Tip untuk menjaga silaturahim; pertama, kita kena hilangkan minat untuk melabel atau menghukum orang. Punca pergaduhan biasanya berlaku kerana kita suka melabel dan menghukum orang. Kedua, kita tidak mahu mengalah dan tidak mahu menerima kenyataan. Jika berlaku perselisihan faham, kita suka menegakkan benang yang basah dan tidak mahu mengaku kesilapan. Ketiga, kita susah hendak memaafkan dan melupakan. Tetapi, kita berdendam dan tidak berpuas hati selagi kita tidak dapat membalas dengan menyakitkan hatinya kembali.

Keempat, sentiasa menjadikan orang lain itu penting dalam kehidupan dan tidak hanya mementingkan diri kita. Kelima, melayani orang sebaik mungkin sebagaimana kita mengharapkan orang melayan kita. Keenam, jadikan setiap pertemuan kita dengan seseorang itu sebagai satu pengalaman terindah buatnya, hingga dia teruja untuk meneruskan silaturahim dengan kita.

Usah menyalahkan diri sendiri atau menyalahkan antara satu sama lain. Jauhi perasaan rendah diri terutama apabila kita berada dalam status yang berbeza dari segi pangkat, rupa paras, akademik dan darjat keturunan. Bukan senang untuk menghadapi situasi perbezaan status dan pendapat, iaitu kita berada dalam kalangan orang yang bijak pandai, dan kita berasa idea kitalah yang paling baik dan boleh menolong orang. Tetapi orang tidak terima, kerana mereka memandang siapa yang bercakap, bukan apa yang diperkatakannya. Inilah yang dipanggil “jihad fikiran”.

Cara untuk mempraktikkan silaturahim yang positif dalam perbezaan status ini; pertama, kita mesti mendengar segala yang diperkatakan oleh orang lain terhadap sesuatu perkara atau isu yang sedang dibincangkan. Kedua, apabila idea kita tidak diterima, kita senyum sahaja. Jangan tunjukkan muka tidak berpuas hati. Cuba kita terima idea orang dan tunjukkan kita bersikap profesional, iaitu kita bertanggungjawab mengeluarkan pendapat atau idea. Terpulang kepada mereka untuk menolaknya. Setiap perbuatan negatif orang terhadap kita, terima secara positif. Peristiwa Negatif – Respons Positif – Tindakan Positif – Hasil Kehidupan Positif.

Seandainya dibantah atau tidak diterima idea kita, tidak mengapa. Apabila kita menerima pendapat orang, Allah akan mengizinkan orang juga boleh menerima pendapat kita. Tetapi, kalau pendapat kita sering tidak diterima, audit diri kita. Adakah kita ini seorang yang mudah menerima pendapat orang atau pun ti­dak, sehingga kita sentiasa men­dapat bantahan setiap kali mengemukakan pan­dangan atau idea, sebelum kita berprasangka buruk kepada orang.

Dalam menjaga silaturahim, tiga perkara yang payah orang hendak lakukan adalah; per­tama, kita berbuat baik kepada orang yang tidak berbuat baik kepada kita. Kedua, kalau orang itu di­­umpat, kita pertahankan ja­ngan sama-sama kita meno­kok tam­bah cerita tentang orang itu bagi menyedapkan lagi um­patan itu.

Yang ketiga, kita mengaku kesilapan kita. Maknanya kita mesti mengaku bahawa apa-apa yang kita buat itu salah dan kita mengaku bahawa apa yang kita dapat hari ini adalah hasil daripada pilihan yang kita buat. Jadi kita tidak ada sifat menyalahkan semua orang ke­cuali diri kita.

Kesedaran

Berikhlas hati adalah satu cara menjaga silaturahim. Ikh­las bermaksud, apabila kita hen­dak membuat kebaikan, kita sembunyikan kebaikan yang kita buat sebagaimana kita sembunyikan kejahatan kita.

Lupakan semua kebaikan kita kepada orang dan ingat semua kejahatan kita kepada orang. Lupakan kejahatan orang kepada kita dan ingatlah kebaikan orang kepada kita. Sebenarnya orang akan melayan kita, sebagaimana kita mengajak orang melayan kita. Contohnya apabila kita berpangkat besar, kita beranggapan mesti mengawal dan menukar keperibadian serta cara pergaulan kita, supaya nampak perbezaan tahap atau kedudukan kita.Sebenarnya kita sedang membina tembok dan batasan dengan rakan sekerja.

Adab bersilaturahim dalam Islam; pertama, apabila berbicara cari perkataan yang menyeronokkan dan menyenangkan ha­ti orang yang mendengar. Kalau kita berasa sukar hendak mengeluarkan perkataan yang baik, bermakna kurang kebaikan dalam diri kita. Kedua, jangan sesekali menghina terutama peribadi seseorang. Sebagaimana kita tidak suka dihina, kita juga tidak suka menghina orang.

Ketiga, beradab walaupun dalam keadaan bergurau. Keempat, jangan amalkan sikap yang kononnya kutuk-mengutuk mem­bawa bahagia. Kelima, maafkan orang biarpun kepada orang yang berbuat salah kepada kita. Maknanya, kita ada hak untuk membalasnya tetapi kita tidak membalas, sebaliknya kita memaafkannya. Kalau bersua muka, salam, selawat, senyum, sapa dan sayang.

Jangan sesekali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik, walaupun hanya sekadar senyuman. Mungkin kita tidak sedar atau terlepas pandang, bahawa senyuman adalah ubat yang paling mujarab. Jangan kedekut untuk memberi senyuman dan mengucapkan terima kasih kepada orang di sekeliling kita, khususnya kepada suami atau isteri dan anak-anak kita.

Apabila kita menunjukkan wajah yang masam kepada mereka, kita mengundang perkara negatif dalam keluarga dan kehidupan kita. Orang yang hebat akan membuatkan orang lain berasa hebat. Tetapi orang yang lemah dan kecil jiwanya, suka melemahkan dan memperkecil orang lain. Orang yang suka membuka keaiban dan mencari kesilapan orang lain, sebenarnya banyak keaiban pada dirinya sendiri.

Kita ini hamba-Nya dan semua kuasa ada di tangan-Nya. Konsep hamba adalah, kita buat apa sahaja asalkan mendapat ganjaran daripada yang kita hambakan diri itu iaitu Allah SWT Oleh sebab itu, tanya kepada diri sendiri, “Adakah apa yang kita lakukan setiap hari ini untuk mendapat ganjaran daripada manusia atau reda Allah? ".

Jika kita fokus kepada manusia, kita akan hilang Allah. Tetapi, jika kita fokus untuk mendapat ganjaran Allah, kita akan mendapat segala-galanya. Hidup ini bukan apa yang kita buat tetapi siapa diri kita yang menentukan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Apabila kita ada sistem kehidupan yang baik maka hasil kehidupan akan baik. Gunakan sistem Islam.

Kejayaan bermula dari dalam diri dan tidak sempurna iman seseorang itu, selagi dia tidak menyayangi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri. Jom pakai ‘kanta kasih sayang’ dan melihat semua orang dengan kasih sayang dan rasa hormat. Sibuk mendoakan dan sibuk melihat keaiban diri sendiri hingga tidak nampak keaiban orang. Keletihan melakukan kebaikan akan hilang, tetapi pahalanya kekal. Keseronokan melakukan dosa akan hilang, tetapi dosanya kekal. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.