dikatakan terdapat mesej-mesej tertentu yang mahu disampaikan oleh penduduk Islam di Jakarta kepada penduduk Indonesia dan tidak terkecuali masyarakat antarabangsa. Antaranya, penulis percaya mereka mahukan Gabenor yang tidak kontroversi dan lebih bersifat sederhana.

Yang pasti, lebih separuh pe­ngundi berdaftar di Jakarta lebih mempercayai Anies dan pasang­annya, Sandiaga untuk mengurus dan mentadbir Jakarta selepas ini. Diharap Anies mampu menjalankan tugasnya sebagai Gabenor yang baharu sejajar dengan komitmennya untuk menyelesaikan seberapa banyak masalah yang berlaku di ibu kota itu. Tahniah Anies - Sandiaga.