Bagi mencapai maksud tersebut, PNB setakat ini telah menguruskan 12 unit saham amanah dengan sebahagian besarnya diperuntukkan khusus untuk kaum bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak.
Selain unit saham amanah, PNB turut mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan taraf ekonomi bumiputera, ini termasuk usaha mewujudkan lebih ramai akauntan bertauliah dalam kalangan kaum berkenaan melalui program sosial korporatnya.
PNB turut merancang membina 5,000 rumah mampu milik bagi membantu pemilikan rumah khususnya dalam kalangan bumiputera menjelang tahun 2022. Bagi Pengerusi Kumpulan PNB, Ta n Sri Abdul Wahid Omar yang mula menerajui syarikat itu sejak setahun lalu, mandat memperkasa ekonomi bumiputera akan diteruskan, tanpa mengabaikan kepentingan kaum-kaum lain yang turut merupakan pelabur PNB. “Institusi ini perlu dipertahankan”, tegasnya dalam wawancara yang dihadiri wartawan Mingguan Malaysia, YULPISMAN ASLI dan ZUNAIDAH ZAINON serta jurugambar GHAZALI BASRI di Menara PNB, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, Isnin lalu. Beliau turut menyentuh rancangan PNB mengembangkan ekuiti berteraskan syariah yang merupakan antara agenda penting PNB. Ikuti sedutan wawancara tersebut.

 

 

MINGGUAN: Antara misi PNB adalah meningkatkan kekayaan bumiputera tetapi pegangan ekuiti seperti disasarkan masih belum tercapai. Adakah PNB sendiri meletakkan sasaran tertentu?

ABDUL WAHID: Secara dasarnya, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) diwujudkan pada 1970 dan jika kita lihat ketika itu, kadar peratusan ekuiti bumiputera di Malaysia adalah sekitar 2.4 peratus. Setakat 2011, ia meningkat 23.5 peratus iaitu 10 kali ganda peningkatan dalam tempoh 40 tahun. Bagi saya, ini merupakan satu peningkatan yang tinggi dan bukan mudah dicapai dan sebahagian besar daripada peningkatan tersebut disumbangkan menerusi PNB.

Dari segi jumlah dana diuruskan PNB yang berjumlah RM266 bilion, sebanyak 69 peratus dilaburkan dalam syarikat tersenarai dengan nilai RM186.2 bilion atau 10.3 peratus daripada nilai modal pasaran Bursa Malaysia. Ini sekali gus menunjukkan sebahagian besarnya disumbangkan daripada usaha PNB dalam meningkatkan pemilikan ekuiti oleh masyarakat bumiputera dalam sektor korporat.

Melangkah ke masa hadapan, kita mempunyai misi besar untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera ini dan bagi saya daripada 23.5 peratus itu boleh ditingkatkan bukan sahaja menerusi PNB tetapi pelbagai program termasuk yang dilaksanakan kerajaan menerusi agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang mahu melihat lebih banyak syarikat diterajui bumiputera dapat disenaraikan di Bursa Malaysia.

Jadi bagi saya, walaupun ia belum memenuhi sasaran 30 peratus seperti kita harapkan tetapi untuk meningkatkan peratusan daripada 2.4 peratus sehingga 10 kali ganda, itu adalah satu pencapaian tertinggi yang kita capai dan ia bukan satu tugas yang mudah.

Kita, PNB tidak meletakkan sasaran tertentu dalam perkara ini kerana ia merupakan agenda nasional. Bagi kami sendiri, kami mempunyai sasaran lima tahun di bawah Pelan Strategik atau STRIVE 15 (2017-2022) untuk meningkatkan pengurusan aset mencecah RM350 bilion.

Apakah status taburan pelabur dan perbezaan peratusan mencerminkan agenda bumiputera? Ada berpendapat ia tidak seimbang antara golongan berpendapatan rendah dan kaya?

ABDUL WAHID: Dari segi jumlah pelabur, kita mempunyai 13 juta pelabur dengan 212.3 bilion unit dalam edaran sejak dana unit amanah mula diperkenalkan pada 1981. Didapati, 85 peratus adalah daripada golongan bumiputera.

Akaun pelaburan kita pula secara dasarnya terbuka kepada mereka yang berumur paling awal usia enam bulan ke atas dan kalau ikut anak-anak kecil, jumlah pelaburan mereka kecil dan simpanan mereka juga kecil, jadi kita ada dua pendekatan dalam perkara ini.

Ini kerana, kita nak setiap rakyat Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu akauns etiap seorang, dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), dan keduanya, kita nak tingkatkan jumlahnya, galakkan mereka melabur dan ini matlamat kita.

Antara niat kita adalah melebarkan pelaburan dan sebab itu mewujudkan siling atau limit pelaburan bagi ASB dan ASB 2 sebanyak RM200,000 dan ada beberapa akaun remaja hadkan RM50,000. Ini bagi membolehkan lebih ramai pelabur dan memberikan pulangan yang kompetitif dan lebih baik berbanding pelaburan lain.

Ya, ia memang lumrah dunia, kalau daripada keluarga susah, bagaimana nak capai had RM200,000 jadi memang tak mungkin, dan atas sebab itu kami cuba adakan program-program khusus supaya mereka melabur sedikit-sedikit dan yang mana kaya kita adakan had pelaburan sehingga RM200,000 supaya mereka mempunyai peluang untuk melabur dalam skim atau instrumen lain atau melabur dalam pasaran saham lain.

Kita nak golongan pertengahan dan berpendapatan rendah juga sama-sama melabur dan keupayaan mereka dalam membuat pelaburan turut meningkat.

Mengenai pelaburan patuh Syariah, sejak dana amanah PNB diperkenalkan, sebenarnya banyak cakap-cakap yang ragu-ragu sejauh mana dana amanah ditawarkan PNB ‘bersih’. Bagaimana Tan Sri menangani perkara ini kerana jika tidak ia akan merencatkan usaha PNB pada masa hadapan?

ABDUL WAHID: Sebenarnya, agenda Islamik adalah misi paling penting bagi PNB. Malah, saya melihat ini adalah aspirasi daripada pemegang unit amanah yang mahu membuat pelaburan dalam dana patuh Syariah. Atas sebab itu, sejak 2008 sudah ada fatwa yang menyatakan pelaburan dalam ASB adalah harus. Dan terbaharu, pada April lalu kita turut memperoleh kelulusan ini daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Alhamdulillah, kini semua negeri di Malaysia sudah mengeluarkan fatwa ‘harus’. Hanya Pulau Pinang sahaja yang belum memberi keputusan mereka dan kita akan terus meningkatkan kerjasama dengan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang dalam perkara ini supaya ia dapat membuahkan keputusan positif. Ini adalah perkara yang amat penting kepada pemegang unit amanah kita.

Kita percaya bahawa apabila kita melabur dalam syarikat-syarikat patuh Syariah ini, ia membolehkan kita meraih pendapatan lebih berkat dan mapan. Kita tidak ada masalah tidak melabur dalam syarikat-syarikat berkaitan arak, tembakau dan perjudian kerana banyak lagi syarikat lain yang menjalankan aktiviti lebih mapan dan mendatangkan manfaat.

Cuma, isunya sekarang adalah kekurangan tawaran instrumen ekuiti patuh Syariah di negara ini. Atas sebab itu, kita menggalakkan banyak syarikat perbankan Islam disenaraikan di Bursa Malaysia.

Bagaimana cara nak berubah daripada konvensional kepada patuh Syariah ini?

ABDUL WAHID: Kalau kita lihat daripada aset diuruskan PNB sebanyak RM266 bilion dan daripada jumlah itu, 69 peratus dalam ekuiti awam dan daripada itu, 55 peratus dalam syarikat strategik. Kita juga memiliki 48 peratus pegangan dalam Maybank.

Dengan kumpulan PNB memegang ekuiti yang besar dalam Maybank, ia membolehkan bank ini melantik pengurusan yang peka kepada perkembangan perbankan Islam. Malah, saya pernah dilantik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank pada 2008.

Saya berkongsi sedikit pengalaman saya sendiri ketika di peringkat awal diberi tawaran ini yang mana ketika itu, saya masih di kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM). Apabila ramai mengetahui saya akan ke Maybank, ramai yang bertanya termasuk ahli keluarga sendiri, kenapa nak menerajui atau bekerja dengan Maybank dan kemudiannya isu berkenaan pendapatan dibangkitkan kerana ia berkait dengan soal riba dan sebagainya.

Jadi, saya telah berbincang dengan rakan dan dapatkan pandangan pakar agama yang mana kita telah bersetuju supaya antara satu daripada langkah yang boleh dilaksanakan adalah mempertingkatkan pendapatan kumpulan Maybank dalam perbankan Islam. Ini adalah titik-tolak saya dan rakan-rakan di Maybank merumuskan untuk melaksanakan strategi Islamicfirst yang kemudiannya kita lihat bagaimana ia berjaya meningkatkan peratusan pembiayaan Maybank di Malaysia kepada 55 peratus.

