Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

WALAUPUN pada 28 Ogos lalu, Pakatan Harapan yang diketuai DAP menolak sebarang kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tetapi hakikatnya dalam kalangan mereka memahami betapa pen­tingnya Pas dalam melaksanakan agenda politik mereka. Ia bukan kerana Pas akan diberi penghormatan menerajui pakatan itu atau akan dibenarkan meneruskan agenda Islamnya, tetapi Pakatan Harapan mahu memperalatkan kelebihan jentera dan penyokong Pas.

PKR ternyata masih meragui Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad – insan yang bertanggungjawab me­mung­kinkan PKR ditubuhkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dan kerajaan. Dalam kalangan pemimpin dan ahli PKR masih ada di antara mereka mempunyai dendam kesumat terhadap bekas Perdana Menteri tersebut.

Tambahan pula, mereka melihat walaupun sedikit sebanyak pengaruh Dr. Mahathir boleh digunakan bagi menarik sokongan orang Melayu khususnya daripada bekas ahli UMNO tetapi ia belum mencukupi. Ini memandangkan PPBM sendiri sebuah parti yang lemah dan sedang berhadapan dengan pelbagai konflik dalaman. Parti itu hanya bergantung kepada Dr. Mahathir untuk terus hidup. Pemimpin-pemimpin lain dalam PPBM termasuklah Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ber­upaya menarik undi orang Melayu.

Selain itu, mereka tidak melihat Dr. Mahathir benar-benar jujur mahu berada dalam Pakatan Harapan khususnya berkaitan soal masa depan Anwar yang turut menjadi pemimpin idola kepada DAP. Ia kerana biarpun Dr. Mahathir menandatangani petisyen untuk membebaskan Anwar namun beliau sentiasa berdolak-dalik setiap kali bercakap soal apa yang berlaku kepada Anwar sebelum ini.

Dalam berhadapan pilihan raya pula, PKR melihat walaupun Dr. Mahathir sudah menjadi alat kepada Pakatan Harapan bagi menarik sokongan orang Melayu, tetapi PPBM tidak mem­punyai jentera pilihan raya yang teratur. Jumlah ahli PPBM juga tidak diketahui secara pasti manakala di peringkat akar umbi parti itu lebih bergantung kepada undi simpati dan sentimen kebencian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keadaan ini meresahkan PKR yang selama ini mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya bukan disebabkan kekuatan sendiri tetapi sebahagian besarnya atas sokongan jentera dan penyokong Pas. Sehubungan itu, PKR melihat ada keperluan untuk mereka berusaha menarik semula Pas ke dalam Pakatan Harapan. Justeru apabila Anwar bercakap soal kerjasama de­ngan Pas, ia sebenarnya mempunyai agenda tersirat.

Ternyata surat Anwar berkaitan kerjasama dengan Pas me­re­sah­kan Dr. Mahathir yang meng­anggap ia telah men­da­tangkan masalah kepada Pakatan Harapan. Hakikatnya sejarah po­litik negara sudah membuktikan sepanjang menjadi Perdana Men­teri dan Pre­siden UMNO, Dr. Ma­hathir me­rupakan pemimpin pa­ling ke­ras menentang Pas.

Mendesak

Boleh dikatakan hampir semua ucapan beliau di Perhimpunan Agung UMNO mengandungi ke­ca­man terhadap Pas. Justeru su­dah tentulah apabila Anwar dili­hat masih berminat dengan Pas, Dr. Mahathir bagaikan 'ca­cing kepanasan’. Tambahan pu­la sebelum ini, beliau begitu ya­kin dengan membawa PPBM berga­bung dalam Pakatan Harapan, isu penyertaan Pas tidak akan timbul.

Apa yang lebih meresahkan Dr. Mahathir, jika Pas berada da­lam pakatan tersebut, kerusi ma­na PPBM mahu bertanding? Sebab itulah ketika mengulas kenyataan Anwar, bekas Perdana Menteri itu menegaskan, jika Pas menyertai pakatan berkenaan maknanya terdapat lima parti di dalamnya. "Mereka (Pas) akan mendesak untuk bertanding semua kerusi milik mereka, bukan sahaja kerusi mereka menang. Oleh itu, tiada lagi kerusi untuk yang lain.’’

