AHMAD YAKOB

Kota yang dibina oleh Tan Sri Mohamad Yaakob terhindar dari ‘tsunami Melayu’ yang meranapkan semua ‘tamadun’ yang dibina oleh Barisan Nasional (BN) lebih setengah abad.

Terbukti, sistem penghadang melalui indoktrinasi yang dibina oleh gemulah Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat amat utuh walaupun negeri ini dihuni oleh lebih 95 peratus orang Melayu, kaum yang menjadi penggerak ‘tsunami’ di pantai barat Semenanjung Tanah Melayu.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya mengekalkan ‘status quo’ yang ada. Pas konsisten dan mengambil balik empat kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan manakala BN daripada 12 turun kepada lapan kerusi.

Di Dewan Rakyat pula BN mengekalkan Jeli, Gua Musang, Tanah Merah, Machang dan Ketereh manakala selebihnya - sembilan kerusi - semua milik Pas. Pakatan Harapan yang dihuni oleh PPBM, PKR, Amanah dan DAP hilang deposit hampir kesemua kerusi yang ditandinginya.

Pun begitu, keadaan berubah. BN bukan lagi parti peme-rintah di Pusat. BN pembangkang sama seperti Pas. Jika dahulu mereka seperti anjing dan kucing di Dewan Rakyat, kini mereka bersama-sama di blok kiri rumah perundangan itu.

Malah kedua-dua parti itu menunjukkan kesepakatan apabila sama-sama angkat kaki ketika membantah pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada hari pertama persidangan penggal ini.

Soalnya, bagaimana pula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang akan bersidang pada 23 Julai ini? Apakah akan berseteru seperti 28 tahun lalu atau berbaik-baik, apatah lagi tidak ada seorang pun wakil Kerajaan Pusat dalam DUN Kelantan.

Kalau kekal sikap seperti dahulu, sindir menyindir atau bertengkar sampai pernah bergocoh sekali pun tidak akan membawa makna. BN tidak ada kuasa manakala Pas pula tidak akan mendapat apa-apa. Adalah lebih baik bersama-sama lagi pun tidaklah pelik mana jika berbaik kerana titik persamaan asas perjuangan adalah sama - mendaulatkan Islam, cuma pendekatan yang berbeza.

Namun BN perlu kekal menjadi kuasa pengimbang check and balance kepada Kerajaan Pas Kelantan. Melihat, menganalisis dan memantau setiap gerak-geri agar tidak terlajak kerana lazimnya fiil manusia akan selalu leka tambah pula di puncak kuasa.

Dan satu perkara harus dilihat dan ditekuni adalah kerjasama di antara negeri dan Pusat. Lima tahun lalu, Pas menikmati faedah yang amat baik hasil kerjasama yang erat terutama selepas malapetaka Bah Kuning 2014.

Pendekatan baharu daripada Datuk Seri Mustapa Moha­med yang menjadi wakil Pusat dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang lunak melicinkan lagi semua urusan. Kelantan berubah.

Pun begitu, jika ditilik pada sejarah, agak merunsingkan. Sejak 1990 sehingga 2002, Tun Dr. Mahathir Mohamad `tidak begitu lunak’ dengan Kelantan. Dibiarkan begitu sahaja, hiduplah seadanya. Puas arwah Tok Guru naik turun untuk meminta peruntukan tambahan, baru diluluskan. Sekatan memang wujud dan diakui sebelum ini.

Jujurnya sehingga sekarang masih samar bagaimana hubungan di antara Kerajaan Pusat dan negeri. Pemimpin daripada parti pemerintah di Pusat juga dilihat tidak sekata mana. Masing-masing dengan hal sendiri. Berlumba melobi untuk mendapatkan kedudukan. Sudah jadi rahsia umum pun.

Ah! Mungkin penulis terlupa, Malaysia sudah baharu. Pendekatan pastinya baharu. Tidak ada apalah yang dirungsingkan. Kota Darulnaim akan kekal begitu.