Dan, seorang lagi rakan saya dari Singapura bernama Noor Hasnah Adam. Beliau ialah guru Bahasa Melayu dan Sastera serta aktivis teater di republik itu.
Kedua-dua buku itu amat menarik untuk dibaca dan diulas. Murad menulis mengenai Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang manakala Noor Hasnah menghasilkan buku terbaharunya antologi skrip pendek (skripen) bertajuk Hantu Nak Jadi Orang dan Alamak Melayu Alamak -- satu kritikan sosial, mungkin terhadap bangsanya sendiri di negara pulau itu.

Kita ikuti ulasan-ulasan ini:

Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang.

BENARKAH sejarah sesebuah negara itu boleh diubah? Benarkah ada negara yang telah mengubahnya dengan mengetepikan asal usul akar negara itu, lalu melenyapkan kedaulatan raja yang pernah memerintah negara itu, sebelum ketibaan Inggeris di buminya?
Namun, bagi saya negara itu sebenarnya mempunyai pilihan. Sama ada mahu memulakan sejarah rasmi negara itu bermula dari Kesultanan Melayu atau memulakannya daripada kependudukan Inggeris? Ia bergantung kepada siapa majoriti yang memerintah negara berdaulat pasca moden itu.

Sesiapa pun tidak boleh membantah penulisan semula sejarah itu.  Jika pemerintah itu mempunyai hubungan darah dengan bangsa Melayu, misalnya maka fakta mengenai susur galur kesultanan Melayu, kebarangkalian besar akan dimulakan sebagai sejarah rasmi negara itu. Begitulah juga sebaliknya.
Murad cuba merungkai kesimpulan itu. Beliau bukan menulis mengenai negeri Temasik, yang sejarahnya lebih kepada Eurosentrik (berasaskan kedatangan orang Barat), tetapi kepada negeri kelahirannya sendiri di Pulau Pinang.

“Buku ini ditulis sebagai dokumentasi, khususnya bagi sejarah negeri Pulau Pinang, yang berpusat di Batu Uban dan Malaysia, amnya.”
Beliau menyoal “setelah 56 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, namun di mana kita kini dari segi sejarah dan warisan? Siapa kita? Tahap kesedaran sejarah yang rendah akan hanya seterusnya meminggirkan kita daripada arus kemajuan dan pemodenan.”

“Tanpa satu perspektif sejarah, kita akan hanya lemah ketahanan diri, hilang arah dan identiti. Tanpa perspektif sejarah, kita menjadi pengemis kepada masa lalu, menjadi daif dan seterusnya lenyap ditelan zaman.”
Beliau menegaskan bahawa sejarah tidak boleh diubah. Yang dapat dinilai dan dirombak, katanya ialah penceritaan dan pengisahan persejarahan.

Idealnya sejarah tidak boleh diubah. Saya setuju dengan Murad. Namun, sebagaimana yang dijelaskan di atas ia boleh diketepikan dengan satu alternatif yang ada.
“Sejarah dan persejarahan negara dilihat dari sudut kepentingan mereka yang menjajah dan yang berkuasa.”
Beliau mengakui “keadaan ini telah menafikan identiti dan wajah sejarah serta wadah (Melayu) Pulau Pinang.”

Murad dalam buku itu cuba membuktikan melalui dokumentasi bertulis dan bergambar salasilah masyarakat asal kepulauan itu, yang dinafikan oleh sejarah ketibaan Francis Light di Tanjong Penaga (terletaknya Esplanade dan Fort Corwallis) pada Ogos 1786.
Katanya, Pulau Pinang pernah dianggap sebagai tidak berpenghuni. L.A Mills (1962) dalam British Malaya 1824-1867 menyifatkan bahawa sebelum kedatangan Francis Light, Pulau Pinang sebuah kawasan hutan yang tidak mempunyai penduduk.

“Melihat Pulau Pinang dari sudut Eurosentrik dengan sendirinya akan meminggirkan masyarakat Melayu awal.  Perkara ini mengandaikan bahawa Pulau Pinang adalah sebuah kuasa berasingan sejak dahulu lagi. Walhal, Pulau Pinang adalah sebahagian wilayah dan alam Kesultanan Kedah.”
“Perceritaan Melayu Pulau Pinang terpisah dari Kedah, malah dari rantau Alam Melayu itu sendiri.”

Buku ini wajib dibaca oleh rakyat Malaysia yang mahu melihat sejarah dari perspektif yang seimbang. Saya tidak pasti adakah ia diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, jika belum ia perlu supaya kecelikan sejarah Pulau Pinang dan Malaysia, amnya diketahui dengan jelas oleh lebih banyak pihak.
Begitu juga, kata Murad dengan persejarahan Kedah yang memisahkan Pulau Pinang dari Georgetown dan Penang sebagai fait accompli (ditakdirkan) bukan hanya dari segi politik dan pentadbiran, tetapi juga dari segi warisan dan persejarahan.

Murad, antara anak Pulau Pinang yang cenderung dalam perjuangan untuk mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah berkata “masyarakat Melayu Pulau Pinang kini kian menjadi “pengemis” sejarah. Yang terpinggir bukan peminggiran politik atau ekonomi, tetapi peminggiran sejarah dan persejarahan.”
Dalam prolognya, Murad menulis “wajah dan warisan Melayu Pulau Pinang terpinggir sama ada dari sudut sejarah atau semasa, atau Melayu Pulau Pinang diwajahkan sebagai daif, tidak mempunyai peradaban dan sejarah.”