Kenyataan itu membuktikan Dr. Mahathir memahami PPBM akan ditinggalkan jika Pas bergabung dalam Pakatan Harapan, sekali gus menyebabkan usaha beliau yang sanggup 'menyembah’ DAP dan berbaik-baik dengan Anwar hanyalah sia-sia. Bagaimanapun dalam menentang hasrat Anwar itu, Dr. Mahathir terlupa bahawa beliau hanyalah bertaraf pengerusi dalam Pakatan Harapan dan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menentukan hala tuju pakatan tersebut.

Atas sebab itulah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba memberi isyarat kepada pemimpin politik berusia 93 tahun itu supaya 'sedar diri’ dengan menegaskan, "Saya nak ingatkan Tun M, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Ketua Umum kepada Pakatan Harapan. Beliau juga Ketua Umum PKR. Maka beliau berhak memberikan pandangan serta cadangan dalam apa juga perkara membabitkan hala tuju PKR dan Pakatan Harapan.’’

Penegasan Mohamed Azmin itu dilihat oleh ramai pemerhati politik bahawa PKR tidak mahu Dr. Mahathir yang bak kata orang 'cap jari pun belum kering’ apabila menyertai Pakatan Harapan cuba menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh parti-parti dalam pakatan tersebut.

Persoalannya apakah langkah Dr. Mahathir seterusnya? Adakah beliau akan meminta sokongan DAP dan PAN bagi menentang hasrat PKR itu? Manakala bagi PKR pula sanggupkah mereka 'mengorbankan’ DAP semata-mata untuk bekerjasama dengan Pas? Timbul juga persoalan apa pula pendirian Pas?

Sebenarnya terlalu banyak andaian yang boleh dibuat, tetapi apa yang pasti Dr. Mahathir semakin berasa tidak tenteram dengan usaha PKR untuk terus mahu bekerjasama dengan Pas. DAP pula seperti biasa hanya mendiamkan diri. Ini kerana mereka tahu dalam apapun situasi mereka tetap untung. Bagi Pas pula, mereka sudah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan PKR mahupun Pakatan Harapan kecualilah mereka bersedia untuk kembali menjadi 'pak turut’ yang hanya akan menguntungkan DAP.

Kini Dr. Mahathir dan Anwar 'bertembung lagi’. Sandiwara politik yang cuba dimainkan oleh Dr. Mahathir dengan sanggup 'melutut’ kepada DAP dan PKR mula memakan diri. Beliau terlupa bahawa Pakatan Harapan bukanlah seperti UMNO dan BN. Jika di dalam UMNO dan BN segala keputusan akan dibuat bersandarkan kepada kepentingan parti, rakyat dan negara tetapi dalam pakatan itu masing-masing mempunyai agenda tersendiri dan bersedia 'memperalatkan’ antara satu sama lain bagi memenuhi agenda berkenaan.

PKR dan DAP mahu menumbangkan kerajaan BN, PAN mahu membalas dendam kepada pemimpin Pas manakala atas agenda peribadi Dr. Mahathir menubuhkan PPBM semata-mata mahu menjatuhkan Najib. Dalam keadaan agenda berbeza ini, Dr. Mahathir perlu faham kenapa Anwar melakukan 'pusingan U’ untuk berbaik-baik dengan Pas. Lagipun bukankah politik 'pusingan U’ itu dipelopori oleh Dr. Mahathir sendiri?

Oleh itu Dr. Mahathir tidak sepatutnya merasa resah dengan agenda tersirat PKR. Sebaliknya terimalah hakikat itulah pakatan pembangkang yang sentiasa mengamalkan pendekatan politik 'matlamat menghalalkan cara’ seperti mana langkah beliau mengkhianati perjuangan UMNO semata-mata mahu melunaskan dendam politik kepada Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain