Malah, bukan rahsia lagi apabila kalangan pemimpin pembangkang negeri ketika ini mengidam kerusi Menteri Besar di Wisma Darul Aman atau merasai nyaman udara pagi di kediaman rasminya, di Seri Mentaloon Alor Setar. Jadi percaturan untuk meletakkan calon parti masing-masing harus ke depan. Masing-masing mahu bertanding banyak kerusi.

Khabarnya, Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pernah diadakan sebelum ini untuk membincangkan masalah pertindihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, namun masih tidak selesai. Ibaratnya, pi mai, pi mai tang tu juga masalah sama berbangkit apatah lagi menjelang PRU-14 ini isu ini menjadi bertambah panas.

Difahamkan empat kerusi DUN menjadi rebutan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan PAN iaitu Guar Chempedak, Gurun, Kulim dan Pantai Merdeka.

Kerusi berkenaan ada yang tradisi ditandingi oleh sekutu masing-masing dalam PRU-13 namun kini cuba dirampas, te­r­­­­masuk Gurun yang ditandingi PKR pada PRU itu tetapi untuk PRU-14 diintai pula oleh DAP dan Kulim yang pernah ditan­dingi PKR, kini PPBM juga mahukan calonnya di situ.

Begitu juga dengan PAN, hasrat mahu bertanding di Guar Chempedak dan Pantai Merdeka yang ditandingi Pas dalam PRU-13 tidak kesampaian apabila PPBM turut merasakan ­kononnya pengaruh mereka hebat di DUN itu lantas mahukan kerusi tersebut.

Mesej jelas daripada pertindihan kerusi oleh PPBM, PKR, PAN dan DAP ini jelas menunjukkan Pakatan Harapan Kedah ini tidak mempunyai persefahaman kerana mementingkan kuasa semata.

Ini bukan sekadar mendedahkan sikap tamak haloba ­kerana merasakan diri masing-masing bagus serta berpengaruh, perbalahan itu juga menunjukkan parti-parti pembangkang tidak mempercayai antara satu sama lain. Masing-masing cuba membuktikan siapa yang hebat.

Untuk rekod, pada PRU-13 pembahagian kerusi untuk pembangkang Kedah adalah 24 untuk Pas, PKR (10) dan DAP (dua). Sesuatu yang pasti dengan tersingkirnya Pas dan lahir­nya PPBM serta PAN hanya menambah parah krisis dalaman pembangkang di Kedah.

PKR kini masih tidak mahu berganjak daripada hasrat mereka yang mahukan 16 kerusi berbanding 10 yang ­ditandingi mereka sebelum ini barangkali juga kerana mereka adalah se­nior dalam pakatan itu.

Walau bagaimanapun, pada masa sama PPBM seolah-olah bulat mahu dominan dalam Pakatan Harapan Kedah setelah merasakan sekutunya seperti PKR dan DAP hanya picisan di negeri ini melihat kepada rekod masing-masing pada PRU-13. Dalam PRU-13, PKR hanya memenangi empat kerusi, DAP (dua) dan Pas (sembilan).

Di sebalik keghairahan Pakatan Harapan untuk menawan Kedah, banyak pemerhati politik berpandangan bahawa ia bukan semudah yang mereka jangkakan. Apatah lagi propaganda pembangkang ketika ini hanya berbaur hasutan dan politik kebencian tanpa memberi keyakinan sejauh mana mereka mampu menjamin kemajuan negeri ini melainkan cuma menyebarkan manifesto bak berada di kayangan.

Selain itu, masalah dalaman parti itu menjadikan pembangkang terkebelakang dalam soal menjaga kebajikan orang Kedah dan ia barangkali kerana masing-masing tidak ikhlas berbakti dan masih mahu menunggu sehingga calon parti mereka diletakkan di kawasan itu.

Situasi sama melanda DUN Ayer Hitam disandang Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang ­kebelakangan ini dilihat lebih banyak menghabiskan masa di luar kawasan seperti Selangor.

Melihat situasi pembangkang Kedah itu, apa yang pasti masing-masing berkecamuk dan hilang arah. Namun ajaib­nya, masih berangan mahu menakluk Kedah dan natijahnya, kelak nasib siapakah yang akan diperjudikan?