Jelas, kesederhanaan yang dipamerkan ASWJ dengan kepercayaan dan amalannya berjaya menyatukan umat Islam dalam komuniti yang besar lagi majmuk dan berjaya dalam menyelesaikan masalah ketegangan agama dalam masyarakat Islam sehingga mewujudkan keharmonian yang berpanjangan. Pada masa sama, kita menghadapi pelbagai serangan dengan kemasukan naratif-naratif sesat yang cuba menggugat akidah umat Islam di negara ini yang majoritinya menganut mazhab ini.

Justeru dalam konteks ini kita perlu kemukakan satu pendekatan iaitu naratif nusantara asha’irah-syafiyah-ghazaliyah yang membina kerangka epistemologi, ontologi, praksiologi dan aksiologi kehidupan umat yang stabil dan berhikmah dalam me­ngungkapkan persoalan agama. Bukan dengan pendekatan gang-ho, terburu-buru, populis, retorik dan tidak kosmopolitan seperti yang sedang berlaku ketika ini di negara ini.

Inilah akibatnya bila artikulasi agama dibuat oleh mereka yang tidak memahami epistemologi, ontologi, praksiologi dan aksiologi yang mantap. Agama menjadi bahan lawak jenaka, agenda politik kepartian dan modal berniaga agama.

Memanglah tradisi Asha’irah-Syafi’iyah-Ghazaliyah tidak sebut epistemologi, ontologi, praksiologi dan aksiologi tetapi hakikatnya itulah yang mereka bina dan sediakan untuk kita semua demi ketahanan, kestabilan dan kesinambungan umat dalam menghadapi cabaran pemikiran dan peradaban pada setiap zaman.

Dan yang menyedihkan, ada agensi-agensi Islam gagal menawarkan sebarang naratif Islam yang boleh memandu visi dan imaginasi umat dalam kemelut semasa. Mereka masih bermain dengan konsep dan makna wasatiyyah yang tidak berakar atau berkembang daripada tradisi asha’irah-syafi’iyah-ghazaliyah yang sepatutnya.

Malah tiada satu pun agensi tersebut yang boleh dan berani mengungkapkan secara jelas tentang naratif nusantara sebagai panduan atau gagasan ke­sejahteraan umat. Hakikatnya, ini memerlukan kefahaman massa yang akan berakulterasi dengan norma dan dasar nilai daripada naratif nusantara.

Penghamparan pemikiran, ke­fahaman dan manifestasinya da­lam penghayatan seharian, baik cetusan fiqh, akhlak dan lain-lain dari cernaan epistimologi, ontologi dan aksiologi terokaan Shafi’iyyah serta tiga mazhab lainnya, As Sya’ariyyah Wal Maturidiyyah hi­ngga ke al-Ghazali mesti mampu di­rekayasa dan prakarsa di seluruh penjuru nusantara sebagaimana ia memun­cak sebelum kedatangan kolonialis kafir laknatullah.

Jelas, apa yang kita lihat hari ini wujud pelbagai siri percubaan beberapa individu atau golongan tertentu yang cuba memporak-perandakan fahaman yang telah lama diamalkan di negara ini de­ngan membawa fahaman-fahaman baharu yang bercanggah dengan ASWJ. Mereka benar-benar mencabar kewibawaan pihak berkuasa agama. Mereka bergerak dengan licik sekali me­lalui pengedaran risalah-risalah secara tidak bertanggungjawab di sekitar masjid-masjid dan me­nyampaikan ceramah tertutup bagi menyebarkan fahaman mereka.

Dalam konteks negara ini, para ulama dan cendekiawan Islam telah pun menegaskan perlunya Islam sebagai agama rasmi negara yang berpegang kepada pegangan ASWJ. Mahzab ini adalah pegangan majoriti umat Islam sepanjang zaman yang merangkumi aliran salaf dan khalaf. Ia bersendikan empat mazhab, iaitu Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali.

Dan kita yakin dari segi ­ke­­sepaduan budaya ‘akliah’ silam, melalui bahasa Melayu (jawi) yang adalah lambang keutu­han jamaah nusantara de­ngan Islam adalah hasil perjuangan ulama pembela dan penegak konsep ASWJ.

Justeru, roh dan konsep ASWJ harus dipertegaskan kembali. Para ulama harus mendekati semula hikmah ini. Dan menjadikan ia tapak ke arah kegemilangan berilmu dan berbudaya. Kita harus menegaskan bahawa fahaman ini bukan sekadar mazhab. Ia suatu konsep yang luas lagi murni dan berjaya menyerap hubungan persaudaraan dan kekuatan umat Islam.

Oleh demikian, adalah menjadi kewajipan kepada kerajaan dan semua rakyat Malaysia untuk membanteras gejala kerosakan dan pencemaran akidah ini sebelum ia menular dan sebati dalam kehidupan kita. Sesungguhnya gejala ini amat berbahaya bagi umat Islam dan keselamatan negara.

Sekiranya pendekatan harmoni ASWJ ini cuba diceroboh oleh pendekatan lain, maka dikhuatiri keharmonian dan kesejahteraan selama ini akan lesap daripada masyarakat. Dan budaya luar akan mencengkam dan mengambil alih tempatnya. Kemudian kenikmatan dan keharmonian yang dikecapi selama ini akan hilang dan sukar untuk kembali lagi.

Akidah ASWJ telah berjaya memartabatkan Islam daripada se­barang ancaman yang bersifat ideologikal dan mempunyai pengaruh yang mendalam dalam kalangan masyarakat nusantara sehingga proses penjajahan terpaksa akur dengannya.

Akidah pegangan ini mempu­nyai kekuatan dalam budaya hi­dup masyarakat yang bersifat wasatiyyah berbanding pelbagai aliran pemikiran lain yang berkembang dalam masyarakat Islam terma­suk Hanabilah, Muktazilah, Ahli Sunnah Wal Jamaah Wahabiyah mahupun Syiah. Fahaman-fahaman tersebut bukan sahaja keterlaluan dalam berakidah, bahkan menutup pintu ijtihad dan kejumudan.

PENULIS ialah Setiausaha Analisis dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).