Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Ahli Majlis PBT: Lantikan atau pilihan raya?

RAKYAT berhak memilih perwakilan mereka di peringkat kerajaan
RAKYAT berhak memilih perwakilan mereka di peringkat kerajaan tempatan menerusi pilihan raya. GAMBAR HIASAN

KEBANYAKAN kerajaan tem­patan di dunia melantik ahli majlis mereka menggunakan sistem pilihan raya. Di New Zealand, ahli majlis dipilih ­melalui pilihan raya dan tempoh pelantikan tersebut adalah selama tiga tahun. Rakyat di sana dibenarkan mengundi menerusi undi pos yang mana kerajaan akan menghantar borang undian melalui pos kepada pengundi.

Selain borang undian, disertakan juga dokumen penting yang lain seperti profil calon, gambar dan manifesto calon. Selepas pengiraan undian dibuat, kertas-kertas undi tersebut dihantar ke mahkamah daerah dan disimpan selama 21 hari sekiranya ada pihak yang ingin mencabar keputusan undian berkenaan.

Sementara itu di Kemboja, rakyat yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan untuk mengundi ahli majlis. Sebanyak 12 parti politik bertanding dalam pilihan raya kerajaan tempatan mereka. Ahli majlis mereka yang dilantik untuk mewakili penduduk-penduduk di kawasan masing-masing bagi tempoh lima tahun dan pengundi-pengundi perlu hadir ke pusat mengundi untuk mengundi.

Di Barat Australia pula, ahli maj­lis dilantik untuk tempoh empat tahun dan separuh daripada­nya akan berpencen setiap dua tahun. Hal ini membawa maksud di sana, pilihan raya kerajaan tempatan diadakan setiap dua tahun sekali, selalunya dalam Oktober untuk memastikan bilangan ahli majlis sentiasa mencukupi. ­Rakyatnya juga dibenarkan untuk mengundi melalui pos.

Pilihan raya juga akan diadakan sekiranya terdapat ahli maj­lis yang meninggal dunia atau diberhentikan. Namun, pilihan raya tersebut mestilah diadakan dalam tempoh empat bulan daripada kekosongan jawatan. Walau bagaimanapun, Akta Kerajaan Tempatan 1995 tidak mewajibkan penduduk untuk mengundi.

Di Malaysia, pilihan raya kerajaan tempatan pernah diadakan bertujuan melantik ahli majlis untuk mewakili penduduk di kawasan masing-masing. Pilihan raya kerajaan tempatan yang pertama diadakan di George Town pada 1951. Namun, pada 2 Mac 1965, Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman telah menggantung sementara pilihan raya bagi kerajaan tempatan disebabkan oleh konfrontasi yang dilancarkan oleh Indonesia ke atas Malaysia.

Pada 1965, Suruhanjaya Athi Nahappan ditubuhkan untuk mengkaji semula sistem pentadbiran di peringkat kerajaan tempatan. Suruhanjaya tersebut me­ngusulkan untuk mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan, namun gagal dilaksanakan atas beberapa sebab seperti kos pilihan raya yang tinggi, rakyat yang tidak acuh kepada politik (political apathy) dan sebagainya.

Ahli majlis yang dilantik oleh kerajaan negeri memberi beberapa kesan. Antaranya, penduduk di sesebuah kawasan kerajaan tempatan kurang mengenali mereka. Hal ini berlaku kerana penduduk tidak diberikan peluang untuk mengundi dan memilih sendiri ahli majlis mereka. Mereka tidak tahu bagaimana, bila dan di mana ahli majlis mereka dilantik. Sekiranya berhadapan dengan sesuatu masalah, contohnya isu sampah sarap, mereka memilih untuk mengadu dan merujuk kepada Ahli Dewan Undangan ­Negeri (ADUN), bukannya ahli majlis.

Slogan yang sering digunakan iaitu ‘tiada cukai tanpa perwakilan’ dilihat memberi satu pemahaman tentang keperluan pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan. Hal ini bermaksud, rakyat berhak untuk memilih perwakilan mereka di peringkat kerajaan tempatan menerusi pilihan raya. Rakyat akan enggan membayar cukai pintu sekiranya slogan itu terpakai. Namun, pemilihan ahli majlis melalui sistem lantikan juga membawa kesan yang positif terhadap rakyat dan negara.

Sekiranya ahli majlis dilantik oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, ahli majlis dapat menjalankan dasar-dasar negara dengan lancar. Ini kerana kedua-dua kerajaan memiliki persefahaman dan ideologi yang sama kerana di bawah payung politik yang sama.

Sekiranya menggunakan sistem pilihan raya, katakan kerajaan negeri adalah Barisan Nasional dan ahli majlis adalah parti pembangkang, kebarangkalian untuk ahli majlis menjalankan dasar-dasar kerajaan negeri adalah rendah kerana terdapat perselisihan ideologi politik.

Pemilihan ahli majlis melalui sistem lantikan juga dapat me­ngurangkan kos kerajaan. Ini berlaku kerana kerajaan tempatan tidak perlu membelanjakan wang yang begitu besar untuk mengadakan pilihan raya. Lihat sahaja kos bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei 2009, yang mana perbelanjaan Polis Diraja Malaysia dikatakan mencecah RM5 juta.

Perbelanjaan keselamatan itu bagi menampung kos penginapan, makan, tuntutan elaun tugas rasmi anggota, petrol, penyelenggaraan kenderaan, perjalanan dan utiliti. Kos-kos tersebut belum lagi termasuk kos berkempen dan sebagainya. Sekiranya ahli majlis didapati tidak menjalankan tugas dengan baik ataupun meninggal dunia, maka sudah pasti kerajaan perlu mengadakan pilihan raya lain bagi menggantikan ahli majlis yang lama.

Sekiranya kerajaan menggunakan sistem lantikan, kerajaan dapat menjimatkan kos perbelanjaan dan dapat menyalurkan wang yang dijimatkan itu ke projek-projek pembangunan di kawasan kerajaan tempatan.

Kesimpulannya, tanpa mengira sistem pemilihan melalui lantikan ataupun pilihan raya, ahli majlis perlu sentiasa ada untuk mempertahankan kepentingan penduduk tanpa mengira bangsa dan agama. Sekiranya kerajaan masih lagi memilih sistem lantikan untuk ahli majlis, prosesnya perlulah dibuat secara telus dan berdasarkan merit.

Pastikan Curricular Vitae (CV) calon-calon ahli majlis berada di atas talian atau laman sesawang kerajaan tempatan agar rakyat mengerti justifikasi seseorang ahli majlis itu dipilih. Lantik ahli majlis dalam kalangan penduduk asal di sesebuah kerajaan tempatan agar mereka dikenali orang ramai. Hal ini akan memudahkan dan meningkatkan lagi penyertaan rakyat dalam proses perancangan tempatan bersama ahli majlis.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain