Selain itu Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019) yang turut diadakan serentak menyaksikan Presiden Joko Widodo atau Jokowi akan mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal kedua bergandingan dengan pasangan baharu Ma’ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai Naib Presiden.

Mereka akan ditentang oleh bekas ketua tentera, Prabowo Subianto yang bergandingan dengan bekas Timbalan Gabenor Jakarta, Sandiaga Uno.

Sewaktu membuat liputan hari pengundian awal bagi Pilpres 2019 Indonesia di Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Jalan Burma, Pulau Pinang, Ahad lalu, dua kecenderungan yang kelihatan sama dengan situasi di Malaysia ketika berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dapat dilihat dalam kalangan pengundi Indonesia.

Bagi pengundi muda yang disebut sebagai golongan ‘berdarah panas’ dalam lingkungan 20 ke 30-an dari republik berkenaan, nama Prabowo menjadi sebutan dan dilaung-laungkan sebagai pembawa reformasi bagi Indonesia.

Namun, jika didekati pengundi yang lebih berusia iaitu sekitar 40-an ke atas, Jokowi tetap menjadi pilihan mereka malah Jokowi dipuji-puji sebagai pemimpin yang lebih sederhana serta mudah didekati golongan marhaen serta jauh dari imej pemimpin elit ala tentera yang sering kali merwarnai politik negara berkenaan.

Situasi sama seperti PRU-14 yang berlangsung hampir 11 bulan lalu, di mana pengundi muda ketika itu menjadi ejen kepada perubahan tampuk pemerintahan negara.

Pesona dan pengaruh Pakatan Harapan (PH) dalam kalangan pengundi muda ketika itu sukar dibendung kerana dilihat sebagai ‘penyelamat’ kepada pelbagai ‘kepincangan’ yang berlaku pada masa Barisan Nasional (BN) memerintah.

Namun menghampiri setahun pemerintahan PH, apa yang pengundi PH peroleh selain daripada projek ‘kitar semula’ dan pertukaran nama program-program yang diperkenalkan oleh BN kepada rakyat.

Malah, pengundi hanya mampu ‘tepuk dahi’ apabila program Permata Negara (Permata) yang diasaskan oleh isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijenamakan semula sebagai Genius.

Bukankah Permata sebelum ini diserang bertalu-talu sebagai satu pembaziran kepada wang negara, jadi adakah dengan bertukar nama menjadi Genius, dosa Permata sebelum ini telah diampunkan PH?.

Sewajarnya, pemimpin PH mengambil dengan serius teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang bertitah semalam agar kerajaan segera merangka langkah-langkah strategik untuk menangani peningkatan kos bahan makanan.

Ini bukan masanya lagi untuk pentadbiran PH ghairah menjenamakan serta menukar nama program-program yang pernah menyentuh rakyat menerusi pentadbiran BN.

Sentuhlah rakyat menerusi modul program ciptaan sendiri yang banyak terkandung dalam manifesto PRU-14, setahun sudah hampir berlalu namun rakyat tetap tertekan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup. Hanya hujan yang turun pada masa ini, harga barang tetap naik!