Kelestarian sesuatu tamadun seringkali kita dengar yang mungkin menggambarkan suatu keunggulan. Namun, apakah neraca yang dapat kita gunakan dalam membina satu rangka kerja dalam kotak pemikiran kita bagi menilai bahawa itu adalah tamadun yang lestari.

Dari segi sejarah, Islam meletakkan asas yang kukuh dalam pembinaan sebuah tamadun de­ngan agama sebagai tunjang dan pembinaan akidah yang mantap, ibadah yang istiqamah serta ber­akhlak mulia. Peranan agama dalam pembinaan tamadun ini tertayang sebagai mekanisme untuk mengurangkan persaingan berterusan dalam persoalan duniawi semata-mata. Agama juga mampu membimbing manusia melayari kehidupan ini apabila mendepani isu-isu yang bersifat tempatan dan sejagat seperti hubungan manusia dengan pla­net bumi ini untuk terus dihuni dari generasi ke generasi ke arah pembinaan tamaduan yang les­tari.

Kita dilahirkan ke dunia ini sebagai insan fakir, lemah yang tidak memiliki apa-apa pun. Namun, dengan kasih sayang yang Allah SWT berikan kita dirawat, dipelihara, diberikan pancaindera, emosi, keinginan, otak dan kudrat untuk terus berikhtiar di sepanjang kehidupan kita ini. Dengan rahmat Allah juga, alam ini diamanahkan kepada kita untuk diambil manfaatnya tanpa memusnahkannya.

Air satu-satunya manfaat alam yang terbesar dan adalah nyawa kepada kehidupan kita. Begitu juga sumber lain seper­ti makanan, perlindungan dan lain-lain. Dengan adanya sumber ini, manusia dapat menciptakan budaya, untuk terus berevolusi menuju budaya yang semakin maju dan kompleks yang akhir­nya membangunkan sebuah ta­madun dalam kepelbagaian.

Persoalan hubungan antara manusia dan alam ini jika direnung serta diperhalusi pemikiran kita, maka akan menemukan dua prinsip utama. Pertama, Allah­ memberitahu manusia agar memakmurkan alam ini sebagaimana dalam Surah Hud ayat 61 memafhumi kita; “...Dialah yang menjadikan kamu daripada tanah serta mengkehendaki kamu untuk memakmurkannya.” Dalam surah yang lain pula, Allah berfirman yang mahfumnya; “Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung dari apa yang telah Dia ciptakan, dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat tinggal di gunung-gunung, dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliha­ramu daripada panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya).” (Surah An-Nahl ayat 81).

Manakala prinsip yang kedua pula ialah Allah melarang manusia berbuat kerosakan di bumi ini sebagaimana di dalam Surah al-A’raaf ayat 56 mahfumnya; “Dan janganlah kamu berbuat kerosak­an di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.”

Namun, manusia kini, dalam suasana tamadun yang semakin melupakan Tuhan, mampukah kita mengharapkan kehidupan dan tamadun yang lebih beradab serta lestari pada akan datang?

Isu alam sekitar yang berlaku saban hari mewarnai akhbar de­ngan data dan fakta menakutkan dan sukar digambarkan jalan penyelesaiannya. Diperlihatkan kepada kita oleh Allah mengenai fenomena pemanasan global. Dunia kini semakin panas. Kenaikan suhu dunia adalah akibat tabiat manusia yang melampau dalam keseluruhan cara hidup. Melampau ini kerana wujud ketidakseimbangan dalam bajet haba iaitu input haba yang dite­rima oleh sistem bumi berlebihan berbanding dengan output dan bumi ini tidak lagi mampu menanggung beban suhu panas ini.

Pemanasan global ini terjadi melalui dua mekanisme pen­ting iaitu melalui kesan rumah hijau dan juga penipisan lapisan ozon yang kedua-dua ini terangkum dalam tabiat manusia untuk mengekalkan cara hidup yang moden dan canggih. Professor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, meramalkan dari 1990 hinga 2025 suhu dunia akan me­ningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah Celcius.

Kerakusan manusia terhadap alam sekitar menzahirkan banyak kesan negatif yang telah berlaku. Apakah alam ni sudah berada di penghujung jalan akibat nafsu manusia? Antara yang paling ke­tara ialah tahap pencairan salji di Kutub Utara semakin tinggi, paras air laut meningkat dan keluasan saiz daratan semakin mengecil. Selain itu, berlakunya kejadian bencana alam seperti kemarau yang semakin kerap, banjir dan kebakaran manakala kesan kemanusiaan termasuklah kehilangan nyawa dan kecederaan.

Akhirnya agamawan, penguat kuasa serta pihak-pihak berwajib berperanan membangkitkan ke­sedaran serta kefahaman terhadap kelestarian tamadun manusia ini.

Persidangan Antarabangsa Agama dan Kelestarian Tamaduan yang akan diadakan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini dan esok mungkin boleh menjadi titik tolak membincangkan kepincangan masyarakat dunia masa kini yang terdesak dengan isu-isu alam sekitar dan sebelum terlambat, mencari jalan penyelesaian ke arah memastikan kelestarian tamadun manusia di muka bumi.

PENULIS ialah Felo Kanan IKIM.