SEBAHAGIAN orang ramai yang menghadiri Himpunan 355 di Padang
SEBAHAGIAN orang ramai yang menghadiri Himpunan 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur, pada 18 Februari lalu. – UTUSAN /AZLAN HADI ABU BAKAR

Apa yang menarik selain dihadiri sebahagian besarnya oleh bangsa Melayu beragama Islam, Himpunan 355 tersebut turut dihadiri oleh sebilangan kecil kaum Cina dan India, termasuk juga dalam kala­ngan mereka yang bukan beragama Islam. Ini menunjukkan bahawa usaha-usaha bagi menyebar luaskan pemahaman dalam kalangan bukan Islam tentang rang undang-undang pindaan terhadap Akta 355 ini, kalaupun tidaklah seba­nyak, telah sedikit menunjukkan kesan positifnya.

Seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, pihak polis menganggarkan jumlah kehadiran adalah sebanyak kira-kira 20,000 orang yang membanjiri ibu kota Kuala Lumpur pada perhimpunan tersebut. Ini adalah suatu jumlah yang besar, jika kita mengingat dan membuat ­perbandingan dengan perhimpunan Bersih 5 yang diadakan pada hujung tahun lalu, apabila pihak polis me­nganggarkan cuma kira-kira 15,000 orang yang hadir.

Media alternatif, terutamanya portal dalam talian pula, memberikan anggaran yang lebih besar lagi. Portal propembangkang Malaysiakini misalnya menganggarkan lebih daripada 55,000 orang hadir dalam Himpunan 355, sedangkan pada tahun lalu, Malaysiakini menganggarkan 40,000 orang hadir bagi perhimpunan Bersih 5.

Hal ini bererti jika kita mengambil angka daripada pihak mana sekalipun yang membuat anggaran, hakikatnya jumlah keha­diran dan sokongan bagi Himpunan 355 ternyata jauh melangkaui sokongan bagi perhimpunan Bersih, yang sebelum ini sering dijadikan sebagai penanda aras perhimpunan mega di tanah air.

Apa yang lebih menarik lagi adalah ke­rana pada tarikh Himpunan 355 tersebut, terdapat sekumpulan kecil yang menggelarkan kelompok mereka sebagai Bebas, yang cuba untuk me­ngadakan suatu perhimpunan balas di Tasik Taman Jaya. Tetapi ternyata kelompok Bebas yang berhimpun bagi membantah usaha memperkasakan undang-undang jenayah Islam di tanah air ini, tidak langsung mendapat sokongan rakyat, kerana ha­nya kira-kira 200 orang hadir pada perhimpunan tersebut, dan daripada jumlah itu, barangkali sepertiganya adalah wartawan.

Ini jelas menunjukkan aspirasi rakyat Malaysia secara umumnya dan kaum Muslimin secara khususnya yang amat merindukan ketinggian Islam untuk dikembalikan di negara ini. Justeru dalam konteks inilah, penulis amat berharap agar ahli-ahli Parlimen kita nanti, yang akan bersidang pada bulan hadapan akan menyokong pindaan terhadap Akta 355 ini apabila dibentangkan bagi memperkasa dan memperluas bidang kuasa mahkamah syariah.

Sebagai ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, mereka mempunyai tanggungjawab dan kewajipan untuk menterjemahkan aspirasi dan keinginan rakyat yang telah memilih mereka. Mereka tidaklah berhak untuk berbahas atau membuat undian di dalam Parlimen de­ngan membelakangkan kehendak dan hasrat ini. Bahkan barangkali tidaklah keterlaluan jika dihujahkan bahawa memandangkan mereka dipilih untuk mewakili suara hati rakyat, makanya ahli-ahli Parlimen ini sebenarnya mempunyai tanggungjawab fidusiari terhadap rakyat yang telah memilih dan memberikan suara mereka ­melalui ahli-ahli Parlimen masing-masing.

Selain amanah rakyat, ahli-ahli parlimen juga harus insaf bahawa mereka dipilih untuk menjalankan amanah di bawah payung pemerintahan Ketua Negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong. Dalam konteks ini, Pada 7 Mac 2016, ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas, Baginda Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, selaku Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu, telah bertitah ­seperti berikut: “Beta berharap langkah-langkah ke arah memperkukuh institusi agama dan kecekapan pelaksa­naan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah dapat disegerakan.”

Selain itu, ahli Parlimen turut mempunyai tanggungjawab keperlembagaan untuk mengundi menyokong pindaan terhadap Akta 355 ini. Seperti yang pernah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Menteri Dalam Negeri & Ors vs Titular Roman Catholic Arcbishop of Kuala Lumpur (2013) 8 CLJ 890, hakikat bahawa Islam diisytiharkan sebagai agama bagi Persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu pengisytiharan kosong tanpa makna, sebaliknya ia meletakkan beban dan kewajipan kepada pihak-pihak berkuasa — dan ini tentulah termasuk institusi Parlimen sekali — untuk secara aktif mengambil segala langkah yang perlu bagi memperkasa dan memperkukuh kedudukan Islam di negara ini.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).