Hal ini, kata beliau disebabkan pemikiran arus perdana mengandaikan bahawa Pulau Pinang hanya bermula dari tahun 1786.
Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini cukup menarik untuk dibaca. Ia menceritakan Batu Uban sebagai pancaran awal Pulau Pinang. Batu Uban adalah penempatan yang terawal, malah Batu Uban juga pekan ada pelabuhan di Pulau Pinang sebelum kedatangan Inggeris.

Murad menyarankan, Kampung Batu Uban dijadikan kampung istimewa di Pulau Pinang yang mesti dikekalkan. Di situlah masjid terawal yang dibina oleh Haji Muhammad [email protected] nan Intan yang berasal dari Kampung Bodi, Payakuymbuh, Sumatera Utara.
Hasil penyelidikan Murad, di situ juga tanah dikurniakan oleh Sultan Kedah kepada para peneroka awal sejak 1730-an lagi. Sebidang tanah seluas 100 ekar pernah dikurniakan kepada Dato’ Jenaton, asal Pagarruyung di Batu Uban.

Sesungguhnya buku setebal 262 halaman itu bertujuan meluruskan sejarah yang cuba dilencongkan -- secara sengaja mahupun tidak.
Mengenali Profesor Dr. Murad beliau mempunyai satu bentuk pemikiran menongkah sehingga berjaya menghasilkan sebuah buku yang mencabar pemerhatian para sejarawan. Selamat membaca.

Hantu Nak Jadi Orang?

PENULIS buku ini, Noor Hasnah Adam, warga Singapura mendapat Ijazah Kepujian Pengajian Melayu dari Universiti Malaya. Kini beliau melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang Pengajian Melayu Sastera di universiti yang sama.

Sebagai seorang teman maya media sosial, saya dapat baca pemikiran Noor Hasnah. Seorang yang berterus-terang, terutama kepada kaumnya di Temasik.
Bersifat faminin-maskulin(?), Noor Hasnah yang juga penunggang motosikal kuasa besar telah merentasi dari negaranya sehingga ke negara-negara Asia Tenggara secara solo dan berkumpulan -- berulang-alik dengan jentera dua roda itu -- ke pusat pengajiannya di Kuala Lumpur. Itulah kelasakan Cikgu Noor.

Namun apabila saya menerima bukunya, saya membelek-belek setiap halaman berupa skrip pementasan tulisan beliau. Ia penuh dengan mesej-sindiran yang amat tajam namun berbudi bahasa. Beliau seorang berfikiran kritis yang kreatif.

Antara skripennya bertajuk: Pak Kaduk Masuk Gelanggang Lagi. Disambung dengan serangkap pantun empat baris:

“Melayuku pesaka
Melayuku perwira
Biar putih tulangnya
Jangan Putih matanya”


Sinopsis: Pak Kaduk pernah kalah menyabung ayam. Menang sorak kampung tergadai. Kali ini Pak Kaduk masih mahu berjuang. Biarlah apa pun yang berlaku nanti. Kali ini Pak Kaduk rela. Biar kampungnya tergadai. Asalkan perut gendutnya kenyang...

Salah seorang penulis Prakata buku itu, Mohamad Ali Hanifiah Abdullah  menyifatkan Noor Hasnah sebagai pelopor dalam penulisan genre skrip pendek.
Menerusi Jilid 1, Hantu Nak Jadi Orang, sindiran-sindiran tajam dan pedas terhadap bangsa Melayu (Singapura) disentuh dengan cara yang begitu halus dan artistik.

Kata Ali, khalayak akan tertawa dengan dialog-dialog lucu yang dikemukakan. Namun di sebalik tawa tersebut, terkandung sesuatu yang perlu difikirkan secara mendalam.
“Kalau semua orang dah jadi hantu, kenapa pula hantu tak boleh jadi orang?  Adakah kita sekarang ini lebih takut akan hantu atau orang, sebab ada kalanya, perangai orang lebih kejam daripada hantu,” tambah Ali.
Namun di bahagian akhir buku itu, saya tertarik dengan pementasan bertajuk Cermin Warisan. Di akhir dialognya kesemua watak sama-sama menyebut:

“Berdiri mereng kepala teleng
Belakang jangan pusing
Angguk-angguk geleng-geleng
Jangan jadi kambing
Embek...embek... jangan jadi kambing..
Embek... embek... jangan jadi kambing..
Kisah semalam adalah cerminan hari ini..
Kisah hari ini adalah cerminan hari muka..
Kisah hari muka adalah cerminan warisan kita..
Kisah kisah suka duka luka lara
Adalah muka surat perjalanan kita
Kisah-kisah malang walang galang perang
Adalah warna-warni cerminan sastera kita

Ambil patinya, buang hampasnya
Pandang ke cermin kajilah diri
Pandang ke cermin kuatkan jati!
Dari Bukit Siguntang..
Ke samudera di seberang
Sastera rakyat cerminan bangsa
Demi warisan kita...


Cikgu Noor menggunakan patah-patah perkataan yang mendalam yang sudah tentu dari nuraninya.
Kumpulan Skripen Jilid 1 Hantu Nak Jadi Orang dan Jilid 2 Alamak Melayu Alamak diterbitkan oleh M3 Partners ([email protected]) dan ditaja oleh National Arts Council Singapore. Ia berharga S$18 senaskhah. Syabas Cikgu Noor.