Jika ke Maybank hari ini, majoriti pembiayaan adalah patuh Syariah dan inilah antara sebab-sebab mengapa PNB melantik pengurusan yang peka terhadap pembangunan Islam. Alhamdulillah dengan pendekatan Islamicfirst yang berjaya di Maybank, ia telah pun dilaksanakan di CIMB dan RHB.

Ini sekali gus banyak membantu perkembangan atau peningkatan perbankan Islam di dalam negara kita secara keseluruhan. Dalam konteks ini juga, kita amat mengalu-alukan bank-bank yang lain untuk melaksanakan pendekatan yang sama.

Bagi saya, ini adalah sesuatu yang positif dan amat bermakna, kerana sekiranya kumpulan PNB tidak menguasai syarikat-syarikat seperti Maybank dan SP Setia contohnya, sudah tentu ia akan mengurangkan peratusan atau peningkatan ekuiti Syariah di negara kita.

Apakah komen Tan Sri mengenai isu ‘ali baba’, kerana kekayaan bumiputera sering kali dikaitkan dengan ‘ali baba’?

ABDUL WAHID: Kalau kita tahu mereka ‘ali baba’ memang tak layak sebagai bumiputera sebab proses pemantauan amat penting supaya apa sahaja program melibatkan bumiputera akan memberi manfaat sepenuhnya kepada bumiputera. Pada masa sama, kita galakkan perkongsian, kalau mereka ada menjalinkan kerjasama, maka ia amat digalakkan. Yang kita tidak boleh bertolak ansur ialah ‘ali baba’.

Berkenaan program rumah mampu milik, apakah yang mendorong PNB terlibat dalam program tersebut?

ABDUL WAHID: Ini adalah permintaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri. Apabila saya dilantik sebagai Pengerusi PNB, beliau menggariskan tiga mandat yang diberikan kepada saya iaitu, untuk meningkatkan prestasi PNB dan kumpulan, mempertingkatkan penglibatan bumiputera dalam sektor korporat dan perniagaan dan ini juga termasuk dalam modal insan, manakala mandat ketiga adalah membantu mempertingkat tawaran rumah mampu milik.

Jadi saya ingin tekankan, ini bukan bermakna kita hendak mengambil alih peranan agensi-agensi lain tetapi tujuannya adalah untuk membantu atau melengkapi keperluan yang ada dan atas sebab itu pengkhususan kita adalah rumah atas tanah dan mampu milik.

Untuk itu, sebanyak 1,560 unit akan dilancarkan di Banting, Selangor dan sekarang kita dalam proses nak dapatkan kelulusan perancangan dan proses tender sedang berjalan.

Dengan harga di bawah RM200,000 dan rumah atas tanah, itu adalah nilai yang tidak mampu dibina oleh pemaju sekarang, kenapa PNB ambil risiko ini?

ABDUL WAHID: Kita bertuah sebab memiliki beberapa bidang tanah yang dari segi kos adalah rendah termasuk 142.73 hektar di Sungai Sedu, Banting. Pendekatan kita terhadap program ini adalah bukan untuk rugi tetapi hanya dapat untung yang kecil sekitar lima peratus sahaja berbanding margin syarikat pemaju hartanah yang lain sekitar 20 peratus. Ini membolehkan kita mengurangkan kos dan pada masa sama, kita juga gunakan sistem bangunan berindustri (IBS) supaya pembinaan dapat dilaksanakan dengan kos efektif.

Selain 1,560 unit di Banting, kita juga ada tanah seluas 10.96 hektar di Port Dickson yang mencukupi untuk 144 unit. Dalam masa sama, kita juga berharap dapat bekerjasama dengan negeri-negeri lain supaya dapat membina rumah di tanah mereka yang bersesuaian. Sebelum ini, kita sudah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Pahang supaya dapat membina rumah mampu milik di negeri itu.

Adakah peranan PNB ini akan memberi persaingan kepada agensi lain seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), mengakibatkan mereka lepas tangan?

ABDUL WAHID: Ingin saya tegaskan, ini adalah tanggungjawab sosial korporat kami untuk membina 5,000 unit rumah mampu milik menjelang 2022. Aktiviti utama kami masih pengurusan pelaburan dan kita hanya melengkapi keperluan yang ada. Malah, 5,000 unit itu adalah angka yang kecil berbanding 300,000 unit yang dilaksanakan oleh PR1MA.

Selain itu, syarikat-syarikat hartanah di bawah kumpulan PNB iaitu SP Setia, I&P Group dan Sime Darby Property turut mempunyai komponen rumah mampu milik masing-masing.