Jaminan atau amaran itu patut diterima dengan hati terbuka ke­rana ia membuktikan tindakan SPRM dalam membanteras jenayah tersebut tidak memilih bulu dan tidak mengenal siapa. Kalau mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan atau dianggap ahli politik yang bersih maka ‘tidurlah de­ngan lena’.

Tetapi masalahnya ada dalam kalangan me­reka sudah pun berada dalam radar SPRM namun cuba menonjolkan diri sebagai seorang yang bersih. Banyak cerita yang penulis dengar di peringkat pusat dan negeri bagaimana ada ahli politik termasuk yang baharu se­tahun jagung berada dalam dunia itu sudah kaya raya.

Itu belum lagi me­ngambil kira bagaimana ada pegawai-pegawai kepada ahli politik yang hidup mewah se­dangkan kalau mahu di­kaji dari segi pendapatan tidaklah setaraf gaya hidup mereka.

Oleh itu, adalah wajar jika SPRM turut menyiasat pegawai-pegawai tersebut tidaklah kira dengan siapapun mereka bertugas. Ini memandangkan apabila kita bercakap soal jenayah rasuah dan salah guna kuasa ia bukan berkisar mengenai ahli politik itu sahaja tetapi juga merangkumi orang sekeliling mereka.

Penulis percaya apa yang bakal dilakukan oleh SPRM ke atas ahli politik korup bukanlah bertujuan mencari publisiti tetapi bagi memastikan mereka yang dipilih rakyat benar-benar bersih. Justeru kalau ada ahli politik yang merasakan mereka termasuk dalam kategori yang memungkinkan SPRM menahan mereka selepas pilihan raya maka ‘pandai-pandailah’ membawa diri. Jika mereka berdegil juga dan mahu bertanding, jangan salahkan SPRM jika pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

Bagi mengelakkan perkara itu berlaku adalah wajar pucuk pimpinan parti tidak kira pembangkang atau kerajaan memastikan memilih calon yang benar-benar bersih. Mungkin ada yang bertanya kenapa SPRM tidak bertindak sekarang? Kenapa ­menunggu selepas pilihan raya? Jawapannya mudah, SPRM tidak mahu dijadikan alat kempen oleh mana-mana parti.

Kalau SPRM mengambil tindakan ke atas ahli politik kerajaan, agensi itu akan dianggap bersandiwara kerana menangkap ‘ikan bilis’, kalau menahan yang bertaraf ­‘jerung’ pula, ia akan dikatakan mahu menunjukkan kononnya kerajaan telus.

Begitu juga apabila tindakan diambil ke atas ahli politik pembangkang, SPRM akan dituduh ‘berat sebelah’ dan berpakat dengan kerajaan bagi memusnahkan karier politik pemimpin tertentu. Dalam bahasa mudah menjelang pilihan raya ini, apa­pun SPRM lakukan ke atas ahli politik tetap akan dipolitikkan. Oleh itu, lebih baik tunggu sahaja selepas pilihan raya. Penulis yakin apabila Dzulkifli membuat ke­nyataan berhubung sesuatu isu berkaitan rasuah, beliau tidak bercakap kosong, tindakan pasti menyusul.

Sememangnya langkah tegas yang bakal dilakukan SPRM itu pasti mendapat sokongan rakyat. Mereka selama ini tertanya-tanya tidakkah ada tindakan terhadap ahli politik yang tiba-tiba kaya selepas memegang sesuatu jawatan.

Kekayaan mereka itu turut dinikmati oleh pegawai-pegawai kanan atau orang sekeliling seolah-olah jawatan mereka bagaikan ‘lubuk harta karun’ sedangkan mereka berada di kedudukan itu adalah bagi menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

Berikutan itu ahli politik yang bersedia menjadi peng­khianat harus dihapuskan dari arena politik tanah air atau pentadbiran negara. Mereka adalah virus yang cukup bahaya apatah lagi setelah rakyat menyokong mereka dalam pilihan raya. Kepada Dzulkifli dan SPRM teruskan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) kerana rakyat pasti menyokong perjuangan suci itu.