Menyedari pelbagai unsur penipuan, salah guna kedudukan dominan dan pelbagai manipulasi ia berpotensi disalah guna oleh pengeluar, pemborong mahupun peniaga dengan mengaut keuntungan melampau. Kewujudan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) selaku badan kawal selia dan penguat kuasa akta dilihat tepat masanya bagi memastikan persekitaran perniagaan di Malaysia bukan sahaja kondusif, malah memakmurkan ekonomi negara dengan kebajikan rakyat kekal terbela.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, DATUK ABU SAMAH SHABUDIN berkongsi dengan Wartawan Mingguan Malaysia, SYAHIDI BAKAR mengenai peranan, fungsi dan skop suruhanjaya bebas yang ditubuhkan pada 1 April 2011 bagi menggalas tanggungjawab memakmurkan pembangunan ekonomi yang mampu melindungi kepentingan pengguna.

MINGGUAN: Apakah peranan dan fungsi MyCC dalam menguat kuasa Akta Persaingan 2010?

ABU SAMAH: Untuk makluman, pada tahun ini, usia MyCC telah mencecah lima tahun sejak penubuhannya pada 1 April 2011. MyCC adalah satu badan bebas yang bertanggungjawab bagi mewujudkan persaingan perniagaan yang sihat dalam kalangan peniaga bagi merangsang produktiviti dan inovasi dalam mewujudkan pelbagai pilihan produk atau perkhidmatan yang berkualiti pada harga yang kompetitif kepada pengguna.

Mengapakah perlunya undang-undang persaingan dan apa objektif utama pelaksanaan Akta Persaingan 2010 dalam konteks di Malaysia?

ABU SAMAH: Malaysia bukan sahaja satu-satunya negara yang mewujudkan Akta Persaingan, malah lebih 142 negara telah mempunyai Akta Persaingan dan termasuklah kesemua negara ASEAN. Ini bermakna Akta Persaingan 2010 merupakan satu undang-undang berbentuk global.

Negara kita mengamalkan sistem ekonomi bebas iaitu mewujudkan kedua-dua elemen sistem kapitalis dan sosialis atau ekonomi campuran. Dalam sistem ini banyak faktor disumbang oleh permintaan dan pengeluaran pengguna dan peniaga. Apa yang dimaksudkan dengan persaingan pula ialah, kita ingin memastikan semua perniagaan menjadi lebih cekap, inovatif dan responsif terhadap permintaan pengguna.

Saya mengambil contoh di sini, bagaimana pihak industri automotif tempatan seperti Proton dan Perodua yang banyak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk memastikan mereka dapat bersaing dengan kenderaan import yang turut mengeluarkan pelbagai model yang cantik dari segi rekabentuk dan jimat minyak pada harga yang kompetitif.

Hasilnya dapat kita lihat pada masa ini dengan pengeluaran model baharu pada tahun ini jualan kereta tempatan bertambah dan menguntungkan pengguna.

Akta Persaingan 2010 digubal bagi mengawal selia amalan antipersaingan menggariskan beberapa kriteria sebagai panduan asas pematuhan perundangan. Boleh terangkan ciri-ciri pelanggaran antipersaingan seperti termaktub di bawah peruntukan akta ini?

ABU SAMAH: Secara umumnya terdapat empat ciri amalan antipersaingan iaitu penetapan harga, berkongsi pasaran atau punca bekalan, membataskan atau mengawal pengeluaran dan tipuan bida.

Pertama sekali, penetapan harga adalah pakatan yang dibuat sesama peniaga untuk menetapkan harga belian atau jualan yang boleh dilakukan secara langsung atau tidak langsung. Penetapan harga secara langsung adalah seperti persetujuan atau mengekalkan harga pada peringkat tertentu.

Selain itu, penetapan harga juga adalah melalui persetujuan menawarkan atau tidak menawarkan potongan harga kepada pembeli. Ini tidak adil untuk pengguna apabila harga ditetapkan atau diletakkan pada harga yang tinggi untuk sesuatu produk atau perkhidmatan.

Keduanya, berkongsi pasaran atau punca bekalan iaitu bermaksud pembahagian pasaran mengikut kedudukan kawasan yang ditentukan oleh pihak mereka. Tujuannya adalah untuk memastikan tiada persaingan atau perkhidmatan di kawasan tersebut. Ini akan menyebabkan pelanggan tiada pilihan selain daripada membeli daripada penjual yang menguasai kawasan berkenaan.

Ciri ketiga ialah apabila peniaga membataskan atau mengawal pengeluaran dalam bentuk barangan atau perkhidmatan sebagai contohnya dalam industri penjualan bahan makanan. Bagi menjamin keuntungan mereka secara berterusan, akan memastikan bahawa kawalan terhadap pengeluaran sesuatu produk ini dibuat bagi pastikan tiada lambakan barangan yang akan berlaku.

Contohnya dalam bekalan ayam, peniaga akan mengambil kesempatan untuk mengurangkan bekalan bagi menaikkan harga ayam tersebut khususnya pada musim perayaan apabila permintaan oleh pengguna meningkat.

Ciri keempat dan akhir sekali, tipuan bida atau bid rigging yang banyak berlaku dalam proses perolehan seperti tender dan sebut harga. Caranya ialah pihak pembida berpakat sesama sendiri secara bergilir-gilir bagi mendapatkan sesuatu projek atau perkhidmatan dalam perolehan. Ini merupakan tipuan bida yang dirancang dengan tujuan untuk bersekongkol melalui pemberian subkontrak dan penggiliran untuk memenangi pembidaan kontrak.

Bagaimana pula kaedah atau mekanisme yang boleh diguna untuk kemukakan aduan kepada MyCC?

ABU SAMAH: Laporan secara rasmi beserta bukti amat penting bagi membolehkan tindakan diambil oleh MyCC kepada mana-mana perusahaan yang mengamalkan perjanjian antipersaingan. MyCC menyediakan pelbagai cara bagi memfailkan aduan untuk kemudahan orang ramai. Semua aduan boleh diajukan melalui:

E-mel: [email protected]

Pos: (Alamatkan kepada)

Tingkat 15, Menara [email protected],

No.7, Jalan Stesen Sentral 5,

Kuala Lumpur Sentral, 50623 Kuala Lumpur

Faks: 03-22722293 (Alamatkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif)